Diari Mama Masscom| Meniti usia tua dengan penuh makna! Penuhinya dengan sabar, syukur, reda, cinta!

Published by
KitaReporters

Ramai orang membayangkan usia tua sebagai waktu untuk berehat. Anak-anak sudah dewasa, tanggungjawab semakin berkurang, dan hari-hari diisi dengan ketenangan.  



Namun hakikatnya, tidak semua warga emas melalui jalan yang sama. Ada yang memasuki usia emas dengan tugas yang lebih berat daripada ketika muda. 

Ada yang masih menjaga pasangan yang terlantar sakit, mengurus anak yang mengalami masalah kesihatan mental, sakit kronik, menjaga cucu, malah ada yang terpaksa mengurus rumah tangga seorang diri. 

Masa untuk diri sendiri hampir tiada. Rehat menjadi kemewahan yang sukar dinikmati.

Kadang-kadang apabila melihat orang lain melancong, bersantai bersama keluarga atau menikmati persaraan yang tenang, terdetik juga rasa sedih di hati: Mengapa hidup ini masih penuh dengan ujian sedangkan usia semakin lanjut? 

Namun di sinilah terletaknya keindahan sebenar kehidupan.

Nilai seseorang bukan diukur pada mudah atau sukarnya perjalanan hidup, tetapi pada bagaimana dia menghadapi setiap ujian yang diberikan. Ada insan yang diuji dengan kesenangan, ada yang diuji dengan kesusahan. Kedua-duanya adalah ujian daripada Allah.


Berinteraksi dengan rakan sebaya menjadikan usia tua lebih ceria dan positif.


Menjadi tua bukan bererti kehidupan mesti sentiasa tenang dan bebas masalah. Menjadi tua adalah tentang menjadi lebih matang dalam menerima takdir. 

Kita mungkin tidak dapat memilih ujian yang datang, tetapi kita boleh memilih bagaimana untuk menghadapinya.

Setiap pagi yang dimulakan dengan syukur adalah satu kemenangan. Setiap kali kita menyuap makanan kepada insan yang sakit, memimpin mereka berjalan, menemani mereka ke hospital atau sekadar mendengar keluhan mereka, semuanya adalah amal yang sangat bernilai di sisi Allah.

Mungkin dunia melihat kita sebagai orang tua yang masih bergelut dengan pelbagai tanggungjawab. Tetapi di sisi Allah, mungkin setiap langkah dan pengorbanan itu sedang mengangkat darjat kita sedikit demi sedikit. 

Justeru, jangan biarkan usia tua dipenuhi keluhan. Hiasilah ia dengan senyuman, kesyukuran dan hati yang positif. Jadilah seperti matahari petang yang tetap memancarkan cahaya walaupun sedang menghampiri senja.


Mencari ilmu baru pada usia tua.

Usia tua yang bermakna bukanlah usia yang bebas daripada ujian. Sebaliknya, usia tua yang bermakna ialah apabila kita masih mampu menjadi sumber kasih sayang, kekuatan dan harapan kepada orang lain walaupun diri sendiri sedang diuji. 

Kerana akhirnya, bukan panjangnya usia yang menjadi ukuran, tetapi bagaimana kita mengisi usia yang Allah pinjamkan dengan sabar, syukur , reda dan penuh cinta.

"Jika masa muda dihabiskan untuk mencari kehidupan, maka masa tua adalah waktu untuk memberi makna kepada kehidupan." - KitaReporters


13
7
0
12
0

Copy Link: