Video| Kenali Adama Camara! Buktikan jangan terpengaruh label atau stigma paras rupa dan warna kulit!
Published byMasih ada lagikah menganggap semua lelaki asing berkulit gelap berambut kerinting itu adalah Negro dan jahat?

Orang Asli berkulit hitam dari Afrika yang dulunya sinonim dengan sistem perhambaan kini diterima dalam masyarakat di pelbagai negara, dan mereka juga mampu berjaya dalam kerjaya dan perniagaan. - Kredit gambar: Pexels
Begitu juga tanggapan penulis dulu, nampak sahaja orang hitam begitu terus melabelnya Negro dan berbahaya. Walhal tidak semua lelaki berkulit hitam itu Negro dan jahat. Begitu juga tanggapan penulis dulu, nampak sahaja orang hitam begitu terus melabelnya Negro dan berbahaya. Walhal tidak semua lelaki berkulit hitam itu Negro dan jahat.
Siapakah Negro dan mengapa mereka sering dilabel begitu?
Negro adalah istilah lama merujuk kepada penduduk asli berkulit hitam, terutama yang berasal dari benua Afrika.
Penggunaan istilah itu pada zaman ini, terutama di Amerika Syarikat dianggap biadab dan menyinggung perasaan kerana asal gelaran itu dikaitkan dengan perhambaan iaitu sistem amalan yang kini tiada lagi wujud. Justru istilah itu kini dianggap tidak sesuai dan ketinggalan zaman.
Stigma mengaitkan orang berkulit hitam (atau etnik Afrika) dengan ciri-ciri negatif seperti "jahat", "berbahaya" dan "kurang bijak", adalah persepsi stereotaip perkauman yang telah lama wujud dan berakar umbi.
Walaupun stigma ini wujud dalam masyarakat, hakikatnya ia tidak berasasdan disifatkan rasis. Bagi mengelakkan rasa tersinggung, perkataan sewajarnya untuk merujuk kepada masyarakat itu adalah 'orang Afrika-Amerika' atau 'orang kulit hitam'.


Istilah Negro untuk orang asli berkulit hitam di Afrika yang diguna pada zaman perhambaan, tidak lagi diterima pada zaman ini. - Kredit gambar: Pexels
Ulasan mengenai timbulnya pemikiran sedemikian (Negro jahat) boleh dibahagikan kepada tiga.
Pertama, dipengaruhi asal usul stigma (rasisme antikulit hitam): Stigma ini berakar daripada sejarah perhambaan dan penjajahan yang mana manusia berkulit putih menetapkan hierarki kaum untuk mendominasi orang berkulit hitam, dengan memberi label sikap yang stereotaip seperti malas, tidak jujur dan ganas, iaitu tanggapan tidak adil bagi orang hitam Afrika-Amerika.
Kedua, pengaruh atau kesan media dan psikologi: Kajian menunjukkan wujudnya pengaruh media yang sering menggambarkan atau mengaitkan orang berkulit gelap dengan sifat atau keadaan negatif. Kesan "Bad is Black" (Hitam itu Jahat) adalah kajian psikologi yang menunjukkan manusia cenderung mengaitkan warna gelap dengan kejahatan, dan warna cerah dengan kebaikan.
Ketiga, dilihat dari situasi di Malaysia, penggunaan gelaran seperti "Awang Hitam" di sini merujuk kepada warga Afrika yang sering kali membawa konotasi negatif, hinaan, atau merendah-rendahkan seseorang berdasarkan warna kulit. Ditambah pula dengan berlakunya kes kes jenayah membabitkan kumpulan orang berkulit hitam di negara ini, mengekalkan lagi persepsi buruk itu dalam kalangan ramai.
Apa pun persepsi itu (mereka semua jahat) tidak semestinya benar.
Buktinya, siapa tahu pempengaruh asing berkulit gelap, Muhammad Adama Camara (Adama), suami kepada pempengaruh tempatan, Nur Afilah Amir Rusdi lebih dikenali Fila Amir. Melihat pada paras, rupa dan warna kulit sahaja awalnya pantas sahaja penulis melabelnya Negro - Jahat!
Ketika viral mengenai pernikahan pasangan itu, sama sahaja sangkaan kebanyakan netizen terhadap Adama. Ramai kata dia tidak boleh dipercayai dan masing-masing bimbang dengan pilihan Fila.
Ketika itu penuh dengan rasa sangsi dan syak wasangka terhadap niat Adama mengahwini Fila, `Orang Melayu kita`.

