Di sebalik gemerlapan Putrajaya! Ada miskin bandar perlukan perhatian! Misi Amal terus jejaki asnaf!
Published byHANYA beberapa minit dari pusat pentadbiran negara yang gah dengan bangunan moden dan pembangunan pesat, masih wujud kelompok masyarakat yang bergelut meneruskan kehidupan dalam serba kekurangan.

Misi Amal meneruskan Program Kasih dengan menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan harian serta wang tunai kepada 35 penerima di Kampung Desa Putra, Sungai Merab, Selangor.
Itulah realiti yang masih dihadapi sebahagian penduduk Kampung Desa Putra, Sungai Merab, Mukim Dengkil, sebuah perkampungan tradisi berusia lebih 100 tahun yang menjadi penempatan generasi ketiga penduduknya.
Walaupun kebanyakan kediaman di kampung itu kelihatan kukuh kerana diwarisi daripada ibu bapa dan datuk nenek, hakikatnya ramai penghuninya terdiri daripada warga emas, golongan asnaf dan keluarga B40 yang hidup dengan pendapatan rendah, malah ada yang uzur, sakit serta hanya bergantung kepada bantuan kebajikan.
Keadaan itu mendorong Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal) meneruskan Program Kasih dengan menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan harian serta wang tunai kepada 35 penerima.
Daripada jumlah itu, 30 menerima sumbangan dalam majlis ringkas di Balai Raya Kampung Desa Putra, manakala lima lagi diziarahi terus di rumah kerana tidak mampu hadir akibat uzur dan masalah kesihatan.

Bantuan kasih ini mengandungi beras, ayam, telur, minyak masak, bawang, pisang serta wang tunai bagi meringankan beban penerima terdiri daripada warga emas, asnaf dan golongan B40.
Biro Penggerak Misi Amal, Ustazah Norhayati Sulaiman berkata, pemilihan Kampung Desa Putra dibuat selepas pertubuhan itu mengenali latar belakang penduduk yang masih memerlukan perhatian walaupun tinggal berhampiran Putrajaya.
"Ramai beranggapan kawasan berhampiran bandar tidak lagi memerlukan bantuan, tetapi hakikatnya masih ramai golongan asnaf, warga emas dan keluarga B40 yang hidup susah.
"Ini yang kita anggap sebagai golongan miskin bandar. Mereka tinggal dekat kawasan pembangunan, tetapi kehidupan mereka jauh berbeza daripada apa yang orang lihat," katanya dalam majlis penyampaian Bantuan Kasih kepada 35 penerima terdiri daripada golongan warga emas, ibu tunggal, asnaf dan B40.

Ustazah Norhayati Sulaiman
Turut hadir, Ahli Majlis Desa Sentosa, Majlis Perbandaran Sepang, Tc Hazimun Rahman Mohammad; Ketua Kampung Desa Putra, Mohd Samsuri Mohd Sarif; dan Penggerak Belia Selangor Zon Desa Putra, Norafika Nusir serta Mantan Pengerusi Misi Amal, Jailani Bahari (Imam Jay)
Menurutnya, bantuan kali ini mengandungi beras, ayam, telur, minyak masak, bawang, pisang serta wang tunai bagi meringankan beban penerima.
Beliau berkata, Kampung Desa Putra mempunyai nilai sentimental buat dirinya kerana berasal dari kampung berkenaan dan sebahagian penerima bantuan adalah rakan sepermainan serta rakan sekolah suatu ketika dahulu.
"Apabila melihat mereka kini sudah berusia, uzur dan memerlukan bantuan, sudah tentu ia menyentuh hati saya.
"Sebab itu kami memilih untuk terus kembali ke sini. Malah ini sudah kali ketiga Misi Amal mengadakan program kebajikan di kampung ini sehingga kami menganggapnya sebagai kampung angkat," katanya.

Mohd Samsuri Mohd Sarif (kanan) bertanya sesuatu kepada penerima bantuan kasih yang juga seorang bekas pengawal keselamatan yang menghidap penyakit misteri, Nor Rahman Mohamad sambil diperhatikan oleh Hazimun Rahman Mohammad (kiri) dan Imam Jay (dua dari kiri).
Norhayati berkata, Misi Amal merancang menjelajah ke lebih banyak lokasi di Selangor sehingga hujung 2026 bagi melaksanakan pelbagai misi kemanusiaan dan kebajikan.
Katanya, selepas ini pertubuhan itu akan mengadakan program bersama penduduk Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang dengan menyediakan makanan secara gotong-royong sebelum menjamu penduduk setempat.
"Kami percaya memberi makan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan adalah antara amalan yang besar ganjarannya.
"Kami mahu Misi Amal menjadi contoh kepada usaha menyantuni golongan memerlukan bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara.
"Kepada semua ahli, teruskan perjuangan dan ukhuwah. Jangan bertanya apa yang Misi Amal boleh lakukan untuk kita, sebaliknya berikan khidmat terbaik kepada pertubuhan. Peganglah prinsip kami, 'Buat Baik Sampai Mati'," katanya.

Mantan Imam Masjid Al-Iman, Kampung Desa Putra, Md Sukur Johan (lima dari kiri) yang diuji penyakit kanser menerima sumbangan barangan dan wang tunai daripada Imam Jay (empat dari kiri) yang mewakili Misi Amal.
Sementara itu, Ahli Majlis Desa Sentosa, Majlis Perbandaran Sepang, Tc Hazimun Rahman Mohammad, merakamkan penghargaan kepada Misi Amal kerana memilih Kampung Desa Putra sebagai lokasi program kebajikan berkenaan.
Beliau berkata, usaha menyampaikan bantuan serta menziarahi penduduk uzur membuktikan keprihatinan pertubuhan itu terhadap masyarakat yang benar-benar memerlukan.
"Kami mengalu-alukan mana-mana NGO yang ingin datang menjalankan program kebajikan dan kemanusiaan di kampung ini kerana masih ramai penduduk yang memerlukan perhatian.

Tc Hazimun Rahman Mohammad
"Selain membantu menyelesaikan pelbagai isu penduduk termasuk banjir dan kesesakan lalu lintas, kami juga sedang memperkukuh pembangunan komuniti melalui program sukan, keagamaan dan kebudayaan.
"Usaha membesarkan jalan serta pembinaan padang bola mampu memberi manfaat kepada penduduk, manakala cadangan membangunkan aktiviti rekreasi seperti hiking dan flying fox dapat menarik ramai pengunjung ke Kampung Desa Putra, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk melalui perniagaan makanan dan homestay," katanya. - KitaReporters


Misi Amal menjadi contoh kepada usaha menyantuni golongan memerlukan bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara.
