Program korban surau dan KRT satukan penduduk! Pupuk semangat ukhuwah, nilai ihsan, keprihatinan!
Published byIbadat korban membawa manfaat besar kepada komuniti masyarakat dalam satu-satu kampung, mukim atau daerah menerusi pengagihan bekalan makanan khususnya daging kepada golongan yang memerlukan seperti keluarga miskin, asnaf, ibu tunggal dan mereka yang ditimpa pelbagai musibah meneruskan kelangsungan hidup.

Mohd Asyraf Zainal (kanan) turut membantu melapah daging korban bersama-sama penduduk.
Di samping itu ia berjaya memupuk
semangat perpaduan, ukhuwah dan merapatkan jurang sosial terutama dalam
kalangan orang Islam apabila terbabit secara langsung dalam aktiviti
bergotong-royong seperti menyembelih, melapah, mengagihkan daging korban serta
memasak sebelum dinikmati bersama-sama.
Pengagihan daging korban pula bagi memastikan golongan ketidakberadaan mendapat bekalan makanan berkhasiat dan secara tidak langsung mewujudkan interaksi secara harmoni, sekali gus memupuk nilai ihsan serta keprihatian.
Abdul Razak Abdul Rahman (dua dari kanan) turut membantu dalam proses penyembelihan lembu korban.
Mengambil iktibar daripada sunat
muakad itu, Surau As-Solihin, Bukit Punggur Alai, Melaka bersama Jawatankuasa
Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Punggur dan Pergerakan Pemuda
UMNO Bahagian Kota Melaka menganjurkan Program Korban 2026 di pekarangan surau
berkenaan, pada 27 Mei 2026.
Penasihat 2, Surau As Solihin
berkenaan, Azadi Mohd Diah, berkata tujuh lembu ibadat korban itu, empat
daripadanya anak khariah Kampung Bukit Punggur dan selebihnya daripada
Pergerakan Pemuda UMNO Kota Melaka sebagai sumbangan setiap dua tahun sekali
untuk surau dan masjid.
Menurutnya, bagi menyempurnakan penyembelihan korban, melapah, memotong seterusnya agihan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka, Mohd Asyraf Zainal mengetuai 40 pemuda untuk berganding bahu bersama-sama penduduk kampung dan JPKK.

Azadi Mohd Diah (kanan) menyantuni penduduk yang terbabit dalam tugasan penghantaran agihan daging korban kepada keluarga miskin, asnaf dan ibu tunggal.
Tambahnya, mengetepikan segala fahaman dan pendapat, program itu berjalan lancar sebelum waktu tengah hari dengan 185 bungkus daging korban dapat diagihkan kepada mereka yang sudah dikenalpastikan dalam kalangan keluarga miskin, asnaf dan ibu tunggal sekitar kampung berkenaan.
Jelasnya, bersikap kerjasama, bertolak
ansur dan permuafakatan antara penduduk kampung mencapai antara objektif
program berkenaan untuk memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan kariah
surau serta masjid yang dapat bersatu melaksanakan ibadat muakad itu.
“Hubungan harmoni sedemikian akan terus dipupuk kerana ia menunjukkan bukti mampu merapatkan hubungan kekeluargaan dan sentiasa bersedia untuk bermuafakat dalam apa jua aktiviti kemasyarakatan termasuklah menjayakan majlis perkahwinan serta menguruskan soal kematian,” ujarnya.
Turut hadir memeriahkan program berkenaan, Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama isteri; dan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Zaini Md Nor dengan diiringi isteri.

Sebahagian penduduk kampung dan sukarelawan dalam kalangan Pemuda UMNO merakamkan kenangan bersama-sama Abdul Razak Abdul Rahman pada program korban berkenaan.
Sementara itu, Kawasan Rukun Tetangga Kasturisari (KRT Progresif) Presint 14, Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor pula berjaya mengorbankan tiga lembu pada Program Qurban KRT 2026 berkenaan pada 30 Mei 2026 dan urusan penyembelihan disempurnakan oleh Halili Amir.
Pengerusinya, Mahmod Mat Ali, berkata aktiviti gotong-royong melapah, menimbang dan membungkus daging korban dilaksanakan dengan penuh semangat kerjasama membabitkan komuniti Kasturisari, malah turut mendapat penyertaan daripada penduduk sekitar Bandar Sungai Buaya.

Ahli KRT Kasturisari (RT Progresif) Presint 14, Bandar Sungai Buaya bersama penduduk melakukan ibadat korban.
Tambahnya, setinggi-tinggi penghargaan
dan terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian serta menyumbangkan
tenaga serta masa bagi menjayakan program itu khusus Team Nona Wawasan diketuai
Zaiton Ishak membantu menyediakan hidangan makan tengah hari untuk sukarelawan
dengan menu istimewa daging masak asam, sup tulang di samping daging goreng
kunyit.
Jelasnya, pengagihan daging korban
kepada asnaf dan orang awam dilaksanakan sejurus selepas proses pembungkusan
selesai kemudian diikuti dengan jamuan makan tengah hari membabitkan semua
sukarelawan, penduduk dan ahli KRT yang hadir.
“Saya turut berasa terharu apabila ramai penyumbang menghulurkan sumbangan kewangan, peralatan dan tenaga bagi memastikan kelancaran program ini berlangsung sehingga selesai dengan sempurna,” katanya. - KitaReporters
Team Nona Wawasan diketuai Zaiton Ishak menyediakan menu makan tengah hari untuk ahli KRT, sukarelawan dan penduduk.
