Perkukuh jaringan global! As-Safa Travels bantu promosi pelancongan Zhouzhuang! Bandar warisan China!

Published by
KitaReporters

As-Safa Travels & Tours Sdn. Bhd. terus memperkukuh kedudukannya dalam industri pelancongan antarabangsa dengan bekerjasama dengan BMC Travel untuk memperkenal Zhouzhuang, sebuah bandar air warisan berusia lebih 1,000 tahun yang menerima  pengiktirafan tertinggi iaitu 5A


MEMETERAI MoU... Md Roslan Mohammad Jaafar (kanan) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik pelancongan dengan Zhouzhuang Ancient Village Tourism sempena Majlis Pelancaran Rasmi Promosi Pelancongan Zhouzhuang di Hotel InterContinental Kuala Lumpur.

As-Safa Travels & Tours Sdn. Bhd. terus memperkukuh kedudukannya dalam industri pelancongan antarabangsa apabila menyertai Majlis Pelancaran Rasmi Promosi Pelancongan Zhouzhuang di Malaysia yang berlangsung di Hotel InterContinental Kuala Lumpur pada 20 Julai 2026.

Delegasi syarikat diketuai Pengarah Eksekutifnya, Md Roslan Mohammad Jaafar bersama beberapa pegawai kanan As-Safa Travels selepas menerima jemputan rasmi daripada Persatuan Penyelidikan Pelancongan Malaysia (World Research Travel Organization Malaysia atau WRTO Malaysia).

Majlis anjuran WRTO Malaysia dengan kerjasama BMC Travel itu bertujuan memperkenal Zhouzhuang, sebuah bandar air warisan berusia lebih 1,000 tahun yang menerima penarafan 5A, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam sistem penarafan destinasi pelancongan China. 

Pengiktirafan itu diberikan kepada destinasi yang memenuhi piawaian tertinggi dari segi nilai warisan, tarikan pelancongan, kemudahan, pengurusan serta kualiti perkhidmatan.


SEBELUM DIMETERAI... Md Roslan Mohammad Jaafar (kanan) bersama wakil syarikat lain meneliti dokumen Memorandum Persefahaman (MoU).

Program berkenaan turut menjadi platform memperkukuh hubungan pelancongan antara Malaysia dan China melalui pertukaran idea mengenai pembangunan pelancongan mampan, pemuliharaan warisan, inovasi pelancongan luar bandar serta strategi penjenamaan destinasi bertaraf antarabangsa.

Delegasi dari Zhouzhuang yang diketuai Pengurus Besarnya, Ye Xin, berkongsi pengalaman membangunkan bandar bersejarah itu sehingga menjadi antara destinasi pelancongan paling terkenal di China dan menerima kunjungan jutaan pelancong dari seluruh dunia setiap tahun.

Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis bersama Raja Puan Muda Perlis, sekali gus mencerminkan hubungan erat Malaysia dan China dalam memperkukuh kerjasama sektor pelancongan serta pertukaran budaya.

Penyertaan As-Safa Travels dalam program berprestij itu membuktikan komitmen syarikat untuk terus memperluas jaringan kerjasama strategik pada peringkat antarabangsa, di samping meneroka peluang pembangunan produk pelancongan baharu yang mampu menawarkan pengalaman lebih berkualiti kepada pelanggan.

Md Roslan berkata, penyertaan syarikat dalam program seumpama itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membina rangkaian global dan membuka peluang kerjasama dengan pemain industri pelancongan antarabangsa.

Menurut beliau, hubungan strategik yang terjalin bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat, malah mampu memperkaya pilihan destinasi pelancongan untuk rakyat Malaysia serta menyokong usaha memajukan industri pelancongan negara.


BERKENAN BERANGKAT...  Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Zhouzhuang Ancient Village Tourism dengan beberapa syarikat pelancongan Malaysia sempena Majlis Pelancaran Rasmi Promosi Pelancongan Zhouzhuang di Hotel InterContinental Kuala Lumpur.

Beliau berkata, As-Safa Travels akan terus aktif menyertai program dan forum pelancongan antarabangsa bagi memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat pelancongan tempatan yang berdaya saing, profesional dan sentiasa komited menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. - KitaReporters


PERKUKUH JARINGAN ANTARABANGSA...  Md Roslan Mohammad Jaafar (kanan) bersama peserta dan wakil industri pelancongan.

 

12
11
0
14
0

Copy Link: