Bangi semarakkan budaya kitar semula! Galak asingkan sampah! Bawa ke pusat kumpul! Dapat wang tunai!
Published bySETIAP kali selesai menikmati minuman kotak, kebanyakan orang terus membuang bungkusan kosong ke tong sampah tanpa berfikir panjang.
Tapi sebenarnya perubahan besar dalam penjagaan alam sekitar boleh bermula daripada tindakan kecil seperti menyimpan kotak minuman, botol plastik atau tin kosong sebelum dihantar ke pusat pengumpulan kitar semula.

Mungkin kelihatan remeh, tetapi itulah asas kepada budaya kitar semula yang sudah lama menjadi amalan masyarakat maju seperti Jepun.
Justeru, Program Kitar Semula Drive Thru Siri 2 di Pusat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, Selangor bukan sekadar aktiviti mengumpul barang terpakai, sebaliknya satu usaha membentuk perubahan mentaliti masyarakat secara berperingkat-peringkat.
Program bersama Ahli Majlis Zon 17, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Pusat Perkhidmatan Kitar Semula DOCM Enterprise itu memberi peluang kepada penduduk menukar bahan kitar semula kepada wang tunai serta pelbagai barangan sebagai galakan.
Ahli Majlis Zon 17 MPKj, Farhan Haziq berkata, program berkenaan memberi fokus kepada komuniti kediaman strata seperti di Pangsapuri PKNS Seksyen 16 kerana penduduk di rumah bertingkat-tingkat berdepan cabaran besar menguruskan sisa domestik berbanding penghuni kawasan perumahan biasa.


Minyak masak terpakai akan ditapis sebelum menjalani pelbagai proses bagi membuang kotoran dan menghasilkan biodiesel untuk dieksport ke luar negara.
Beliau berkata, ini adalah siri kedua selepas program pertama di Dewan Komuniti Seksyen 4. Kali ini, fokus program adalah kepada penduduk pangsapuri kerana mereka mempunyai cabaran tersendiri dalam pengurusan sampah.
"Kita mahu mendekatkan kemudahan kitar semula kepada mereka supaya lebih ramai dapat mengambil bahagian. Pelbagai bahan diterima termasuk plastik, kertas, besi buruk, minyak masak terpakai dan sisa elektrik serta elektronik (e-waste), kecuali botol kaca.
"Selain mengurangkan jumlah sampah pukal yang dibuang, bahan yang dikumpulkan boleh diproses semula dan memberi nilai ekonomi.
"Insentif wang tunai diberikan bukan kerana mahu masyarakat mengejar ganjaran semata-mata tetapi sebagai langkah awal untuk menarik penyertaan lebih ramai penduduk.
"Kita sedar bukan mudah untuk mengubah tabiat masyarakat. Sebab itu kita beri sedikit galakan supaya mereka mengambil bahagian," katanya.
Menurutnya, apabila mereka sudah biasa mengasingkan sampah di rumah dan menghantarnya ke pusat pengumpulan, lama-kelamaan ia akan menjadi amalan harian," tambah beliau.

Farhan Haziq
"Di luar negara, mereka sudah ada budaya mengasingkan kertas, plastik, e-waste dan besi sejak di rumah lagi. Apabila lori kutipan datang, semuanya sudah tersusun dan memudahkan proses pengurusan sisa.
"Itu yang kita mahu lahirkan dalam komuniti kita. Ia perlu bermula daripada diri sendiri, kemudian anak-anak dan seterusnya berkembang kepada seluruh komuniti," katanya.
Beliau mengakui usaha menjadikan kitar semula sebagai budaya bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam tempoh singkat. Malah, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan sebelum ini, namun tahap kesedaran masyarakat masih perlu dipertingkat lagi.
"Kerajaan sudah menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana kitar semula. Apa yang perlu kita ubah sekarang ialah mentaliti masyarakat. Kita perlu terus mendidik dan memberi kesedaran supaya amalan ini menjadi gaya hidup," katanya lagi.


Pelbagai barangan diterima di pusat pengumpulan kitar semula drive thru termasuk besi buruk yang boleh ditukar dengan wang.
"Justeru, untuk permulaan, saya mencadangkan setiap rumah memulakan langkah mudah dengan menyediakan beg atau ruang khas untuk mengasingkan bahan kitar semula.
"Apabila amalan itu menjadi rutin keluarga, proses menghantar bahan ke pusat pengumpulan akan menjadi lebih mudah dan teratur.
"Program ini adalah pendekatan positif kerana menggabungkan kesedaran alam sekitar, pendidikan masyarakat dan insentif ekonomi. Jika dilaksanakan secara konsisten, ia berpotensi menjadikan amalan kitar semula budaya hidup masyarakat, bukan sekadar program bermusim," katanya.
Pada masa sama, usaha berkenaan bukan sahaja membantu menjaga kebersihan kawasan perumahan malah mampu mengurangkan beban kutipan sampah domestik yang ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan dan syarikat pengurusan sisa.
"Lebih penting, program itu menjadi platform pengumpulan data bagi membantu kerajaan negeri merangka dasar pengurusan sisa yang lebih berkesan.
"Kami menyasarkan program berkenaan diadakan setiap bulan sepanjang tahun ini bagi mendapatkan gambaran sebenar jumlah sampah pukal yang dihasilkan penduduk di Zon 17.
"Bayangkan jika semua zon MPKj melaksanakan program seperti ini dan data itu digabungkan dengan 12 daerah di Selangor, kita akan memperoleh maklumat lebih tepat mengenai jumlah sisa dihasilkan oleh rakyat, sekali gus membantu kerajaan negeri merancang penyelesaian yang lebih berkesan," katanya.

Pihak pengurusan kitar semula menyediakan tong roro besar untuk membolehkan pelbagai sampah pukal yang dibuang diproses semula untuk menjadi barang bernilai.

Wakil dari DOCM Enterprise, Derrick (kanan) menerima sampah pukal daripada komuniti tempatan untuk ditukar kepada wang dan barangan lain.
Katanya, kadar kitar semula negara masih belum mencapai sasaran 40 peratus yang ditetapkan, namun usaha berterusan pada peringkat akar umbi diyakini mampu membantu mencapai matlamat itu.
"Walaupun program ini nampak kecil, jika dilakukan secara konsisten dan bersepadu, impaknya besar. Saya yakin dengan kerjasama penduduk, kita bukan sahaja dapat mengurangkan masalah sampah pukal, tetapi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan lestari untuk generasi akan datang.
"Budaya kitar semula tidak lahir melalui penguatkuasaan semata-mata tapi ia bermula dengan kesedaran, dibentuk melalui pendidikan dan diperkukuhkan menerusi amalan harian.
"Jika masyarakat Jepun mampu menjadikan pengasingan sampah identiti komuniti mereka, tidak mustahil rakyat Malaysia mampu melakukannya. Langkah pertama mungkin hanya menyimpan sebotol plastik kosong tapi daripada tindakan kecil itulah lahir perubahan besar yang mengubah masa depan alam sekitar negara," katanya.

Wakil dari MPKj, Roslan (kiri) menyerahkan sumbangan beras selain wang kepada komuniti Bandar Baru Bangi, Azman yang menghantar sampah pukal untuk dikitar semula.

Farhan (enam dari kiri) bergambar kenangan bergambar komuniti dan petugas yang mengendalikan Pusat Kitar Semula Drive Thru di KRT Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, Selangor.
