Lari sudah! Kutip lebih RM650k pun sudah! Sumbang kepada penduduk Muar juga sudah! Nikah je belum!

Published by
KitaReporters

Larian Kesyukuran Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman  sejauh 170 kilometer dari Istana Kehakiman di Putrajaya dan selama 4 hari itu berjaya mengumpul RM650,959.21 bagi membeli iPad, bakul makanan, biasiswa dan ada simpanan hampir RM400,000 lagi untuk kegunaan akan datang.




TERINGAT kisah Siti Hajar yang berlarian dari Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali untuk mencari air sebelum terbinanya Kota Mekah untuk umat Islam, bila melihat kegigihan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, (SS) membuat larian kesyukuran untuk dua kemenangan,

Bebas daripada tuduhan rasuah dan penggubahan wang serta menunggu tibanya saat naik pelamin.

Seandainya Siti Hajar berlarian mencari seteguk air untuk puteranya yang sudah tiada makanan dan minuman lagi, SS pula dinafikan haknya untuk mendapat peruntukan bagi diagih-agihkan ke kawasan Parlimennya. 



Semua maklum, menurut laporan, Ahli Parlimen dikatakan menerima peruntukan kawasan keseluruhan dianggarkan antara RM3.5 juta hingga RM3.8 juta setahun. Ini merangkumi peruntukan khas Perdana Menteri sebanyak RM1.7 juta (Semenanjung) atau RM2.2 juta (Sabah dan Sarawak).

Namun peruntukan khas PM ini hanya diberikan kepada Ahli-Ahli Parlimen daripada parti-parti kerajaan sahaja.

Ini bermakna Ahli-Ahli Parlimen daripada bukan parti kerajaan perlu mencukupkan atau menambah sendiri kekurangan peruntukan untuk kawasan mereka.

Selain itu, mereka juga layak menerima elaun tetap bulanan sebanyak RM25,700. 




Dari derma serendah 50 sen sehingga RM20,000 telah dikutip oleh SS semasa Larian Kesyukuran Muar sejauh 170 kilometer dari Istana Kehakiman di Putrajaya pada Khamis, 16 Julai 2026 sehingga ke kawasannya di Muar Ahad 19 Julai 2026 lalu.

Larian selama 4 hari itu berjaya mengumpul RM650,959.21 bagi membeli iPad, bakul makanan, biasiswa dan ada simpanan hampir RM400,000 lagi untuk kegunaan akan datang.

"Satu sen pun saya tidak akan ambil. Semua kutipan ini adalah untuk pembangunan keluarga besar saya di Muar. 

"Ini adalah tanda kasih saya kepada orang Muar yang melantik saya sebagai wakil Parlimen dua penggal. Saya sangat berterima kasih kepada warga kawasan kerana sabar dan terus percaya, bagi peluang," katanya.

Ada yang bagi pelbagai gelaran dan terkini digelar pensandiwara (pelakon) Hollywood yang muak di Muar, SS menerimanya dengan hati tenang.

Tidak kira apapun tanggapan kepadanya yang penting, dia menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan hasilnya, kerana sudah RM99,00 dibelanjakan beli 51 iPad, menyediakan 1,000 bakul barangan dapur dan biasiswa dengan UniEnrol yang berjumlah RM61,400.

Masih ada baki lagi dan ada permintaan luar jangka penduduk di Muar terutama daripada golongan asnaf dan Orang Kurang Upaya (OKU) akan menjadi tanggungjawab Pusat Khidmat Parlimen yang akan senaraikan nanti.



Sepanjang jalan larian melalui beberapa kampung di Seremban dan Melaka, ia sudah menjadi macam kempen pilihan raya pula.

Untuk kemudahan SS, Bella menyewakan karavan dan ada satu saat itu dia memandu kenderaan itu dan membawa keluarganya semasa SS menuju Melaka.

Kata Bella lagi, karavan itu bagi memastikan SS dapat bersolat tepat waktunya.  Berehat dan tidur sekejap.

Bella atau Dayang Bella Astilah dan dua anaknya, Ara dan Ayden, manakala ibu bapa SS,  Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan mamanya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz serta ibu Bella ada di samping SS dalam setiap perjalanan.

SS terkejut dan tidak menyangka akan adanya rakyat keluar berbaris di pinggir jalan untuk memberinya semangat. 

Tu yang sambil berlari anak, warga bertepuk tangan dan sambil ada ibu bapa, kanak-kanak menyerahkan duit daripada 50 sen sehingga menggunakan QR sejauh dari Sabah.



Penaja termasuk Cherry dan Kitsui membekalkan baju-T, sementara ada satu kampung di Seremban, penduduk kampung sanggup beramai-ramai menunggu dan mengalu-alukan rombongan SS untuk memberi semangat.

"Saya tidak menduga begitu ramai keluar menyambut kedatangan kami. Malah saya tidak terfikir program ini mendapat restui sejak dari Kuala Lumpur, daerah di Seremban, sepanjang jalan Melaka sehingga kami sampai ke Muar," katanya.

Netizen pula mendoakan semoga SS boleh menambah bantuan kepada kumpulan anak-anak yang tidak bernasib baik untuk mendapat kemudahan asas, memuji SS yang tidak gentar dengan sindiran tajam kerana yang perlu didahulukan adalah rakyat.



Seorang netizen, Wan Nasir Wan Yahaya mencadangkan supaya program larian ini dinamakan Larian Saddiq atau "Maraton Muar" dan diadakan setiap tahun untuk menjana pendapatan untuk faedah rakyat bukan saja terbuka kepada peserta tempatan malah antarabangsa. 

Sukhairi Mizan pula memberi komen supaya rakyat Muar patut join SS untuk membuat larian bersama. Takkan tengok je dia lari seorang seorang untuk kutip dana.

Izuddin Ali Hassan menegaskan, bagi seorang Ahli Parlimen pembangkang yang dinafikan peruntukan untuk kawasannya, usaha ini adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Malah Jeme Sudin pula membuat hantaran lucu, "YB SS next PRU mohon pindah ke Melaka yer. Kalau orang Johor tak suka YB, Melaka tiada raja, dan orang Melaka suka YB SS." - KitaReporters



13
10
0
17
0

Copy Link: