Video| Allahuakhbar! Anak Cina suka dengar azan! Terus tenang bila meragam! Perkongsian menarik ibu!

Published by
KitaReporters

Satu perkongsian menarik oleh seorang ibu berbangsa Cina, Christy Tan, mengenai anak kecilnya yang begitu gemar mendengar azan telah mencuri perhatian ramai pengguna media sosial.



Malah, dua video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok miliknya bukan sahaja meraih jutaan dan ratusan ribu tontonan, malah turut dibanjiri ribuan komen daripada netizen pelbagai kaum dan agama yang tersentuh dengan gelagat si kecil itu.

Dalam video pertama yang dikongsikan pada 23 Mei 2026, Christy memaparkan situasi anaknya yang sedang meragam dan menangis. Namun sesuatu yang menarik berlaku apabila azan berkumandang. 

Menurut Christy, setiap kali anaknya mendengar azan, dia akan terus berhenti menangis dan menjadi tenang.

"Tak kira tengah meragam macam mana, apabila dengar azan terus tenang," tulisnya pada kapsyen video tersebut.



Video berkenaan segera menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen yang kagum melihat perubahan mendadak si kecil itu. Ramai menyifatkan keadaan tersebut sebagai sesuatu yang unik dan mengagumkan.

"Mak dia yang hebat sebab sangat terbuka nak bagi dengar azan," tulisnya. Komen tersebut menerima ribuan tanda suka daripada pengguna lain yang turut memuji sikap Christy. 



Sementara itu, seorang lagi netizen mengakui dirinya berasa tersentuh dengan perkongsian tersebut.

"Saya pula yang malu. Anak nangis tapi buka Cocomelon. Terima kasih, saya nak bagi anak selalu dengar azan," katanya.


 


Ada juga yang tertanya-tanya bagaimana si kecil itu mula mengenali azan sehingga begitu tertarik untuk mendengarnya. 

Menjawab persoalan itu, Christy kemudiannya tampil dengan satu lagi video yang menjelaskan permulaan kisah tersebut.

Menurutnya, semuanya bermula sejak anaknya masih kecil apabila sering mendengar siaran azan yang disiarkan oleh TV3 setiap kali masuk waktu maghrib. 

"Sebenarnya semuanya bermula dari TV3. Setiap kali waktu Maghrib, TV3 memang akan siarkan azan tepat pada waktunya.

"Sejak kecil dia selalu dengar. Lama-kelamaan, setiap kali azan berkumandang, dia akan berhenti buat apa sahaja dan duduk diam dengar sampai habis," jelas Christy.



Perkongsian kedua itu turut mendapat sambutan hangat daripada netizen. Ramai yang kagum melihat bagaimana seorang kanak-kanak kecil boleh memberikan tumpuan penuh kepada laungan azan.

Malah, Christy turut berkongsi bahawa bukan sahaja ketika meragam, malah anaknya juga gemar mendengar azan ketika makan, bermain dan sebelum tidur.

Menjawab pertanyaan seorang netizen, Christy berkata: "Ya, dia makan, tidur, main pun dengar azan. Apabila tv ada azan dia akan stop dan diam-diam dengar."



Kenyataan itu mengundang rasa kagum ramai pengguna media sosial. Ada yang menganggap suara azan memberikan ketenangan semula jadi kepada jiwa manusia tanpa mengira usia atau latar belakang.

Seorang netizen memuji si kecil tersebut dengan menyifatkannya sebagai anak yang hebat. Namun Christy secara berseloroh menjelaskan bahawa anaknya tetap seperti kanak-kanak lain.

"Mainan semua dia boleh sepahkan satu rumah. Tapi apabila dengar azan, terus duduk diam, jadi budak paling tenang. Siap dengar sampai habis baru sambung main balik. Comel sangat tengok reaksi dia," katanya.



Dalam ruangan komen, ramai netizen turut berkongsi pengalaman masing-masing mengenai anak-anak yang menunjukkan reaksi hampir sama apabila mendengar azan.

Ada yang memberitahu cucu mereka juga akan berhenti bermain apabila azan berkumandang, manakala ada yang mengakui rumah terasa lebih tenang apabila azan sering diperdengar.

"Alhamdulillah, semua keluarga ini dijaga Allah. Ada anak yang selalu dengar azan dalam rumah, memberi ketenangan. Terima kasih sentiasa tidak alih siaran dan matikan tv apabila azan."



Tidak kurang juga yang melihat perkongsian tersebut sebagai satu bentuk petunjuk dan rahmat daripada Allah SWT.

Namun Christy memberikan jawapan yang cukup sederhana dan menyentuh hati apabila ada netizen mengaitkan perkara itu dengan soal kepercayaan. 

Katanya, sebagai ibu, perkara paling penting ialah memastikan anaknya membesar dengan sihat dan menjadi insan yang baik.

"Betul, saya tak ada larang dia. Yang paling penting, dia membesar dengan sihat, hati baik, tahu sayang diri sendiri dan orang lain. Asalkan hidup dia tenang, bahagia dan jadi manusia yang baik, itu dah cukup untuk saya," katanya.

Sehingga kini, kedua-dua video tersebut terus mendapat perhatian netizen dengan ramai yang meninggalkan komen positif serta doa yang baik-baik buat keluarga Christy. - KitaReporters



 

11
10
0
11
0

Copy Link: