Video| Pentingnya ada perkampungan Orang Asli di pinggir hutan! Bantu kes hilang seperti Jaslinda!
Published byTersebarnya berita penemuan pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49, oleh Orang Asli di hutan Perak pada 6 Jun 2026, sedikit sebanyak telah mengubah tanggapan ramai terhadap masyarakat Orang Asal itu.
Dengan usaha mereka memberi bantuan awal kepada mangsa berkenaan dan layanan baik yang diberikan, membuat kita berasa terharu dan berterima kasih kepada masyarakat Orang Asli.
Temu bual bersama lelaki yang menjumpai Jaslinda. - Kredit video: Sinar Harian
Dengan video yang viral berkait penemuan itu, boleh dikatakan terserlah sifat baik dan ikhlas mereka, menunjukkan biarpun tinggal di hutan masyarat Orang Asli juga seperti manusia biasa mempunyai sikap belas sesama insan dan suka menolong tidak kira siapa.
Pada zaman kanak-kanak semasa tinggal di kampung di daerah Jerantut, Pahang lebih setengah abad lalu penulis sentiasa ditakutkan dengan situasi berjumpa atau terserempak dengan Orang Asli kerana takut terkena sumpit.
Sumpit adalah alat perburuan Orang Asli berupa buluh panjang dengan mata beracun. Sumpitan beracun itulah yang sangat ditakuti kerana apabila terkena mangsa, dikatakan sah akan mati.
Persepsi penulis ketika itu adalah Orang Asli berbahaya kepada masyarakat kaum lain dan perlu dielakkan.

Berbentuk panjang itu adalah sumpit, daripada buluh, alat berburu yang ditakuti kerana panahan matanya yang beracun. - Kredit gambar: Rashidah Ibrahim
Namun layanan yang diberikan oleh Orang Asli kepada Jaslinda yang hilang di hutan baru-baru ini, memberi gambaran sebaliknya. Ternyata Orang Asli juga mempunyai sifat empati dan berhati baik.
Kini tidak perlu lagi berasa bimbang untuk berhadapan dengan Orang Asli, dan lupakanlah soal takut kepada sumpit, kerana ia adalah senjata untuk memburu haiwan bukan untuk membunuh manusia.
Jaslinda yang dilaporkan hilang di kawasan Gunung Batu Putih selama dua minggu ditemui Orang Asli, di Perkampungan Orang Asli Lubuk Gaharu di Pos Musoh, Batu 8, Jalan Pahang, Tapah, Perak.
Ketika sedang memancing di Sungai Air Busuk pada petang 6 Jun 2026, Orang Asli berkenaan secara kebetulan ternampak sosok seorang wanita di atas jambatan tidak jauh daripada tempatnya memancing dan wanita itu ialah Jaslinda yang hilang selama 14 hari ketika aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih.
Mangsa itu kemudian dibawa ke rumah ketua kampung yang lebih dikenali sebagai Tok Batin.

Jaslinda hilang di hutan selama 14 hari, sejak 23 Mei 2026 ketika hendak turun dari Gunung Batu Putih. Dia memberitahu Tok Batin, ketika hilang dia berjalan berpusing-pusing di tempat yang sama, takdir tidak menemukan dia dengan pasukan pencari.
Langkah kaki mengikut gerak hati membawanya ke kampung itu.
Di sebuah jambatan usang, dia sengaja berdiri di tengahnya dengan harapan nampak sesiapa untuk meminta bantuan. Nasib menemukannya dengan pemancing berkenaan, yang kemudian bergegas datang untuk menyelamatkannya.
Sejurus selepas ditemui, tersebar berita penemuan Jaslinda dalam media sosial, dikatakan ditularkan dalam kalangan Orang Asli, penulis bagaimanapun mengetahuinya daripada posting dalam Facebook Tapah Media Official sekitar masa yang sama.
Maklumat penemuan tidak rasmi kemudian tersebar menerusi komen penduduk dalam posting itu. Antaranya daripada pemegang akaun FB, Puteri Raja Rimba di bawah ini.

Komen dalam posting FB Tapah Media Official ini antara maklumat awal daripada orang awam, dipercayai dalam kalangan Orang Asli.
Nama lelaki Orang Asli yang ternampak Jaslinda di atas jambatan ialah Bah Roslan Bah Sulpok dan Nazri a/l Bah Eng.
Biarpun mereka bukan daripada kalangan pasukan pencari, jasa mereka tetap dihargai ramai terutam oleh para netizen yang mengikuti kes kehilangan itu daripada awal dan tidak sabar menunggu penemuan mangsa berkenaan.
Menariknya, sebaik mendekati Jaslinda, dua lelaki yang menemuinya itu tahu dia adalah pendaki wanita yang hilang dan sedang dicari.
Menyedari itu, mereka terus membantu Jaslinda yang dalam keadaan keletihan, lantas menghubungi ketua kampung iaitu Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, yang kemudian meminta supaya mangsa itu dibawa ke rumahnya.
Salah seorang daripadanya mengakui, mereka tahu wanita di atas jambatan itu adalah Jaslinda berdasarkan gambar yang pernah dilihat dalam media sosial, yang dikatakan hilang dalam pendakian.
Ternyatalah Orang Asli juga mengikuti perkembangan semasa, walaupun tinggal di pinggir hutan belantara, tetapi mereka tetap terdedah dengan maklumat dari alat teknologi perhubungan.

Indahnya Sungai Air Busuk di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, tempat penduduk kampung mendapatkan sumber makanan termasuk ikan, dari dalam air.
Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh, Tapah, Perak terletak di pinggir hutan tebal dan berbukit.
Perkampungan itu berkedudukan di Banjaran Titiwangsa bersempadan Perak-Pahang, juga berhampiran Pos Titom di Kuala Lipis, Pahang. Ia dikelilingi hutan tebal berbukit termasuk berhampiran Gunung Batu Putih.
Di kawasan itu terdapat lapan kampung Orang Asli lain yang dihubungkan dengan denai hutan dan perjalanan kaki ke Pos Titom, mengambil masa sekitar dua jam.
Lokasi itu adalah kawasan penempatan Orang Asli Suku Semai yang menjadi titik fokus operasi mencari dan menyelamat Jaslinda yang hilang di hutan Batu Putih.
Jarak anggaran dari kawasan puncak Gunung Batu Putih ke lokasi beliau ditemui dianggarkan antara lapan hingga 10 kilometer.

Nazri Bah Eng menunjukkan tempat dia menemui Jaslinda di atas jambatan. - Kredit dari video: Sinar Harian
Ternyata wujudnya perkampungan orang Asli di hutan mempunyai manfaat tersendiri, yang mana apabila berlaku kes orang hilang di belantara, nasib baik boleh berpihak kepada mangsa andai mereka bertemu dengan Orang Asli di hutan atau tersampai ke kampung mereka.
Kerajaan selama ini begitu prihatin dengan keadaan hidup Orang Asli dan sentiasa menggalakkan mereka untuk berpindah keluar dari hutan dan tinggal dalam keadaan yang lebih sempurna di kawasan perkampungan bukan berhutan, namun kesempurnaan itu bukanlah keselesaan bagi mereka.
Sebaliknya segelintir masyarakat Orang Asli bersedia menerima apabila penempatan itu disediakan sekurang-kurangnya di pinggir hutan belantara, yang dekat dengan alam kehidupan mereka.
Tempat untuk mendapatkan sumber makanan, hutan menjadi sebahagian daripada hidup mereka, justeru andai berlaku kes orang hilang di hutan belantara, doa kita agar mangsa terjumpa dengan Orang Asli.
Zaman ini, sukar untuk bertemu dengan orang kita berburu di hutan tebal melainkan Orang Asli sahaja.
Pun begitu, tidak dinafikan dengan perkembangan zaman yang semakin moden, sebahagian Orang Asli juga berpendidikan, ada yang bersekolah dan belajar tinggi sehingga ke universiti.
Yang masih tinggal di hutan pula tidak sekolot dulu. Sudah tiba masanya, orang kita dan orang mereka tidak perlu saling prejudis, atau saling menganggap orang asing.

Sebut hal Orang Asli, penulis sendiri pernah bergurukan seorang wanita berketurunan Orang Asli campuran darah Cina sewaktu bersekolah menengah.
Sejak itu, tidak lagi penulis merendahkan Orang Asli kerana ternyata kini mereka sudah pandai hidup bermasyarakat setelah diberikan peluang bersekolah, belajar tinggi dan mempunyai kerjaya.
Tidak dinafikan ada yang memilih tinggal di bandar. Dalam pada itu, tetap juga ada yang memilih untuk tinggal dekat dengan hutan walaupun sudah kaya raya seperti Nur Rafidah Man, pempengaruh media sosial dan pengusaha minyak perubatan yang lebih dikenali Fida Jungle Girl.
Menurutnya, dia sudah terbiasa dengan cara hidup di hutan justeru dia tidak betah tinggal di bandar.
Fida adalah wakil Orang Asli yang memberi sumbangan kepada seluruh masyarakat di negara ini tidak mengira kaum dan bangsa menerusi manfaat produk minyaknya. - KitaReporters
Ini pula perkampungan Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Bengoi, pinggiran sungai Ulu Sat, Kuala Tembeling, Pahang. - Kredit video: Rashidah Ibrahim