Ramai netizen sangsi dengan keputusan Fila Amir menerima Muhammad Adama Camara sebagai suami namun setelah lima tahun bersama, terbukti mereka berjaya kekal sebagai suami isteri dan hidup bahagia sehingga ramai tumpang gembira melihat kebahagiaan mereka. - Kredit gambar: Youtube Mr&MrsCamara
Selepas lima tahun berkahwin, terbukti ramalan negatif netizen meleset sama sekali, akhirnya masing-masing tersedar yang mereka hanya buruk sangka, kerana ternyata sejak berkahwin sehingga kini perhubungan pasangan itu masih elok dan kekal bersama.
Fila dan Adama konsisten berkongsi rentetan kehidupan mereka sebagai suami dan isteri, termasuk mendedahkan masalah lambat dikurniakan cahaya mata melalui saluran media sosial, Mr&MrsCamara (Youtube).
Melalui konten juga mereka berkongsi usaha menjalani rawatan IVF untuk mendapatkan anak. Ramai kagum dengan ketulusan Adama menerima takdir, dengan terus menyayangi Fila serta saling berusaha tanpa putus asa mendapatkan rawatan.
Semua rentetan dugaan dipaparkan melalui konten rencah kehidupan mereka dalam saluran media sosial mereka, termasuk ketika di bilik rawatan doktor.
Berkat tidak putus asa menjalani rawatan, pasangan itu telahpun dikurniakan anak, kini Adama menjadi seorang suami dan bapa yang semakin aktif bukan saja menyokong keluarga kecilnya, bahkan sentiasa mengambil berat terhadap keluarganya sendiri dan keluarga Fila di kampung.
Daripada tinggal menyewa, mereka kini berjaya memiliki rumah sendiri di Malaysia hasil kejayaan berniaga di Malaysia dan di negara asalnya.

Adama seorang lelaki berkulit hitam yang bertanggungjawab, berjaya membina perniagaan antara dua benua. Baru-baru ini mereka pulang ke kampung di Guinea menyambut Hari Raya Aidil Adha. - Kredit gambar :Youtube Mr&MrsCamara
Dengan paparan kisah meniti kehidupan yang dipertonton sejak dari awal perkahwinan sehinggalah sekarang, perlahan-lahan mengubah sangkaan buruk netizen, sehingga bertukar menjadi pengikut. Fila sering menepis komen negatif mengenai perbezaan budaya serta fizikal mereka.
Dan ternyata Adama adalah seorang lelaki Muslim dan suami yang sejati, beriman, bertanggungjawab dan baik; terserlah menerusi cara dia melayani isteri dan paparan prinsip hidupnya, sekali gus mewakili lelaki asing berkulit hitam Muslim yang berakhlak tinggi.
Berkahwin pada 26 April 2019 yang tular, mereka lantas menjadi perhatian dan menerima spekulasi serta kecaman daripada segelintir netizen namun keyakinan Fila terhadap Adama, menyebabkan dia enggan mengambil pusing terhadap komen negatif netizen.
Sejak berkahwin, Fila telah beberapa kali balik ke kampung suaminya di Guinea, sementara ketika di Malaysia, Adama juga banyak kali pulang ke kampung Fila.
Terbaharu sempena Hari Raya Haji 2026, mereka berpeluang pulang ke kampung di Guinea sekali lagi, dan pertama kali membawa anak mereka, Assara pulang ke kampung Adama.
Pengalaman mereka beraya di kampung boleh ditonton dalam saluran YouTube mereka, Mr&MrsCamara.

Suasana solat Hari Raya Aidil Adha di kampung di Guinea. - Kredit gambar: Youtube Mr&MrsCamara
Pasangan itu sendiri mengakui mereka berdua mendapat pelbagai sangkaan buruk daripada netizen sewaktu mula-mula berkahwin.
Melalui salah satu konten mereka membuat pendedahan, kata Adama, dia hairan kenapa orang di sini memandangnya begitu (penuh dengan prasangka buruk dan negatif). Fila pula meluahkan dia juga mendapat banyak kecaman kerana memilih Adama hanya kerana perbezaan bangsa, asal usul dan warna kulit.
Hakikatnya Adama berasal dari Guinea di Afrika Barat, datang daripada keluarga senang, kerana itu dia mampu datang ke Malaysia mencari peluang ekonomi.
Bahkan dia adalah seorang yang berpendidikan, amat mementingkan pelajaran dan pengajian al-Quran serta dikatakan menguasai lima bahasa termasuk Arab. Dia kini juga fasih berbahasa Melayu, hasil gigih berlatih melalui perbualan seharian.
Seorang usahawan yang mengusahakan perniagaan mengeksport barang dari Malaysia ke negaranya (Guinea), dia juga mempunyai kedai di sana. Di samping itu, aktif dalam kerja amal dengan sering memberikan bantuan kepada masyarakat yang serba kekurangan di Guinea -- usaha mulia yang didorong oleh keinginan untuk mengikuti jejak langkah amalan arwah bapanya.
Melalui konten, mereka kerap dilihat mengendalikan kerja amal, memberi sumbangan barangan dan kewangan, termasuk membina masjid untuk masyarakat kampung, bahkan pada musim raya korban baru-baru ini, Adama mewakili satu syarikat pengurusan korban di Malaysia, melaksanakan acara korban di Guinea.
Soalan penulis kepada diri sendiri yang pernah melekehkan Adama dan juga yang sepemikiran mencurigainya suatu ketika dahulu, "kau ada?" - KitaReporters

