Sentuhan Jepun perkasa penjagaan warga emas! Cara Dohsa-hou! Kesejahteraan fizikal, emosi, psikologi!
Published byProgram latihan khas Dohsa-hou dari Jepun menghimpunkan petugas dan penghuni pusat jagaan untuk mempelajari kaedah penjagaan warga emas yang memberi penekanan kepada kesejahteraan fizikal, emosi dan psikologi warga emas.

Senyuman yang terukir pada wajah penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia menjadi gambaran kejayaan latihan khas Dohsa-hou, satu pendekatan terapeutik dari Jepun yang memberi penekanan kepada kesejahteraan fizikal, emosi dan psikologi warga emas.
Program yang berlangsung pada 9 Julai 2026 dengan kerjasama Malaysia Relief Agency (MRA) itu menghimpunkan petugas dan penghuni pusat jagaan untuk mempelajari kaedah penjagaan yang lebih sistematik, selamat serta berteraskan kasih sayang.
Latihan dikendalikan oleh dua tenaga pengajar dari Jepun, Ara dan Viet, yang berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam membantu warga emas menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan bermaruah.
Sepanjang latihan, peserta didedahkan kepada teknik sentuhan terapeutik, pergerakan badan yang betul, komunikasi berkesan serta pendekatan penjagaan yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek fizikal, malah kesejahteraan emosi penghuni.

Suasana program bertambah ceria apabila penghuni turut mengambil bahagian dalam sesi praktikal yang disesuaikan mengikut tahap keupayaan masing-masing.
Gelak tawa dan senyuman jelas terpancar apabila mereka berjaya mengikuti setiap aktiviti yang disediakan.
Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata latihan Dohsa-hou membuka dimensi baharu dalam usaha meningkatkan mutu penjagaan warga emas di pusat berkenaan.
"Melalui perkongsian ilmu ini, kami dapat mempelajari pendekatan penjagaan yang diamalkan di Jepun.
"Ia bukan sekadar meningkatkan kemahiran petugas, malah memberi manfaat besar kepada penghuni agar mereka dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih baik dan bermaruah," katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu turut meningkatkan keyakinan petugas dalam mengendalikan penghuni, selain membantu mewujudkan hubungan yang lebih mesra antara penjaga dan warga emas.
"Kami juga merakamkan penghargaan kepada Mr. Ara, Mr. Viet serta Malaysia Relief Agency (MRA) atas kesudian berkongsi kepakaran dan pengalaman bersama kami.
"Semoga jalinan kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan," katanya.
Menurut Syafiq, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia sentiasa komited memperkasakan mutu perkhidmatan melalui latihan berterusan serta perkongsian ilmu bersama pakar dari dalam dan luar negara.
Katanya, usaha itu selaras dengan matlamat pusat jagaan berkenaan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif, selamat dan penuh kasih sayang agar setiap penghuni dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

Program berakhir dengan penyampaian cenderamata kepada Ara dan Viet sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka menjayakan latihan tersebut.
Pendekatan Dohsa-hou membuktikan bahawa penjagaan warga emas bukan sekadar memenuhi keperluan harian, sebaliknya memerlukan sentuhan kemanusiaan, kesabaran dan empati bagi memastikan golongan itu terus menikmati kehidupan yang bermaruah serta dihargai. - KitaReporters

