Setiap jemaah yang melangkah ke Tanah Suci Mekah dan Madinah membawa satu impian yang sama iaitu mahu menyempurnakan Rukun Islam kelima dengan tenang, selamat dan penuh penghayatan.



Bagi kebanyakan mereka, perjalanan haji bukan sekadar sebuah perjalanan. Ada yang menabung puluhan tahun, menunggu giliran begitu lama, malah ada yang hadir pada usia senja bersama kudrat yang semakin terbatas.
Sebab itu, setiap kelemahan yang berlaku sepanjang perjalanan haji wajar dilihat bukan sebagai ruang untuk mencari salah sesiapa, tetapi sebagai peluang memperbaiki perkhidmatan kepada tetamu Allah pada masa hadapan.
Jemaah memahami bahawa mengurus puluhan ribu manusia dalam satu masa, terutama ketika kemuncak haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina bukan tugas mudah.
Petugas juga manusia yang berusaha sebaik mungkin dalam keadaan mencabar.



Namun di sebalik cabaran itu, suara kecil jemaah terutama warga emas, mereka yang kurang sihat dan pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci perlu terus didengar.

Perkara asas seperti maklumat yang jelas, pengurusan pergerakan, kemudahan rehat, tandas, makanan, sokongan kesihatan dan bantuan ketika kecemasan memberi kesan besar kepada pengalaman ibadah seseorang.
Kadangkala yang dikenang jemaah bukan bangunan yang indah atau kemudahan yang hebat, tetapi senyuman petugas, tangan yang memimpin ketika kepenatan dan kata-kata menenangkan ketika mereka keliru.
Haji mengajar kita tentang sabar, tetapi memperbaiki kelemahan juga adalah sebahagian daripada amanah.


Semoga setiap teguran diterima dengan hati terbuka, setiap pengalaman jemaah menjadi panduan, dan setiap musim haji yang akan datang membawa penambahbaikan demi memuliakan insan yang datang sebagai tetamu Allah.
Kerana di sebalik nombor penerbangan, nombor maktab dan nombor bilik, mereka tetap seorang datuk nenek, ayah, ibu, suami, isteri serta insan yang membawa doa dan harapan dari tanah air.
Layanilah tetamu Allah bukan hanya dengan sistem, tetapi dengan jiwa dan kasih sayang.
Catatan seorang jemaah haji 1447H yang pulang membawa rindu, syukur dan harapan. - KitaReporters

8
6
0
4
0

Copy Link: