Sembang-Sembang| Kehilangan bukan penamat hidup tapi pemula indah! Allah atur kebahagian lebih baik!

Published by
KitaReporters

SAKITNYA BILA DIKHIANATI dan tidak dihargai.

Masa susah, dipikul bersama, menangis bersama. Makan tak makan, tanggung sendiri. Tiada siapa yang tahu. Demi kasih ditahan juga.


Ilustrasi oleh ChatGPT


Bila dah senang, ada pangkat, mula lupa daratan, lupa yang pahit, terleka dengan yang manis. Yang pernah susah bersama ditinggalkan. Macam sudah tak berguna sebagai peneman hidup.

Itulah manusia... Mudah lupa bila sudah jumpa yang baharu. Kasih berbunga indah, tak sedar mengundang bala besar. Tiada beban batu nak digalas sehingga rumah tangga terabai.

Semua orang mahu bahagia dalam perkahwinan. Penyatuan dua hati yang sangat dituntut dalam Islam. Hendak bahagia sampai ke syurga. 

Menerusi hubungan inilah lelaki dan wanita mula belajar untuk berkongsi kasih sayang, pandangan, idea dan seluruh kehidupan mereka. 

Dalam membina hubungan ini, banyak perkara perlu diteliti oleh pasangan suami isteri supaya sentiasa aman, adil, ada toleransi dan berpegang kepada amanah dan tanggungjawab.

Namun, seringkali ada orang ketiga yang muncul di tengah. Kecurangan dalam rumah tangga pun berlaku. Pasangan mula beralih kasih.

Konon tak serasi, tidak sehaluan. Malah ada yang bertemu kembali kekasih lama. Api cinta yang terpadam, menyala kembali. Sampai lupa diri, tak malu pada diri sendiri. 

Bayangkan, selepas bertahun-tahun hidup bersama dengan anak-anak yang semakin membesar, timbul isu yang meruntun jiwa. 

Salah dan kurang pasangan dicari. Sebelum ini tak pula terjadi.

Terbongkar semua rahsia. Mesej, WhatsApp, gambar-gambar yang mencalar hati terpampang megah di galeri telefon tanpa rasa bersalah.

Seronok menatapnya sambil senyum sorang-sorang. Anak tengok fikir bapa gila, rupanya gila bayang.

Isteri pula makan hati, jiwa merana. Sakitnya tak dapat nak cerita. Yang sebelah sana bangga rampas orang punya.

Isteri mula jadi bingung, hilang punca dan tertekan. Tambahan pada mata keluarga, mereka selalu nampak serasi, jarang bertelingkah mahupun berselisih faham. Rupanya makan dalam, bahagia hanya lakonan.


Ilustrasi oleh ChatGPT


Duhai isteri bangkitlah. Kumpul kekuatan untuk berdepan dengan situasi secara bijaksana. Ketepikan emosi dan bersikap rasional. Sabar, tabah dan positif. 

Berterus-terang lebih baik daripada terus menyakiti perasaan sendiri. Pertimbangkan situasi, masih boleh bersama atau bagaimana.

Berdoalah, minta petunjuk daripada Allah SWT. Reda Allah boleh menyelamatkan keadaan. 

Tenangkan fikiran dan cari semula kekuatan diri. Mengadu kepada Allah SWT sepuasnya, memohon keampunan-Nya, bermuhasabah diri, memikirkan kembali keputusan yang bakal diambil dan carilah ketenangan jiwa. 

Sentiasalah mengingati Tuhan, menjalankan tanggungjawab dan suruhan Allah SWT serta berusaha meninggalkan larangan-Nya. Insya-Allah pasti tidak terbeban dengan mainan emosi.

Ingatlah, soal pertemuan, jodoh dan maut aturan Allah. Dia perancang terbaik. 

Kita? Teruskan hidup, berdoa jangan putus. Ingat zuriat yang ada. Mereka juga amanah Allah.

Ujian Allah tanda Dia sayang kita. Dia sedang mempersiap yang terbaik untuk kita. Bersabarlah! 

Apapun perbuatan kita, baik atau tidak, di dunia mungkin terlepas, di akhirat, jawablah nanti. 

Hidup perlu diteruskan. Positif dalam tindakan. Keputusan berpisah bukan mudah tapi itu yang terbaik.

Cukup dengan tipu helah. Alasan yang tak sudah. Bebas diri tanggung masalah. Selebihnya serah pada Allah.


Ilustrasi oleh ChatGPT


Insya-Allah kehilangan bukan penamat hidup tapi permulaan yang indah untuk satu bahagia yang sedang diatur Allah.

Jalan terus. Jangan pandang belakang. Jangan berhenti selagi belum dapat apa dicari. Ingat Allah ada. - KitaReporters

10
6
0
7
0

Copy Link: