“Alhamdulillah kami dapat menunaikan hasrat untuk menjamu warga emas di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, yang ingin menikmati nasi ayam gepuk sebagai menu makan tengah hari mereka.


Kakitangan Ayam Gepuk Top Global menyantuni warga emas dengan permainan cergas minda.


“Perasaan terharu dan bergenang air mata melihat mereka dapat menjamah hidangan ini bersama-sama rakan senasib yang rata-rata semakin uzur, berjalan menggunakan tongkat serta berkerusi roda selain dipimpin untuk ke meja makan,” ujar Ketua Jabatan Komuniti Impak, Ayam Gepuk Top Global, Siti Adilah Farahin Abu Hanifah.

Beliau bersama-sama 10 kakitangan syarikat berkenaan hadir di PJNH pada Program Ziarah Kasih untuk menyantuni 20 warga emas dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti senaman pergerakan badan, mini sukaneka, beramah-mesra dan melawat bilik penghuni pada 9 Julai 2026.


Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado (kiri) memberi penerangan kepada Siti Adilah Farahin Abu Hanifah dan Ketua Projek Ayam Gepuk Top Global, Mohd Hafiz Rashid Azmi mengenai kemudahan di pusat jagaan itu.


Pada program itu juga mereka turut menyampaikan sumbangan barangan kering keperluan asas harian, tiga kerusi roda dan cenderamata untuk warga emas.

Siti Adilah Farahin berkata, program itu merupakan salah satu aktiviti korporat bagi berkongsi rezeki dengan masyarakat terutama dalam kalangan golongan asnaf, keluarga miskin termasuk warga emas yang tersisih di pusat jagaan.

Tambahnya, menerusi program itu akan memberi pendedahan berguna kepada kakitangan syarikat untuk mendekati golongan berkenaan yang amat memerlukan sokongan bagi meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang di sisi.


Mohd Hafiz Rashid menyampaikan cenderamata kepada seorang warga emas yang uzur.


“Dalam sibuk melaksanakan tanggungjawab kepada syarikat program ini dapat menyuntik kesedaran kepada kakitangan bahawa masih ada di persekitaran kita mereka yang serba kekurangan, bersedih sepanjang hari apabila nasib tidak dipedulikan saudara mara hatta anak sendiri.

“Program sebegini satu usaha murni yang mampu memupuk nilai kasih sayang di samping saling membantu dalam kalangan masyarakat dan memberikan ketenangan emosi kepada warga emas yang disantuni dengan mesra serta motivasi untuk menguatkan semangat mereka.

“Ini juga inisiatif kami dari Ayam Gepuk Top Global untuk turun padang menyantuni mereka kurang berupaya seperti warga emas di PJNH yang mungkin sudah lama teringin menjamah nasi ayam gepuk tetapi kerana keuzuran selain sukar bergerak hasrat itu terpendam begitu saja,” ujarnya ketika ditemui pada program berkenaan.


Siti Adilah Farahin (tengah) melakukan gimik penyampaian sumbangan kepada Mohiadin.


Sementara seorang warga emas PJNH, Mohamed Tajudin Mohamed Hussin yang tidak mampu untuk bergerak jauh, berasa gembira dapat merasai nasi ayam gepuk yang selalu dilihatnya menerusi iklan di televisyen dan juga media sosial apabila menu itu sentiasa mendapat pujian masyarakat.

“Walaupun nasi ayam gepuk yang disediakan ini kurang pedas sambalnya kerana ia banyak pilihan bagi disesuaikan dengan cita rasa pelanggan, namun rasanya sangat sedap dan enak kena dengan selera kami yang sudah berusia lanjut,” katanya.

Rakannya, Mohd Noh Joned yang terpaksa bergantung kepada tongkat berkaki empat untuk bergerak, berkata hidangan nasi ayam gepuk itu ibarat rezeki yang tidak dijangka mereka kerana dapat menikmati juga menu masakan makin popular dalam kalangan masyarakat kerana untuk ke kedai atau restoran menyediakan makanan berkenaan memang tidak berkemampuan. 

“Saya berterima kepada pengurusan PJNH kerana menerima kehadiran kakitangan Ayam Gepuk Top Global untuk membuat kerja amal kebajikan dan kami pula berpeluang menikmati keenakan nasi Ayam Gepuk bersama minuman air sirap yang enak,” ujarnya.


 Siti Adilah Farahin (tengah kanan) bersama kakitangan Ayam Gepuk Top Global menghidangkan Nasi Ayam Gepuk untuk warga emas. 


Sementara itu pada majlis berasingan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (McDonalds & RMHC) menyumbangkan 67 Chicken Burger dan Apple Pie sebagai menu minum petang untuk dinikmati warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM).

Gimik penyerahan sumbangan itu diterima Pengerusi PJMM, Azman Rasman yang disampaikan oleh wakil kakitangan McDonald’s PSS Sunway Semenyih DT. - KitaReporters


Azman Rasman menerima sumbangan Chicken Burger dan Apple Pie daripada McDonald's.

15
6
0
10
0

Copy Link: