Jiran Wanita perkasa wanita, komuniti! KRT Taman Sri Kota fokus perpaduan, keharmonian, keselamatan!
Published byBukan mudah untuk mengumpul kaum wanita melakukan aktiviti sosial yang bermanfaat untuk diri mereka, keluarga, jiran tetangga mahupun sahabat handai. Namun Jiran Wanita (Jiranita) KRT Taman Sri Kota tetap merancang dan berusaha.

Bukan mudah untuk mengumpul kaum wanita melakukan aktiviti sosial yang bermanfaat untuk diri mereka, keluarga, jiran tetangga mahupun sahabat handai.
Malah tanpa komitmen dan kerjasama utuh mustahil dapat dilaksanakan segala perancangan untuk memaju dan memperkasa wanita di semua peringkat.
Sehubungan itu pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) khasnya Jiran Wanita (Jiranita) KRT Taman Sri Kota di Alor Setar, Kedah akan sentiasa menunggu arahan daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dari semasa ke semasa di dalam membantu mencapai agenda kerajaan dalam soal perpaduan, keselamatan, kesihatan dan keharmonian.
Jiran Wanita merupakan sayap wanita bagi KRT.

Aktiviti senamrobik untuk kesihatan juga ada

Azlina Aziz
"Pada peringkat KRT yang mempunyai cabang-cabangnya seperti Jiran Warga Emas, Jiran Wanita, Jiran Muda dan Tunas Jiran kami sedaya upaya menyediakan pelbagai program dan aktiviti untuk penduduk setempat," kata Pengerusi KRT Taman Sri Kota, Azlina Aziz.
Tambahnya lagi, tumpuan supaya semua gerak kerja dapat diselaraskan bersama bagi mencapai hasrat kerajaan untuk menyatukan komuniti yang berdepan dengan situasi dan cabaran semasa yg semakin mencabar.
Pada masa yang sama, KRT memperbanyak aktiviti atau program yang boleh menyatupadukan masyarakat, memastikan keharmonian serta anak anak tidak terjebak dalam masalah dadah dan keruntuhan moral agar semua dapat hidup aman damai.

Aktiviti pemeriksaan kesihatan di Dewan Perparuan Taman Sri Kota, Alor Setar.
"Antara program yang diadakan adalah gotong royong besar- besaran perangi denggi.
"Kami juga dalam merangka persediaan menyambut bulan kemerdekaan pada Ogos ini dengan bertujuan menyuntik semangat cinta dan sayangi negara Malaysia tercinta pada semua peringkat masyarakat terutama dalam kalangan Jiran Muda.
"Tidak lupa juga mengadakan program kesihatan dalam memenangi masalah penyakit tak berjangkit dan kemurungan dalam kalangan warga emas, " ujar Azlina lagi.
Tambah Azlina, program-program lain yang dianjurkan termasuk kuliah Tadabbur Al-Quran sambungan dengan kelas tadarus yg diadakan setiap hari oleh Jiran Wanita, manakala Kem Celik Solat untuk Jiran Warga Emas dan Jiran Muda juga diberi perhatian serius.
Sehubungan itu, pihak KRT Taman Sri Kota berterima kasih dan menyambut baik atas keperihatinan kerajaan dalam memberi geran tahunan bagi menjalankan aktiviti.
"Semoga kenaikan geran tahunan dari 6K ke 10K bermula Januari tahun depan (2027) akan menjadi kenyataan selain insentif-insentif lain untuk KRT keseluruhan," jelas Azlina lagi.

Program memasak bubur asyura
Sementara itu dalam Program Ziarah Muharam yang diadakan pada Ahad, 19 Julai 2026 lalu di taman tersebut, ia turut memberi peluang kepada kariah Jiran Wanita Taman Sri Kota Alor Setar mendapat telekung baru hasil sumbangan orang ramai.
Projek telekung wakaf ini telah menyumbang 30 pasang telekung kepada kariah jiran wanita asnaf, ibu tunggal, warga emas pesakit kanser dan petugas serta AJK Jiran Wanita di taman tersebut.
Seramai 50 orang hadir mengimrahkan majlis ukhwah dan silaturahim tersebut yang turut dihadiri Team Telekung Wakaf yang
dipimpin oleh Normala Hamzah.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Kedah, Dato Rozaina Radzi dan ahli-ahli WI Kedah.

Rozaina Radzi (kiri) wakil team telelung menerima buah tangan dari Rusmaza Che Saad

Rusmaza Che Saad
Rusmaza Che Saad, Pengerusi Jiran Wanita Taman Sri Kota dalam ucapannya merakamkam terima kasih kepada team telekung yang
menyumbang telekung kepada ahli ahlinya.
"Semoga aktiviti ini menjadi inspirasi kepada kami dalam mencari reda Allah, dengan aktiviti aktiviti keagamaan bagi meningkatkan amalan." kata Ruzama.
Sementara itu Normala pula menyifatkan majlis sumbangan telekung kepada Jiranita Taman Sri Kota sebagai satu ibadah yang harus diteruskan oleh mereka yang suka beramal dan bersedekah..
"Sumbangan ini ikhlas dari para penyumbang seluruh negara dan kami hanya perantara untuk melaksanakan amanah tersebut," katanya.
Jiranita Taman Sri Kota dipilih kerana ia padat dengan aktiviti
mendidik rohani serta kemasyarakatan yang memupuk ukhwah dan silaturahim.

Musalmah Baharom
Sementara itu, Setiausaha KRT Taman Sri Kota, Musalmah Baharom pula menyifatkan kaum Muslimat Jiranita sebagai sangat
prihatin, komited dan sporting.
"Mereka sangat memberi kerjasama dalam apa jua aktiviti yang dibuat terutama kelas mengaji, tadarus dan gotong royong kacau bubur lambuk dan asyura," katanya.
Semoga kebaikan yang dibuat mendapat keberkatan dan ganjaran dari Allah SWT. - KitaReporters

Program sumbangan telekung untuk Muslimat yang memerlukan
