No problem! Daging korban boleh diagihkan sepanjang tahun! Retort bawa manfaat sehingga ke pedalaman!
Published by
Ahmad Darun Naim (kanan) menerima pek bungkusan retort daging kurban yang mewakili komuniti pelajar maahad tahfiz.
LEBIHAN daging korban yang sebelum ini hanya mampu bertahan dalam tempoh singkat kini diberi nafas baharu apabila diproses menggunakan teknologi retort sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan sepanjang tahun.
Inisiatif murni itu dilaksanakan menerusi Program Agihan Daging Korban Retort 2026 hasil kerjasama Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi), Dana Endowmen Ekonomi Halal Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan rakan strategik termasuk institusi TVET.
Program berkenaan bukan sekadar memastikan lebihan daging korban tidak dibazirkan, malah membuktikan ibadah korban mampu diperkasakan melalui inovasi teknologi sehingga manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai golongan memerlukan termasuk masyarakat Orang Asli, pelajar universiti dan komuniti maahad tahfiz.

Faris Amirul Shah (dua dari kanan) yang mewakili pelajar UKM turut menerima pek bungkusan daging retort.
Pengerusi Legasi, Datuk Jefrin Atan berkata, projek itu menjadi kesinambungan legasi Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sentiasa menitikberatkan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan pembangunan yang menyeluruh.
Beliau berkata menerusi Dana Endowmen Ekonomi Halal FEP UKM, ibadah korban tidak lagi dilihat sekadar amalan tahunan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi halal yang menghubungkan nilai ibadah dengan pembangunan ekonomi dan kebajikan masyarakat.
"Ia bermula daripada penternakan haiwan berkualiti, penyembelihan mengikut syariah, pemprosesan makanan yang selamat, penggunaan teknologi retort, logistik halal sehingga proses agihan kepada golongan memerlukan.
"Setiap rantaian ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, malah mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong perusahaan tempatan serta memperkukuhkan keterjaminan makanan halal negara," katanya.
Turut hadir, Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Profesor Dr. Mohd Rizal Palil dan Ahli Majlis TVET Negara merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Ramelle Ashram Tun Ramli.

Datuk Jefrin Atan
Sempena majlis itu, Jefrin turut mengagihkan pek retort daging korban kepada Wakil Pelajar FEP UKM, Faris Amirul Shah Firus Shah; Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Ali (JAKOA) Daerah Hulu Langat, Norazila Zakaria yang mewakili masyarakat Orang Asli; dan Ahmad Darun Naim Mohamed Ali mewakili komuniti maahad tahfiz
Katanya, penggunaan teknologi retort membolehkan daging korban diproses menjadi makanan sedia dimakan yang tahan lama tanpa menjejaskan kualiti dan keselamatannya.
"Pendekatan itu membolehkan manfaat ibadah korban dipanjangkan, selain memudahkan bantuan disalurkan kepada komuniti pedalaman, institusi kebajikan serta mangsa bencana pada bila-bila masa.
"Program ini membuktikan ibadah dan inovasi mampu bergerak seiring. Inilah yang kami maksudkan sebagai Ekonomi Ibadah Korban, iaitu pendekatan yang menggabungkan nilai syariah, penyelidikan, teknologi dan pembangunan komuniti dalam satu ekosistem ekonomi halal yang mampan," katanya.

Ramelle Ashram Ramli (dua dari kanan) menyerahkan kotak pek retort daging korban kepada Norazila Zakaria yang mewakili masyarakat Orang Asli di Daerah Hulu Langat, Selangor.
Beliau berkata, kejayaan program itu turut membuktikan pentingnya kerjasama strategik antara universiti, industri dan institusi TVET dalam membangunkan inovasi yang memberi manfaat terus kepada masyarakat.
"Gabungan kepakaran TVET dalam pembangunan bakat dan latihan kemahiran bersama pengalaman Brahim's dalam teknologi pemprosesan makanan halal menjadi contoh terbaik bagaimana inovasi, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan dapat digerakkan secara bersepadu.
"Kami mahu agenda ekonomi halal berkembang melangkaui aspek pensijilan semata-mata, sebaliknya menjadi instrumen pembangunan negara yang menyumbang kepada keterjaminan makanan, kesejahteraan sosial, pembangunan ekonomi tempatan serta pengukuhan maqasid syariah," kata Jefrin.

Norazila Zakaria
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Hulu Langat, Norazila Zakaria berkata, kira-kira 200 keluarga Orang Asli Islam di daerah itu bakal menerima manfaat daripada agihan 300 pek daging korban retort.
Beliau berkata, bantuan itu amat bermakna kerana ia adalah kali pertama komuniti Orang Asli di daerah berkenaan menerima agihan daging korban dalam bentuk retort.
"Daerah Hulu Langat mempunyai 746 keluarga Orang Asli dengan lebih 2,000 penduduk di sembilan penempatan dan majoritinya daripada suku Temuan.
"Sebelum ini kami pernah menerima agihan daging korban segar, namun kali ini bekalan dalam bentuk retort lebih praktikal kerana boleh dimakan terus tanpa perlu dimasak," katanya.

Mohd Rizal Palil (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Ramelle Ashram Ramli sebagai tanda kenang-kenangan sempena Program Agihan Daging Korban Retort 2026.
Menurutnya, makanan retort juga amat sesuai dijadikan bekalan ketika berlaku bencana kerana mudah disimpan dan boleh terus dimakan sementara menunggu bantuan lain tiba.
"Ketika banjir melanda Kampung Orang Asli Paya Lebar pada 2021, bantuan makanan mengambil masa untuk sampai ke kawasan terjejas. Jika bekalan seperti ini ada ketika itu, ia pasti banyak membantu mangsa.
"Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke semua penempatan Orang Asli di seluruh negara supaya lebih ramai komuniti pedalaman dapat menikmati manfaatnya," katanya. - KitaReporters
