Masak bubur sambut 10 Muharam! PIBG SK Teluk Pasu masak asyura! KRT Kasturisari pula masak lambuk!

Published by
KitaReporters

Program Bubur Asyura anjuran Sekolah Kebangsaan Telok Pasu (SKTP), Manir, Kuala Terengganu menzahirkan kesepakatan penduduk dalam kalangan guru, ibu bapa dan pemimpin masyarakat menjayakan aktiviti ke arah memupuk semangat perpaduan serta ukhuwah.


Guru dan ibu bapa berganding bahu mengacau bubur asyura.


Ia juga secara tidak langsung memperkukuh sokongan sosial yang penting untuk kesejahteraan komuniti penduduk di samping menjadi contoh terbaik kepada generasi muda pada peringkat awal pendidikan sekolah rendah.

Naib Yang Dipertua, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Md Yasin Embong, berkata cadangan mengadakan program itu adalah daripada Guru Besar SKTP, Shukri Mohamad, sebagai salah satu antara usaha mengeratkan hubungan ukhuwah antara guru, ibu bapa dan pemimpin masyarakat.


Murid SKTP turut membantu mengacau bubur asyura.


Menurutnya, program itu juga bagi menghayati dan menikmati hikmah bulan Muharam yang bukan sahaja paling afdal berpuasa sunat malah wajar untuk memperbanyak amalan bersedekah termasuk dengan mengagihkan bubur asyura kepada murid dan penduduk.

Jelasnya, hasil perbincangan yang diadakan beberapa kali, keputusan dibuat untuk memasak enam kawah bubur asyura secara bergotong-royong dan diagihkan kepada semua warga sekolah, murid serta penduduk berdekatan membabitkan lebih 700 orang.

“Hasil kerjasama semua terbabit termasuk pihak pengurusan masjid kampung ini penyediaan bahan rencah bubur asyura dan peralatan memasak dibekalkan oleh PIBG sementara sumbangan dana turut diterima hasil infak ibu bapa, individu prihatin dan sebagainya,” ujar beliau yang turut hadir menyantuni guru dan ibu bapa mejayakan program itu pada 2 Julai 2026.


Sebahagian guru wanita menyusun atur bekas plastik yang diisikan dengan bubur asyura sebelum diagihkan kepada murid.


Md Yasin berkata, kejayaan program itu memberi impak kepada PIBG untuk merancangkan pelbagai aktiviti bercorak kemasyarakatan yang boleh menyubur serta mengeratkan ukhuwah dengan pengurusan sekolah dalam memacu pendidikan anak.

Tambahnya, Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Rafim Salleh selalu mengesyorkan supaya diperbanyak program atau aktiviti bagi mengukuhkan hubungan dengan guru serta memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai tanggungjawab seorang guru.

“Kejayaan anak di sekolah juga memerlukan sokongan daripada ibu bapa dan dengan adanya program bubur asyura ini mereka boleh mengenali rapat antara satu sama lain serta berganding bahu memasak makanan tradisional itu,” ujarnya.


Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu (Sektor Pengurusan Sekolah), Mohd Naim Dahalan (tiga dari kanan) turut hadir mengacau bubur asyura.


Sementara itu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari, Presint 14, Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor, pula mengadakan Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk bersempena Sambutan Awal Muharam 1448H pada 17 Jun 2026.

Pengerusinya, Mahmod Mat Ali, berkata program itu sebagai salah satu usaha memupuk hubungan erat antara penduduk di komuniti berkenaan yang rata-rata dalam kalangan warga emas untuk memasak bubur lambuk dan diagihkan kepada kejiranan.

Jelasnya, program itu bukan setakat mendapatkan keberkatan pada bulan berkenaan juga bagi menyebarluaskan semangat permuafakatan disamping membudayakan perpaduan pelbagai kaum yang menetap di situ.

“Saya berterima kasih kepada pelbagai pihak termasuk dermawan yang menyumbangkan dana serta bahan mentah bagi menampung kos menyediakan bubur lambuk ini supaya berjalan lancar sebagaimana dirancangkan,” katanya. - KitaReporters


Mahmod Mat Ali (tengah) bersama-sama warga emas yang bergotong-royong memasak bubur lambuk.

7
13
0
15
0

Copy Link: