Sepanjang Jalan Kenangan| Memori indah! Demi kau Bujal, keranamu Salina! Aku kayuh basikal 16km!
Published by
PADA Ahad, 7 Jun, 2026, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, berlangsung peluncuran buku ‘Melarik Dakwat Kenangan' - Menjejak Bayang Salina, Mengejar Lincah Bujal! hasil selenggaraan Rosman Md Shah dan Zalila Isa.

Penulis memang berhajat untuk menghadirkan diri tapi terikat dengan komitmen lain dan hanya mengikuti perihal pelancaran itu menerusi Facebook rakan-rakan.
Apa istimewanya buku ini sehingga menjadi magnet untuk menarik penulis ingin bersama meraikan peluncurannya?
Bagi anak-anak hari ini yang lebih mengenali watak Upin dan Ipin, Didi And Friends, Omar & Hana, nama Bujal dan Salina sudah tentu terlalu asing kepada mereka.
Tapi, bagi generasi sebaya penulis, dua watak ini boleh dianggap sebagai ikon yang banyak mempengaruhi kehidupan zaman kanak-kanak kami.

Pada tahun 1970-an dan 80a-an, ketika belum wujud pelbagai landasan media sosial sebagaimana sekarang, selain televisyen dan radio, bahan bacaan terutama komik adalah medium popular dalam kalangan kanak-kanak.
Penulis adalah antara peminat tegar komik sehingga sanggup mengikat perut semata-mata untuk membeli komik terutama Bujal dan Salina yang terbit secara bulanan.
Bujal adalah watak kanak-kanak cerdik tapi nakal, dibantu pula oleh rakan baiknya, Dogol dan Raju, sementara Wak Segan, seorang lelaki bodoh-bodoh alang yang sering menjadi mangsa gurauan atau usikan Bujal dan rakan-rakannya.
Keletah Bujal yang menghiburkan itu menjadi kekuatan komik berkenaan sehingga pembaca tertunggu-tunggu keluarannya setiap bulan.
Penulis sanggup berkayuh basikal sejauh 16 kilometer pergi dan balik dari kampung ke pekan semata-mata hendak membeli majalah Bujal dan Salina. Malah, kalau kehabisan, penulis sanggup pula mengambil bas untuk ke bandar yang jaraknya lebih jauh semata-mata bagi memastikan tidak ketinggalan memilikinya.

SALINA antara majalah popular pada zaman 1970-an dan 1980-an.
Jika Bujal dikhususkan untuk bacaan kanak-kanak, Salina pula menyasarkan remaja sebagai pembacanya. Penulis, ketika itu berusia belasan tahun amat terpesona dengan kecantikan Salina seolah-olah dia wujud di alam nyata.
Kisah percintaan Salina bersama Jefri yang berliku dan penuh konflik menjadi tarikan utama seolah-olah kita sedang mengikuti sebuah filem percintaan Bollywood.
Kekuatan jalan cerita serta lukisan yang memikat hasil air tangan pelukis terkenal, Rizalman menjadikan Salina sebagai majalah komik paling popular pada era itu.

ALLAHYARHAM Mohamad Razali Othman atau lebih dikenali sebagai Rizalman, penerbit majalah Bujal dan Salina.

ANTARA karya awal penulis yang disiarkan majalah Bujal.
Lebih istimewanya Bujal dan Salina di hati penulis adalah kedua-dua majalah inilah yang membuka ruang kepada penulis untuk mengasah bakat dalam bidang penulisan, juga kepada bakat-bakat muda lain seperti Djazlam Zainal, Mohd Sayuti Omar, Melipriapapa MH, Fettie Syame dan ramai lagi.
Penulis lebih banyak menulis untuk Bujal berbanding Salina. Antara ruangan yang sering menyiarkan tulisan penulis adalah ‘Tokoh Sejarah’ di samping ruangan pantun dan puisi. Penulis juga pernah menulis skrip untuk siri komik CitCit, antara komik popular dalam Bujal.
Ketika itu nama Rodly Fadly belum wujud sebaliknya penulis menggunakan pelbagai nama pena, antaranya Seri Mega dan Seri Indera Mega.
Tidak dinafikan, Bujal dan Salina memainkan peranan dalam membentuk bakat penulis sebelum penulis melebarkan sayap kepada penerbitan arus perdanaseperti akhbar harian, Bintang Timur (terbitan Utusan Melayu), Utusan Pelajar, Mingguan Perdana dan beberapa penerbitan lain sehingga akhirnya bergelar wartawan.

PELUNCURAN buku 'Melarik Dakwat Kenangan' berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 7 Jun, 2026.
Justeru, walaupun era kegemilangan Bujal dan Salina sudah lama berlalu namun jasa mereka tetap terpahat pada hati sanubari penulis.
Usaha menerbitkan buku khas sebagai mengenang kedua-dua watak itu adalah sesuatu yang sangat berharga- sekurang-kurangnya generasi hari ini mengetahui bahawa sebelum lahir Upin dan Ipin, Didi And Friends serta Omar & Hana, Bujal dan Salina terlebih dulu mewarnai dunia kanak-kanak di Malaysia.

PELAKON, Zulkifli Ismail adalah antara individu yang mengasah bakat penulisan menerusi majalah Bujal. - Kredit foto: FB Zulkifli Ismail.
Bagi mereka sebaya penulis pula, terutama peminat Bujal dan Salina, terbitnya ‘Melarik Dakwat Kenangan’ mengembalikan memori zaman kanak-kanak kami yang membesar bersama kedua-dua watak itu.
Bujal dan Salina mungkin sudah tidak relevan dengan zaman digital sekrang tapi ia akan kekal sebagai khazanah amat bernilai apabila kita membicarakan mengenai industri komik Malaysia yang menjadi wadah bacaan masyarakat pada era 1950-an sehingga akhir 1990-an sebelum ledakan teknologi memendekkan hayatnya.
Al-Fatihah kepada Rizalman atau nama sebenarnya, Mohamad Razali Othman, orang yang bertanggungjawab meletakkan nama Bujal dan Salina pada aras yang tinggi menerusi syarikat penerbitannya, Raz Studio.
Pada 28 Jun, 2026 ini, genap dua tahun pemergiaannya, namun hasil seni yang ditinggalkan akan terus . - KitaReporters

UJAL terbitan Julai 1979.

SYAMSUL Rizal Sabri Johari (kanan) antara yang yang mengambil inisiatif memelihara khazanah Bujal dan Salina.
