Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf! Bina keyakinan, jati diri pelajar asnaf! Usaha TV AlHijrah, MAIWP!
Published bySetiap anak dilahirkan dengan peluang. Mereka tidak pernah memilih untuk membesar dalam serba kekurangan.
Anak-anak menerima sumbangan sate semasa di dalam ETS.
Namun keadaan hidup membuatkan ada antara mereka membesar dengan rasa rendah diri, malu untuk bercita-cita tinggi dan takut untuk percaya bahawa masa depan mereka boleh berubah sehingga wujud tanggapan dalam diri bahawa kejayaan mungkin hanya milik orang lain.
Atas kesedaran itulah, TV AlHijrah dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan program Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026 yang berlangsung pada 15 hingga 17 Mei 2026 di Perlis melibatkan 30 orang pelajar asnaf daripada beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Keramat 1, SK Bukit Jalil, SK Bandar Tasik Selatan, SK Cochrane Perkasa, SK Batu Muda serta SK Sentul Utama.
Program selama tiga hari ini bukan sekadar membawa peserta mengikuti aktiviti santai atau lawatan semata-mata, tetapi dirangka khusus untuk membina keyakinan diri, semangat juang dan keberanian untuk mengubah kehidupan.
Aktiviti mencanting batik.
Bagi sebahagian peserta, pengalaman menaiki tren ETS dari KL Sentral ke Arau bersama rakan-rakan menjadi antara momen paling bermakna sepanjang program berlangsung.
Perjalanan tersebut bukan sahaja memberi keterujaan baharu kepada mereka, malah membuka peluang untuk merasai pengalaman keluar daripada rutin kehidupan harian yang serba sederhana.
Setibanya di Arau, para peserta meneruskan perjalanan menaiki bas ke lokasi aktiviti yang telah disusun sepanjang program berlangsung di sekitar Perlis.
Sepanjang perjalanan, jelas terpancar keterujaan dan kegembiraan pada wajah peserta yang berpeluang melihat suasana serta pengalaman baharu yang sebelum ini mungkin tidak pernah mereka lalui.
Melalui pelbagai pengisian motivasi, aktiviti santuni komuniti, sesi pembangunan diri dan pengalaman kebersamaan sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan nilai kehidupan, semangat berdikari dan kekuatan untuk terus melangkah walaupun datang daripada latar belakang yang serba mencabar.
Hasil canting batik.
Bagi sebahagian peserta, pengalaman keluar dari rutin harian dan melihat suasana luar daripada kehidupan seharian mereka menjadi pengalaman yang cukup bermakna.
Walaupun kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, pengalaman seperti inilah yang sebenarnya mampu membuka ruang baharu dalam pemikiran anak-anak ini bahawa kehidupan tidak seharusnya dibatasi oleh keadaan semasa.
Sepanjang program berlangsung, peserta turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menekankan nilai kebersamaan, disiplin, komunikasi dan pembentukan jati diri.
Suasana santai yang diterapkan sepanjang program secara tidak langsung membantu peserta lebih selesa untuk bergaul, berkongsi pandangan dan meluahkan impian yang selama ini mungkin hanya dipendam dalam hati.
Aktiviti di Gua Kelam.
Ada antara mereka yang mula menunjukkan perubahan keyakinan diri dalam tempoh yang singkat.
Peserta yang pada awalnya pendiam mula berani bercakap dan berinteraksi dengan rakan-rakan lain. Malah ada juga yang mula berkongsi cita-cita serta harapan mereka untuk membantu keluarga suatu hari nanti.
Menurut Pengurus Projek, Muhammad Sazri Abd Sani, program ini bukan hanya bertujuan memberikan kegembiraan sementara kepada peserta, tetapi menjadi platform untuk menyuntik keyakinan dan harapan baharu dalam diri mereka.
“Kami tidak mahu anak-anak ini pulang sekadar membawa kenangan program, tetapi pulang dengan keyakinan bahawa mereka juga mampu berjaya.
"Hari ini mungkin mereka dibantu sebagai asnaf, tetapi suatu hari nanti kami mahu melihat mereka pula menjadi insan yang membantu orang lain,” katanya.
Beliau berkata, ramai anak asnaf sebenarnya mempunyai potensi besar, namun kekangan hidup sering membuatkan mereka hilang keyakinan terhadap diri sendiri dan masa depan mereka.
“Kadang-kadang yang mereka perlukan bukan hanya bantuan kewangan, tetapi seseorang yang percaya bahawa mereka boleh berjaya.
"Bila mereka mula percaya pada diri sendiri, di situlah bermulanya sebuah hijrah yang sebenar,” tambah beliau lagi.
Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026
Program ini turut mencerminkan komitmen TV AlHijrah dan MAIWP dalam memastikan usaha membantu golongan asnaf tidak hanya tertumpu kepada bantuan material semata-mata, tetapi turut merangkumi pembangunan emosi, motivasi dan keyakinan diri agar mereka mampu keluar daripada kitaran kemiskinan dan membina masa depan yang lebih baik.
Bagi TV AlHijrah dan MAIWP, anak-anak ini bukan sekadar statistik penerima bantuan. Mereka adalah generasi masa depan yang mempunyai potensi besar untuk berjaya sekiranya diberi ruang, perhatian dan peluang untuk bangkit. - KitaReporters/Kenyataan Media
