SELEPAS dinobat masjid terbaik di Selangor pada tahun 2024, Masjid Al-Hasanah (MAH), Seksyen 9, Bandar Baru Bangi kini meletakkan sasaran lebih besar apabila berhasrat untuk muncul sebagai masjid terbaik di Malaysia sebelum melangkah ke pentas Asia Tenggara dan dunia.


Masjid Al-Hasanah dikelilingi kawasan perumahan dan perniagaan untuk berperanan sebagai Masjid Pusat Komuniti Unggul.


Aspirasi itu bukan sekadar slogan sebaliknya digerakkan melalui pelbagai inisiatif meliputi aspek pengurusan, pembangunan fizikal, teknologi, kebajikan komuniti dan kelestarian alam sekitar.

Hala tuju itu menjadi antara agenda yang dibentangkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-16 MAH. Ia bagi mengangkat masjid itu bukan sekadar cemerlang pada peringkat negeri, tetapi menjadi model pengurusan masjid bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

Nazir MAH, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman, berkata pihaknya mahu membuktikan bahawa masjid bukan hanya semata-mata tempat beribadah, sebaliknya pusat pembangunan ummah yang merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, kebajikan, teknologi dan kemasyarakatan.



MAH turut dikenali  "Masjid Hijau" dengan hasil reka bentuk bangunan yang mengutamakan pengudaraan semula jadi dan tenaga secara cekap.


Beliau berkata, dalam usaha mencapai sasaran itu, pihak pengurusan memberi perhatian serius terhadap pembangunan dan pemulihan fasiliti memandangkan usia masjid kini mencecah 26 tahun.

"Antara komponen yang memerlukan penyelenggaraan termasuk sistem penghawa dingin, dewan seminar, bilik air, kebocoran bumbung bangunan dan pelbagai kemudahan lain yang digunakan ribuan jemaah setiap minggu.

"Bagi memastikan keselesaan jemaah sentiasa terpelihara, MAH memerlukan sumber kewangan kukuh bagi menampung kos penyelenggaraan dan pentadbiran yang semakin meningkat.

"Atas sebab itu, kami tidak boleh hanya bergantung kepada kutipan tabung semata-mata sebaliknya perlu meneroka pelbagai sumber dana baharu," katanya.

Antara pendekatan yang dilaksanakan termasuk mempromosi melalui stesen televisyen, pelantikan ikon tertentu bagi membantu kutipan dana serta penggunaan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI).


Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman


"Strategi itu penting bagi memastikan pelbagai program yang dijalankan setiap hari dapat diteruskan tanpa menjejaskan kedudukan kewangan masjid. 

"Dalam aspek pengurusan moden, MAH turut memperkenal sistem e-pintar yang membolehkan lampu dan penghawa dingin beroperasi secara automatik mengikut kehadiran jemaah.

"Penggunaan teknologi berkenaan membantu mengurangkan pembaziran tenaga selain menjadikan operasi masjid lebih cekap dan mesra alam," katanya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya berusaha memenuhi pelbagai kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan secara berperingkat-peringkat bagi melayakkan MAH bersaing dalam pemilihan masjid terbaik peringkat kebangsaan.

"Persaingan bukan mudah kerana terdapat lebih 6,000 masjid di seluruh negara, manakala di Selangor sahaja terdapat lebih 400 masjid.

"Kejayaan MAH muncul masjid terbaik Selangor pada tahun 2024 membuktikan usaha yang dilakukan berada di landasan tepat. 

"Pengiktirafan itu diberikan selepas MAH memenuhi empat komponen utama iaitu pusat ibadah, pusat ilmu, pusat dakwah dan pusat keprihatinan masyarakat," katanya.


MAH dinobatkan sebagai masjid terbaik peringkat Negeri Selangor pada 2024.


Menurutnya, selain memperkukuh program keagamaan sedia ada, pihak pengurusan akan terus menampilkan penceramah dan pendakwah terkenal yang mempunyai tauliah mengajar.

"Langkah itu bertujuan menarik lebih ramai jemaah khususnya golongan muda dan keluarga untuk mendekati masjid. Antara tokoh yang dicadangkan mengisi program ilmu termasuk Ustaz Zul Ramli, Datuk Mohd Kazim Elias, Ustaz Jafri Abu Bakar, Ustaz Elias Ismail dan Datuk Badli Shah Alauddin.

"Bagi jemaah wanita pula, MAH kini memperluas penganjuran kuliah dhuha dengan menampilkan pendakwah wanita terkenal dari seluruh negara," katanya.

Dalam era digital, MAH turut memberi perhatian serius terhadap platform media sosial termasuk TikTok dan Facebook sebagai medium dakwah serta promosi aktiviti masjid.

"Seorang petugas khas ditugaskan untuk menghasilkan kandungan digital seperti video pendek, rakaman kuliah dan promosi program bagi menarik perhatian generasi muda. 

"Pendekatan itu penting bagi memastikan masjid kekal relevan dan dekat di hati masyarakat dalam dunia yang semakin dipengaruhi teknologi," katanya.


Program keagamaan yang diadakan di MAH sentiasa mendapat sambutan selain turut ustaz serta ustazah yang mempunyai nama besar pada peringkat nasional.


Selain menjadi pusat ilmu dan ibadah, MAH turut dikenali sebagai "Masjid Hijau" dengan hasil reka bentuk bangunan yang mengutamakan pengudaraan semula jadi dan tenaga secara cekap.

Masjid yang dibina pada 1997 dan dirasmikan pada 10 Mac 2000 itu mampu menampung sehingga 3,000 jemaah pada satu-satu masa. 

Ia dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk perpustakaan, dewan seminar, pusat tahfiz, Anjung Nikah, taman permainan kanak-kanak, kafe, koperasi serta pusat pengurusan jenazah.

"Dalam usaha menyokong agenda kelestarian alam sekitar, MAH menggunakan lampu LED dan tenaga solar selain menggerakkan program kitar semula serta pengumpulan minyak masak terpakai daripada penduduk dan restoran sekitar.

"Masjid itu dipilih antara satu daripada 11 rumah ibadat di Malaysia untuk program Rumah Ibadat Hijau serta memiliki pensijilan ISO 9001:2015. 

"Di kawasan belakang masjid, pelbagai tanaman ditanam menggunakan sistem hidroponik termasuk pegaga dan buah-buahan lain bagi memberi manfaat kepada golongan asnaf melalui aktiviti ekonomi komuniti.

"MAH juga mempunyai laman herba, kawasan rekreasi dan kolam ikan koi yang menjadi antara tarikan kepada pengunjung," katanya.


Pengurusan MAH bergambar kenangan bersama sebahagian jemaah yang hadir sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-16 2026. 


Mohd Safian mengakui, banyak idea pembangunan masjid diperoleh hasil lawatan ke pelbagai masjid dalam dan luar negara termasuk Singapura yang terkenal dengan pengurusan sistematik dan kemudahan bertaraf antarabangsa.

"MAH pernah dibawa ke pentas antarabangsa oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mewakili Malaysia dalam kategori penghijauan di Mexico pada tahun 2021.

"Hasil kerja keras pengurusan dan AJK, MAH menjadi tumpuan pelbagai pihak untuk melihat sendiri bagaimana ia diuruskan dan kami sentiasa terbuka berkongsi pengalaman serta amalan terbaik.

"Insya-Allah dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi, MAH akan terus memperkukuh peranannya sebagai Masjid Pusat Komuniti Unggul, peneraju masjid hijau dan digital serta menjadi contoh kepada institusi masjid pada peringkat dunia," katanya. - KitaReporters

7
4
0
3
0

Copy Link: