Video| Tak kejar jadi Jutawan! Tapi Mark Adam kepingin jadi angkasawan! Pelihara 18 anak bulus!
Published bySiapa tidak mengenali penyanyi dan pelakon dari Filipina, bernama asal Marcus Mark Macaraig Echivarre, 47, seorang mualaf (Muslim recert) yang kini dikenali sebagai Fikri Adam Mark Abdullah atau lebih popular dengan panggilan Mark Adam.

Dan semua juga maklum sejak mendirikan rumah tangga dengan pengurusnya sendiri, Norazah Redzuan pada 2003, pasangan ini belum ditakdirkan memperolehi zuriat namun rezekinya dalam bidang seni terus berkembang.
Terbaharu, Mark memaklumkan semakin aktif mengembangkan perniagaan secara e-dagang malah lebih menarik lagi, jika kedatangannya ke Malaysia buat pertama kali pada tahun 2001 dahulu hanya berbekalkan RM30 sahaja di dalam poket, Mark kini sudah mampu berbelanja antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan demi memastikan keluarganya terpelihara.
“Keluarga saya adalah isteri dan ‘anak-anak bulus' saya sebanyak 18 ekor yang saya jaga sepenuh jiwa,” ujar Mark Adam ketika ditemui pada Ekspo Oh! My Meow 2026 yang kini sedang berlangsung di Midvalley Exhibition Centre (MVEC) sehingga 12 Julai 2026.
Untuk rekod, Oh! My Meow Expo diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai ekspo kucing terbesar di Malaysia sejak penganjurannya bermula pada tahun 2023 oleh Trifles And Lemons Expo Sdn Bhd yang diterajui Calvin Soh dan Jaice Tan.
Menurut Mark, kunjungannya ke ekspo berkenaan menjadi rutin setiap kali ia dianjurkan, di mana kali ini beliau dan isterinya membawa bersama seekor kucing yang dinamakan ‘Rokiah’, baka Sphynx dari Ukraine.

“Pada asalnya kami mempunyai 30 ekor kucing tetapi disebabkan faktor usia kini hanya tinggal 18 ekor sahaja dan mereka kami tempatkan di dalam dua buah bilik khas berhawa dingin dilengkapi televisyen kerana kucing-kucing kami suka tonton kartun,” cerita Mark sambil memaklumkan kesemua kucing-kucing peliharaannya bernama Melayu klasik seperti antaranya Rosyam, Rosmah, Roslan yang diinspirasikan daripada nama artis tempatan.
Bagi Mark, ekspo seperti ‘Oh! My Meor sentiasa menjadi pilihan kerana menawarkan pelbagai promosi menarik termasuk makanan, aksesori serta barangan penjagaan kucing.
“Kalau tak ada kucing, rumah memang sunyi. Kucing sangat manja dan bagi saya ia haiwan yang sangat istimewa. Mereka bukan sekadar haiwan peliharaan tetapi sudah menjadi sebahagian daripada keluarga,” akuinya.
Tidak syak lagi, kucing-kucing itu sebagai pengganti ‘anak’ yang belum direzekikan bagi Mark dan isterinya waima sanggup berhabis ribuan ringgit bagi memastikan ‘keluarganya’ hidup selesa.
“Saya bukan nak jadi jutawan atau terlalu kaya. Saya cuma nak keluarga hidup selesa. Bagi saya, sederhana itu apabila keluarga cukup makan, ada tempat tinggal yang baik dan tidak dibebani hutang. Itu sudah memadai,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, apabila ditanya mengenai impian yang masih belum tercapai dengan selambanya Mark mengakui menyimpan hasrat untuk menjadi angkasawan.
“Mungkin angkasawan kedua selepas idola saya, Dato Dr. Sheikh Muszaphar Shukor,” seloroh Mark.
Mengulas lanjut katanya ia bukanlah cita-cita yang dipendam sejak kecil, sebaliknya timbul daripada rasa ingin tahu untuk melihat sendiri keindahan bumi dari angkasa lepas.
“Saya nak tengok sendiri pemandangan dari atas dengan mata saya sendiri. Itu yang buat saya tertarik.
"Sekarang pun kita tengok banyak perkembangan penerokaan angkasa, termasuk usaha yang dilakukan oleh Elon Musk yang merancang membina penempatan manusia di Marikh,” tambah Mark teruja.
Bagaimanapun, Mark Adam mengakui impian itu mungkin sekadar akan kekal sebagai sebuah impian.
“Biar impian itu kekal sebagai impian. Buat masa ini saya fokus kepada kerjaya dan juga bisnes yang sedang saya bangunkan,” akhirnya sambil ketawa sekali gus sempat mempelawa pencinta kucing sepertinya mengunjungi Oh! My Meow Expo dan melihat sendiri pelbagai kelengkapan kucing mahu pun menyaksikan kereta elektrik pertama, Jaecoo JV 5 yang mempunyai kabin mesra haiwan direka khusus bagi mereka yang sering memandu bertemankan haiwan peliharaan masing-masing. - KitaReporters
