Video| Alam mistik! Siapa mata hijab terbuka? Ayah kata nampak budak lemas! Betul atau hanya gurauan?

Published by
KitaReporters

Kisah-kisah mistik dan alam ghaib sememangnya tidak pernah lekang daripada masyarakat kita. 

Sejak dahulu lagi, pelbagai cerita mengenai penampakan, gangguan misteri dan pengalaman sukar dijelaskan sering menjadi topik perbualan, sama ada dalam kalangan orang tua mahupun generasi muda.



Walaupun ada yang menganggap perkara sedemikian sekadar kebetulan atau ilusi, tidak kurang juga yang percaya bahawa alam ghaib sememangnya wujud seperti yang disebut dalam ajaran agama. 

Namun, sehingga hari ini, pelbagai pengalaman aneh yang dikongsikan oleh orang ramai terus mengundang perdebatan antara mereka yang percaya dan golongan skeptikal.

Tular satu video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, @syeenajamal,  apabila rakaman percutian keluarganya meraih lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh kurang sehari.



Apa yang menarik perhatian netizen bukanlah lokasi percutian tersebut, sebaliknya dakwaan bapanya yang dikatakan cuba menyelamatkan seorang budak yang lemas.

Menerusi kapsyen yang ditulis, wanita berkenaan meluahkan rasa tertanya-tanya sama ada bapanya benar-benar melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat orang lain atau sekadar bergurau. 

“Ni video lama saya pergi bercuti. Siapa yang mata hijab terbuka, betul ke apa yang ayah saya nampak ni?

“Dia ada cakap ada budak lemas, dia cuba selamatkan ataupun ayah saya saja bergurau?” tulisnya.



Persoalan tersebut segera mengundang ribuan komen daripada netizen yang masing-masing cuba meneliti rakaman berkenaan. Lebih mengejutkan, ada yang mendakwa mereka dapat melihat sesuatu yang mencurigakan dalam video tersebut. 

“Anak saya nampak ada dua budak lelaki tengah tenggelam. Satu budak besar dan satu lagi kecil sikit. Yang paut tu budak besar, lepas tu dia tenggelam dan hilang,” tulis salah seorang netizen.


 



Sementara itu, seorang netizen pula menyifatkan rakaman tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa kerana jarang berlaku gangguan sedemikian dapat dirakam secara tidak sengaja. 

“Menarik gangguan macam ni. Kali pertama tengok. Cuba Google berita ada ke budak lemas dekat situ. 

"Mungkin tak sebut nama hotel, mungkin nama daerah atau kawasan. Kalau di Pulau Pinang ada satu tempat tu memang dah terkenal dengan kes macam ni,” katanya.



Dalam pada itu, seorang lagi netizen mengakui rakaman tersebut antara yang paling menyeramkan pernah dilihatnya. 

“Dalam banyak-banyak video yang tanya ‘nampak tak’, ini video pertama yang aku nampak memang betul. Bukan geng bulat-bulat. Aaaa seram!” tulisnya.



Seorang lagi netizen mendakwa dia melihat seolah-olah terdapat tangan kecil yang memegang tangan bapa kepada pemilik video tersebut.

“Nampak ada tangan kecil tarik tangan ayah awak. Lepas tu muncul muka kecil tu yang ayah awak macam tarik sesuatu,” tulisnya. 

Manakala seorang lagi netizen pula tertanya-tanya mengenai apa yang berlaku selepas kejadian tersebut.

“Lepas tu apa jadi? Ayah memang ada angkat budak tu ke?” soalnya.



Sehingga kini, tiada sebarang pengesahan mengenai lokasi sebenar rakaman tersebut atau sama ada pernah berlaku insiden lemas di kawasan berkenaan.

Seperti kebiasaan, kisah-kisah misteri sebegini sentiasa mengundang pelbagai reaksi. Ada yang mempercayainya berdasarkan pengalaman peribadi, manakala ada yang berpendapat ia mungkin sekadar ilusi optik, permainan cahaya atau salah tafsiran terhadap sesuatu keadaan.

Apa pun, sebagai umat Islam, kita sememangnya meyakini bahawa alam ghaib itu wujud sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. 

Namun, kepercayaan tersebut tidak seharusnya membuatkan kita terlalu taksub atau mudah mempercayai setiap perkara yang tular dalam media sosial tanpa sebarang kepastian. - KitaReporters



 

 

13
16
0
12
0

Copy Link: