Syoknya makan durian! Warga emas Mahmudah dan Nur Hasanah ikuti program Hari Keluarga di Rembau!

Published by
KitaReporters

Kehidupan di kampung, yang menggamit memori indah dengan suasana kedamaian, kemesraan masyarakat serta keindahan alam semula jadi, amat sukar untuk dilupakan malah menjadi pengalaman hidup terus dirindui.


Warga emas dan sukarelawan berganding bahu mempersembah tarian tradisional masyarakat Negeri Sembilan.


Perjalanan 30 warga emas dengan menaiki bas dari Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor ke Rembau, Negeri Sembilan, menelusuri beberapa kampung menyentuhi hati mereka apabila sudah lama tidak dapat pulang ke kampung selepas disisihkan oleh ahli keluarga dan terdampar di pusat jagaan.  

Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) dengan kerjasama Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor dan Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) menyantuni mereka pada program Hari Keluarga 2026 di Mamilia Eco Farm, Rembau dalam usaha mengembalikan kenangan warga emas itu kepada kampung halaman yang ketika bersusah payah membesarkan anak.

Pengerusi PJMM, Azman Rasman, berkata usaha itu sebagai mencari kelainan untuk dirasai warga emas terbabit yang kebanyakannya berasal dari kampung, di samping membantu meredakan perasaan tertekan apabila terpaksa meneruskan kehidupan dengan terperap setiap hari di pusat jagaan.

Jelasnya, dalam tempoh tiga tahun lalu warga emas itu sudah dibawa mengikuti program hari keluarga dengan menginap di resort di Port Dickson dan Melaka bagi menikmati keindahan alam dan pantai untuk berlibur.


Sebahagian sukarelawan, petugas dan warga emas mengikuti senamrobik pada awal pagi.


Menurutnya, perjalanan mengambil masa satu jam lebih sedikit pun tidak membosankan warga emas dua pusat jagaan berkenaan yang sering memandang ke luar untuk melihat keindahan kampung yang dilalui.

Tambahnya, lambakan buah-buah tempatan seperti durian, rambutan dan manggis di beberapa gerai di tepi jalan menimbulkan perasaan terharu dan sedih warga emas itu yang mungkin dahulu turut mengusahakan kebun bersama-sama keluarga sebagai sumber pendapatan.

“Semua itu menjadi kenangan terindah dalam kehidupan mereka untuk membesarkan anak, namun bertukar sebaliknya apabila menghadapi masalah kesihatan sehingga tidak mampu untuk bekerja atau kehilangan tempat bergantung.

“Anak-anak yang berjaya dalam kehidupan dan menjadi tempat mereka berteduh menyisihkan pula warga emas dalam kalangan ibu bapa sendiri ke pusat jagaan kerana menganggap ia membebankan kehidupan mereka sekeluarga,” ujarnya pada program yang berlangsung 6 dan 7 Julai 2026 itu.


Petugas dan sukarelawan menyantuni warga emas yang menyertai acara sukaneka.


Azman berkata, perkara itu bukanlah suatu rahsia malah sering diceritakan warga emas terbabit apabila dihantar oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau hospital ke pusat jagaan selepas diabaikan ahli keluarga khususnya anak sendiri.

Tambahnya, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihaknya yang menguruskan pusat jagaan tetap tabah untuk menyantuni warga emas itu walaupun menghadapi pelbagai masalah serta bebanan untuk mencari dana bagi membiayai kos operasi.

“Pihak pengurusan sentiasa berharap ada pelbagai pihak yang sudi menghulurkan sumbangan atau menginfakkan dana bagi meringankan kos seperti bayaran bil utiliti dan untuk membeli barangan makanan basah,” jelas beliau.


Sebahagian warga emas tidak melepaskan peluang menikmati durian kampung yang disumbang oleh Mohamed Said Mustaffa.


Pada program itu, warga emas terbabit disantuni dengan pelbagai acara sukaneka, cabutan nombor bertuah, pakaian paling cantik dan persembahan kebudayaan dengan turut dibantu oleh petugas pusat jagaan serta sukarelawan termasuk daripada KESUMA’24. 

Program berkenaan yang mendapat tajaan dan sumbangan pelbagai pihak turut dihadiri Dato’ Perba Abdul Razak Mohd Yassin, Dato’ Menteri Maharaja Mohamed Said Mustaffa, Dato’ Paduka Maharaja Zulkifli Ibrahim dan aktivis masyarakat, Datin Normala Mohd Yusoff.

Mohamed Said memeriahkan lagi program itu dengan menghidangkan warga emas dan peserta hari keluarga berkenaan dengan buah-buahan tempatan khusus durian untuk dinikmati.

Abdul Razak yang mewakili Undang Luak Rembau merasmikan program itu, menyifatkan mereka yang bertugas menjaga serta menguruskan warga emas berkenaan suatu tugas mulia malah satu jihad untuk menyantuni orang tua yang bukan dalam kalangan keluarga sendiri.

Menurutnya, ia secara tidak langsung menjadi amanah yang terpaksa dipikul dan bukan tugas mudah yang diterpaksa dilalui setiap hari oleh petugas atau sukarelawan serta memberi gambaran bahawa setiap Muslim itu bersaudara maka nasib warga emas berkenaan wajar dibela. 

“Saya berasa terharu dengan kesungguhan petugas dan sukarelawan apabila sanggup bersusah payah untuk membawa warga emas termasuk yang bertongkat serta berkerusi roda menikmati keindahan alam semula jadi di Rembau,” ujarnya.


Normala  Mohd Yusoff  menerima cenderamata daripada Azman Rasman.


Sementara itu warga emas yang menghuni PJNH, Faozi Ahmad yang berasal dari Parit Buntar, Perak, melahirkan rasa seronok dapat melihat suasana kampung yang sudah lama tidak pulang ke kampung asalnya selepas diabaikan keluarga.

“Saya berasa lapang dada melihat kehijauan tumbuh-tumbuhan dan bukit-bukau kerana dulu ia merupakan tempat permainannya ketika membesar di kampung, kemudian mendirikan rumah tangga sebelum berhijrah ke ibu kota bertugas sebagai kakitangan awam akhirnya terdambar di pusat jagaan kerana masalah kesihatan,” ujarnya.

Bagi Faridah Isa berasal dari Kelantan pula berkata, dia berasakan banyak perbezaan berbanding mengikuti program yang sama di kawasan pantai kerana di kawasan pedalaman sebegini dapat melepaskan rindu suasana hidup di kampung yang sudah lama ditinggalkan.

“Saya teringin sangat untuk menjenguk saudara mara di kampung tetapi apakan daya anak-anak pula tidak pernah bertanya khabar sejak menjadi penghuni PJMM selepas discaj dari hospital kerana tiada tempat untuk berteduh,” terangnya. - KitaReporters


Warga emas PJMM dan PJNH, petugas, sukarelawan bergambar selepas majlis makan malam bersama-sama Abdul Razak Mohd Yassin, Mohamed Said Mustaffa, Zulkifli Ibrahim serta Normala Mohd Yusoff.

19
9
1
9
0

Copy Link: