TAHUN 1970-an dan 80-an sudah lama berlalu.  Zaman remaja penulis itu dah hampir 50 tahun ditinggalkan.

Namun, sesekali, duduk termenung seorang diri sambil mengimbas kembali era itu boleh membuat penulis tersenyum sendiri. Banyak kenangan manis zaman remaja. 


KELUARGA Razak Ahmad memenangi anugerah Famili Paling Sporting.



Akhir tahun 1970-an dan awal 1980-an, penulis sedang meningkat remaja, berusia belasan tahun. Menjadi kelaziman, remaja seusia penulis tidak dapat lari daripada terikut-ikut trend semasa terutama dari segi penampilan dan berfesyen.

Ketika itu, gaya rambut remaja lelaki adalah berambut panjang melepasi bahu dan menutup telinga serta dibelah tengah. 

Ada juga yang berambut afro seperti penyanyi Alleycats, David Arumugam atau kemas ala John Travolta.


SEMASA remaja, penulis berimej rambut panjang melepasi bahu.


Dari segi fesyen pakaian, penulis sempat melalui zaman seluar yenki yang sendat mengikut saiz paha dan kaki, juga fesyen seluar bell bottom yang kecil di bahagian atas dan kembang di bawah. 

Fesyen itu kemudian beralih pula kepada baggy yang besar kembang dari atas sehingga bawah. 

Penulis memang tidak mahu kalah dalam bab berfesyen walaupun hanya merasa menempah seluar baharu setahun sekali iaitu ketika nak sambut Hari Raya Aidilfitri dan terpaksa menahan telinga mendengar bebelan emak yang tidak gemar fesyen berkenaan.


 JOHN Travolta menjadi fenomena menerusi filem Saturday Night Fever.


Ketika zaman remaja penulis juga, tercetus fenomena John Travolta yang meledak dengan filem muzikal, Saturday Night Fever dan Grease

Penulis hanya mampu menonton Saturday Night Fever selepas ditayangkan menerusi televisyen tapi dapat menikmati lagu-lagu dari filem itu lebih awal dengan membeli kaset cetak rompak! 

Walaupun tak pandai menari tapi penulis sangat menikmati tarian ala John Travolta yang diperagakan oleh kawan-kawan sekolah ketika persembahan sempena sambutan Hari Guru atau apa saja sambutan. 

Ketika demam Saturday Night Fever belum kebah, Travolta meletup pula menerusi fikem Grease. Kali ini penulis berpeluang menonton di panggung di Pulau Pinang, itu pun dibelanja oleh seorang kawan baik bernama Normala Othman.


GAYA retro menjadi pilihan sebagai tema makan malam reunion Geng Ghapit.



Kenangan itulah mencetuskan idea kepada penulis untuk memilih tema retro apabila diberi tanggungjawab mengetuai jawatankuasa penganjur majlis reunion ke-5 bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Methodist Nibong Tebal (SMMNT), Pulau Pinang. 

Majlis yang berlangsung dengan tema Retro Night, di Kemunting Beach Resort, Melaka pada 5-6 Jun, 2026 lalu menyaksikan peserta tampil dengan gaya dan fesyen 1970-an dan 1980-an. 

Ia benar-benar mencetuskan suasana era retro apabila turut diisi dengan persembahan yang membawa kembali kami ke zaman itu. 

Agak menarik, bukan sahaja bekas pelajar SMMNT yang menamakan kumpulan mereka sebagai Geng Ghapit membuat persembahan, sebaliknya anak-anak dan cucu-cucu turut memeriahkan majlis.


 PELAKON, Eyra Hazali dan suaminya, pemain bola sepak, Haziq Nadzli turut memeriahkan majlis.


Pelakon Eyra Hazali yang bertindak sebagai juruacara pada malam itu agak terperanjat melihat keberanian anak sulungnya, Hyder Qhalish Haziq, 6 tahun, naik ke pentas mempersembahkan tarian Michael Jackson.

"Saya yang pernah berlakon pun masih gementar berada di atas pentas. Bila Hyder beritahu dia nak buat persembahan, kami sekeluarga terkejut," ujar Eyra. 

Hyder mendapat tepukan gemuruh dan dipilih sebagai Si Cilik Paling Wow! 

Dua peserta cilik yang tidak kurang hebat persembahan mereka adalah adik-beradik, Lily Khadijah, 9 dan Luth Khabib, 7.


PESERTA cilik tidak ketinggalan menunjukkan bakat.


Tiupan seruling pesara guru, Rosli Othman serta kreativitinya menyelitkan persembahan video menerusi lagu Mari Bermain Tali, turut memukau hadirin sehingga melayakkan beliau memenangi kategori Persembahan Paling Meletop. 

Sementara itu, Dato' Shahruzzaman Adam dan Fazlina Yahya dipilih sebagai Lelaki Paling Retro dan Wanita Paling Retro. 

Keluarga Razak Ahmad, terdiri daripada 15 orang membabitkan anak, menantu dan cucu yang turut membuat persembahan menerusi lagu Lets Dance Again selayaknya dinobatkan sebagai pemenang kategori Famili Paling Sporting.


 

TIUPAN seruling Rosli Othman memukau hadirin.



Secara keseluruhan majlis itu dihadiri seramai 70 orang yang terdiri daripada bekas pelajar SMMNT sesi 1978-1981 dan keluarga. 

Rata-rata rakan ditemui penulis menyatakan rasa puas hati dan gembira dengan penganjuran kali ini yang menampilkan kelainan berbanding empat reunion yang lalu. 

"Tema retro ini benar-benar mengembalikan kenangan saya pada zaman remaja," kata Raja Scha Raja Azham yang datang jauh dari Nibong Tebal.  

"Yang best semua sporting," kata Fazlina Yahya pula. 

Penjaga gol bola sepak Kuching FC dan skuad kebangsaan, Haziq Nadzli, suami kepada Eyra Hazali, yang turut hadir juga memberi tanda bagus. 



PENULIS dengan gaya retro.


MASING-MASING tampil dengan gaya retro.


Selain acara makan malam bertemakan retro pada 5 Jun, 2026, reunion kali ini turut diisi dengan acara sukan yang berlangsung pada keesokan harinya, 6 Jun 2026. 

Ini adalah reunion kali kelima dianjurkan oleh Geng Ghapit sejak pertama kali diadakan pada 2018. - KitaReporters



ANTARA acara sukan yang dilangsungkan.


 

12
17
0
10
0

Copy Link: