Catatan Akademik| Ibu bapa mengeksploitasi anak? Digunakan dalam medsos untuk raih likes, simpati?
Published byAda pihak mula menjadikan anak-anak sebagai "modal kandungan" untuk meraih perhatian, meningkatkan capaian atau mendapatkan sumbangan. Ia dilihat sebagai peluang untuk meraih duit yang lumayan dalam tempoh yang singkat

Oleh AMIRUL SALAM HASAN
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
"Anak saya dah dua hari tak makan."
"Kereta lama rosak tiada duit untuk baiki.. Anak-anak dah seminggu tak pergi sekolah "
"Kami buntu... hanya Allah mampu membalas jasa kalian."
Ungkapan seperti ini semakin kerap memenuhi ruang media sosial. Disertakan dengan rakaman wajah kanak-kanak yang menangis, terlantar di hospital, berpakaian lusuh atau berada dalam keadaan serba kekurangan, kandungan sebegini sering mengundang ribuan tanda suka, perkongsian dan sumbangan dalam tempoh yang singkat.
Tidak dinafikan, media sosial telah merevolusikan budaya kebajikan. Bantuan yang dahulunya mengambil masa berminggu-minggu untuk disalurkan, kini boleh dikumpulkan dalam beberapa jam hasil keprihatinan masyarakat.
Dalam banyak keadaan, media sosial benar-benar menjadi penyelamat kepada keluarga yang berdepan musibah.
Namun, di sebalik manfaat itu, muncul satu fenomena yang semakin membimbangkan. Ada pihak mula menjadikan anak-anak sebagai "modal kandungan" untuk meraih perhatian, meningkatkan capaian atau mendapatkan sumbangan.
Ia dilihat sebagai peluang untuk meraih duit yang lumayan dalam tempoh yang singkat tanpa memerah keringat mahupun modal, hanya berbekalkan QR kod atau no akaun bank diletakkan bersama-sama ciapan di media sosial.
Persoalannya, di manakah garis pemisah antara meraih bantuan dengan mengeksploitasi anak sendiri?
Kanak-kanak bukan sekadar subjek dalam rakaman video. Mereka ialah individu yang mempunyai hak terhadap maruah, privasi dan perlindungan.
Apa yang dimuat naik hari ini mungkin kekal berada di alam maya selama-lamanya. Jejak digital tidak mengenal istilah padam sepenuhnya.
Bayangkan seorang kanak-kanak yang suatu hari nanti membesar dan mendapati detik paling sukar dalam hidupnya sebagai contoh ketika menangis kerana lapar, menerima rawatan di hospital atau dimarahi ibu bapanya telah ditonton jutaan orang.
Lebih menyedihkan apabila rakaman itu menjadi bahan perbualan, gurauan atau dikongsi semula tanpa kawalan.
Persoalan besar yang perlu kita renungkan ialah sama ada kanak-kanak benar-benar memahami dan bersetuju untuk kisah hidup mereka dipertontonkan kepada dunia.
Dalam kebanyakan keadaan, jawapannya sudah tentu tidak. Mereka terlalu kecil untuk memahami implikasi jangka panjang terhadap identiti digital mereka.
Lebih membimbangkan apabila terdapat kandungan yang sengaja dibina dengan naratif yang menyentuh emosi secara berlebihan.
Muzik yang memilukan, suntingan dramatik dan kapsyen yang direka untuk mengundang simpati seolah-olah mengubah penderitaan seorang anak menjadi produk yang dipasarkan demi meraih perhatian pengguna media sosial.
Fenomena ini turut mengubah cara masyarakat melihat bantuan. Nilai ihsan yang sepatutnya lahir daripada rasa tanggungjawab sosial sedikit demi sedikit digantikan dengan budaya "viral dahulu, bantu kemudian".
Semakin menyayat hati sesuatu kandungan, semakin tinggi peluang untuk menerima perhatian dan sumbangan.
Akibatnya, ramai lagi keluarga yang benar-benar memerlukan tetapi memilih menjaga maruah anak-anak mereka mungkin terus tercicir kerana kisah mereka tidak pernah menjadi tular.
Lebih membimbangkan, trend ini boleh mendorong sebahagian pihak menghasilkan kandungan yang semakin ekstrem untuk memastikan algoritma media sosial terus memberikan perhatian.
Dalam perlumbaan mendapatkan tontonan, sempadan antara perkongsian yang ikhlas dengan eksploitasi semakin kabur.
Hakikatnya, setiap kanak-kanak mempunyai hak yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa termasuk hak terhadap privasi, maruah dan kepentingan terbaik mereka.
Prinsip yang sama turut menjadi asas kepada perlindungan kanak-kanak di negara ini menerusi Akta Kanak-Kanak 2001.

Mengulas isu ini, Ketua Program Sarjana Muda Kaunseling, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Raba'Aton Adawiah @ Robiah Mohd. Yusof menegaskan bahawa setiap anak adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kepada ibu bapa untuk dipelihara, dididik dan dibimbing dengan penuh kasih sayang, bukannya dijadikan medium bagi meraih simpati masyarakat.
Menurut beliau, kasih sayang terhadap anak bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, malah merangkumi tanggungjawab menjaga maruah, emosi dan hak mereka sebagai individu yang sedang membesar.
"Anak bukan aset untuk dipertontonkan kepada masyarakat demi mendapatkan perhatian atau simpati. Mereka ialah amanah yang perlu dipelihara, dididik, dibentuk sahsiahnya dan digilap potensinya agar menjadi insan yang berakhlak mulia serta pewaris yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.
"Apa sahaja keputusan ibu bapa hari ini, termasuk apa yang dimuat naik ke media sosial, akan menjadi sebahagian daripada legasi kehidupan anak pada masa hadapan," tegasnya.
Beliau berkata, ibu bapa perlu sentiasa bertanya kepada diri sendiri sama ada setiap gambar, video atau kisah yang dikongsikan benar-benar memberi manfaat kepada anak, atau sebaliknya mendedahkan mereka kepada risiko eksploitasi, buli siber dan stigma yang boleh berpanjangan.

Justeru, setiap keputusan ibu bapa atau penjaga untuk memuat naik gambar dan video anak-anak perlu berpandukan satu pertanyaan yang mudah tetapi sangat penting: "Adakah perkongsian ini benar-benar perlu dimuat naik dalam media sosial demi kepentingan anak, atau sekadar memenuhi keperluan orang dewasa?"
Tidak salah memohon bantuan. Tiada siapa harus dipersalah kerana berusaha menyelamatkan keluarga ketika berada dalam kesusahan. Namun, bantuan boleh dipohon tanpa menggadaikan maruah anak.
Masih banyak cara yang lebih beretika, termasuk melalui agensi kerajaan, institusi zakat, badan bukan kerajaan, yayasan kebajikan dan platform kutipan dana yang mempunyai mekanisme semakan serta perlindungan identiti penerima.
Sebagai pengguna media sosial, kita juga perlu bertanya kepada diri sendiri: Adakah setiap tontonan, tanda suka dan perkongsian yang kita berikan sebenarnya menggalakkan lebih banyak kandungan yang memperdagangkan penderitaan kanak-kanak?
Anak-anak bukan alat pemasaran emosi. Mereka bukan tiket untuk meraih simpati, mengejar populariti atau membuka ruang kepada keuntungan. Mereka ialah amanah yang perlu dilindungi, termasuk daripada eksploitasi di alam digital.
Masyarakat yang benar-benar penyayang bukanlah masyarakat yang hanya mudah tersentuh dengan kandungan yang tular, tetapi masyarakat yang mempertahankan maruah kanak-kanak walaupun ketika mereka berada dalam keadaan paling sukar. Kerana akhirnya, kemiskinan mungkin bersifat sementara, tetapi kehilangan maruah dan kesan jejak digital boleh menghantui seorang anak sepanjang hayatnya.
Amirul Salam Hasan ialah pegawai perhubungan awam di Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Artikel ini adalan pandangan penulis.

