Video| Peluk Islam bukan jadi Melayu maa! Bangsa memang tak boleh tukarlah! Orang Cina tetap Cina!
Published byIsu yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini -- ramai masyarakat Cina semakin cenderung kepada Islam -- memang tidak dapat dinafikan.
Sama ada dalam media sosial mahupun di mana sahaja persoalan mengapa begitu ramai masyarakat Cina semakin cenderung kepada Islam, sering menjadi topik perbincangan.

Apalagi dengan usaha mencambahkan lagi bukan Islam bersyahadah oleh pelbagai pihak termasuklah inidividu dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful Pulau Pinang (IKUT).
Kelas dan kuliah yang diadakan dalam bahasa Mandarin (dialek Hokkien) sebanyak tiga kali seminggu oleh IKUT sekitar Georgetown membuahkan hasil.
Usaha serius menyeru ke jalan Allah nampaknya berjaya setelah adanya dokongan orang ramai termasuklah yang menyumbangkan tudung bagi menutup aurat wanita Cina yang baharu bersyahadah.

Walaupun ada suara-suara sumbang khususnya daripada teman dan taulan yang mengecam mereka yang telah bersyahadah dengan kata-kata nista dan jelek tetapi mereka tetap mendapat pembelaan dari komuniti Cina sendiri.
Tiktoker Jacob Chai membela bangsa Cina yang memeluk Islam dengan berkata, masuk Islam bukannya jadi orang Melayu. Malah tegasnya mereka sudah mendapat hidayah, itu pilihan mereka, tiada salahnya.
Jacob Chai lebih berani apabila mempertahan mereka dengan katanya 'jika agama dan bangsa pun tidak tahu beza, jangan komenlah, kerana malu sahaja."
Tambah Jacob lagi, "dia hanya tukar agama, bangsa tetap tak dapat tukar, tetap orang Cina, bukan orang Melayu."
"Pergi balik sekolah belajar dulu, apa beza agama dan bangsa. Lepas sudah pandai, baharu datang sembang."


Manakala penaung IKUT, Zolkifly Md Lazim berpandangan kesedaran mengenai agama Islam telah pun terserlah, difahami dan memberi ketenangan jiwa kepada mereka yang telah bersyahadah.
"Teladan dan tindak-tanduk serta amalan yang dipertonton oleh umat Islam banyak mempengaruhi masyarakat setempat terutama komuniti Cina dan India."
"Ketenangan dan tatasusila yang dilihat wujud dalam kalangan umat Islam setempat turut menjadi salah satu faktor yang mampu memberi impak positif kepada keinginan mereka untuk bersama-sama dengan Islam," katanya. - KitaReporters

