Opah Ngomel| Kisah hidup ibu-ibu! Doa makbul kali ke-10 tahun buat IVF! Jaga anak madu bersalin!

Published by
KitaReporters

Opah bertemu macam-macam perangai manusia. Opah cuba untuk "duduk diam-diam" tanpa membuat tugasan berita. Tapi itulah, kadangkala pertemuan tidak disengaja itu menghasilkan perbualan yang sangat menarik, pelbagai "cerita kehidupan".




BILA Opah bertemu macam-macam perangai manusia. Opah cuba untuk "duduk diam-diam" tanpa membuat tugasan berita. Tapi itulah, kadangkala pertemuan tidak disengaja itu menghasilkan perbualan yang sangat menarik, pelbagai "cerita kehidupan" . 

Yang agak kagum ialah apabila mendengar rentak cabaran seorang lelaki dan isterinya yang 10 tahun menjalani proses rawatan moden atau tradisional untuk mendapatkan anak.

Dan bertemu dengan wanita yang bermadu empat, duduk "serumah" tanpa dendam berkongsi cinta dan jiwa raga, kaget sekali. Mereka saling bekerjasama mengurus rumah tangga termasuk menemani anak madu bersalin. 

Kadangkala laluan hidup itu sukar untuk kita percaya. Tapi ada!



Baru-baru ini Opah menemani menantu bersalin kembar. Tiga hari, tiga malam berada di kawasan hospital. 

Dan melalui macam-macam cerita lucu termasuk cucu sendiri menangis terisak-isak macam filem Hindustan Akele Hum Akele Tum remake of Kramer Vs Kramer. 

Cucu "tertukar" ibu dengan seorang wanita berbangsa India yang hamil yang mirip mami dia melambai-lambai tangan sebab wanita itu kena masuk wad.

Cucu ingat itu maminya yang sengaja tinggalkan dia sendirian. Puas hendak pujuk cucu kerana tiga empat kali terserempak dengan wanita itu. Jumpa saja Wuaaaan, meraung.


Kawasan hospital sentiasa bersih. Tengok ni selepas habis tugasan. Banyaknya mop lantai.


Kisah pertama ialah mengenai lelaki ini. 

Dia menunggu 10 tahun untuk dapat anak dan selepas habiskan RM10k tahun ini Jun 2026 akhirnya penantian sedekad itu berhasil apabila isterinya selamat melahirkan anak yang masuk ini dah tiga kali cubaan dengan enam sperma dibekukan.

Usahawan yang mahu dikenali sebagai Helmy memberitahu isterinya sudah tiga kali melalui proses IVF (persenyawaan in vitro) atau lebih dikenali sebagai bayi tabung uji tetapi dua kali gugur.

Ini berlaku mungkin disebabkan rahim isterinya tidak "kuat" untuk membesarkan dua benih setiap kali dilakukan IVF, di sebuah klinik swasta di Kuala Lumpur dan mereka  tidak pernah putus asa untuk mencubanya.

Dia dan isterinya menyimpan 10 benih di bank IVF dengan bantuan IVF tajaan Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah tetapi sudah empat benih hilang.

Benih terbaharu yang akhirnya berhasil menjadi bayi mereka pun disuntik ke rahim secara kembar.

"Malangnya, dalam keadaan kami berjaga-jaga sebiji benih itu "jatuh" tidak dapat disenyawakan," katanya ketika ditemui di Hospital Tungku Azizah di Kuala Lumpur ketika sedang menunggu urusan membawa pulang isteri dan bayi mereka ke Negeri Sembilan.

IVF adalah prosedur perubatan di mana telur wanita dan sperma lelaki digabungkan di luar badan di dalam makmal. Setelah persenyawaan berlaku dan embrio terbentuk, ia akan dimasukkan semula ke dalam rahim wanita untuk menghasilkan kehamilan.

Sepuluh tahun akhirnya doa dimakbulkan. Helmy dan isterinya sebelum ini mempunyai seorang anak perempuan. Selepas dia siap membuat pengenalan sah sebagai ibu bapa angkat, keluarga anaknya datang dan "membawa lari" anaknya.



"Enam bulan isteri menangis. Niat kita tidak mahu pisahkan dengan keluarganya. Satu hari mereka minta untuk berjumpa dan akhirnya dibawa lari anak itu begitu saja. 

"Enam bulan juga isterinya saya menangis. Titisan air mata terus mengalir di kelopak matanya sehingga dia hampir murung. 

"Nasib baik doktor dapat merawatnya dengan baik dan akhirnya kami tidak putus asa, kumpul semua doa dan semangat dan lalui semula proses IVF. 

"Sehinggakan masa awal hamil, isteri kena baring saja untuk menggelakkan benih itu gugur. Tapi gugur juga satu," cerita Helmy.

Helmy mengendalikan syarikat LiveShineCreation dan pengurusan atur cara (event management) membabitkan kerajaan. Satu acara ialah menyediakan pengangkutan kepada pegawai Presiden Amerika Syarikat yang datang melawat negara, jelasnya.



Sementara itu, satu lagi kisah ialah orang bermadu. Madu pertama ini ditemani dengan madu ketiga menemani anak bongsu madu pertama bersalin.  

Kelihatan mereka sangat akrab dan mesra sungguh sehinggalah saat akhir kami berpisah di kaunter terakhir untuk membereskan bil dan membawa pulang bayi kami. Dia madu dan anak kelihatan ceria dapat cucu baru.

Wanita ini sangat baik orangnya. Sudah berusia lewat 50-an memberitahu Opah dia bermadu dengan tiga wanita lain. Dua tinggal di Kuala Lumpur, satu di Langkawi dan dia sendiri menetap di Kelantan.

"Tidak ada rasa cemburukah?" tanya Opah. 

"Mula-mula ya. Bila dapat beberapa (lima anak) suami bagi tahu ada wanita jatuh cinta dan mahu bernikah dengan. Mulanya manalah saya nak percaya, dahlah suami hitam, ada juga wanita yang jatuh cinta," katanya.


Cucu tertukar ibu dengan mami ini. Seharian dia mengekori ibu muda ini.


Suaminya bekerja sebagai kontraktor membina rumah bersambung untuk menempatkan empat isterinya. Masing-masing diberi kehidupan sama rata. Pembahagian masa dan penjagaan anak-anak diuruskan bersama.

Anak-anak tidak dibenar campur urusan keluarga.

"Petua suami ialah memasak menggunakan satu periuk saja. Cukup tak cukup lauk semua ambil makan dari satu periuk itu saja," katanya. 

Suaminya membuat projek sehingga ke Langkawi dan madu pertama turut dibawa menetap di sana bertahun jugalah.

Kini dia sudah tidak kisah lagi suaminya mahu mendahulukan mana satu madunya. Dia juga tidak lagi perlu "melayan" suaminya kerana ada isteri yang usia lebih muda untuk menemani suami.

"Tak kisah ke suami tak bagi nafkah batin?" tanya Opah. 

"Oooooo dah lama dia tak sentuhpun. Saya pun diberi kebebasan untuk duduk di rumah anak-kami seramai 15 orang itu," katanya sambil kami bersalam untuk beredar ke kereta masing-masing.

Itulah kisah sepintas lalu bila kami, nenek-nenek dan ibu-ibu berbual sementara menunggu anak atau menantu serta isteri yang berhempas pulas di bilik bersalin untuk melahirkan insan soleh di dunia. - KitaReporters


17
9
0
16
0

Copy Link: