Bendung vape| Pemadam desak perkukuh akta! Tingkatkan lagi penguatkuasaan kawalan produk merokok!
Published byKerajaan digesa memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), bagi memastikan segala usaha untuk membendung penggunaan vape dan penyalahgunaan bahan terlarang diperkasakan secara konsisten dan berterusan.

“Tindakan lebih tegas perlu terhadap penjualan vape secara dalam talian, termasuk melalui media sosial, platform e-dagang, WhatsApp dan Telegram yang semakin sukar dikawal serta mudah dicapai oleh golongan belia.” kata Pengerusi Biro Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Dato’ Jamelah A. Bakar dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, Pemadam berpandangan pendekatan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan bersepadu perlu menjadi keutamaan.
Pemadam percaya Akta 852 telah menyediakan asas perundangan yang kukuh untuk mengawal produk merokok termasuk vape.
Jamelah mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memutuskan untuk meneruskan proses rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mendapati pengecualian cecair dan gel nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 adalah tidak rasional.
“Pemadam menghormati hak mana-mana pihak menggunakan saluran perundangan yang diperuntuk oleh undang-undang termasuk proses rayuan, walau bagaimanapun, daripada perspektif pencegahan dadah dan kesihatan awam, perkara yang lebih utama pada masa ini ialah memastikan segala usaha untuk membendung penggunaan vape dan penyalahgunaan bahan terlarang terus diperkukuh melalui penguatkuasaan Akta 852,” ujarnya.

Jamelah A. Bakar
Katanya, Pemadam bimbang dengan perkembangan penggunaan vape yang semakin meluas khususnya dalam kalangan remaja dan dewasa muda.
“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), penggunaan rokok elektrik dan vape dalam kalangan individu berumur 15 tahun ke atas meningkat daripada 0.8 peratus pada tahun 2011 kepada 5.8 peratus pada tahun 2023.
"Peningkatan ketara ini memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.
“Lebih membimbangkan lagi, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat laporan penyalahgunaan vape dengan mencampurkan bahan psikoaktif dan dadah sintetik yang boleh menyebabkan ketagihan serius, perubahan tingkah laku, gangguan kesihatan mental dan risiko kematian.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa vape bukan lagi sekadar isu nikotin semata-mata, tetapi berpotensi menjadi medium penyalahgunaan bahan terlarang yang lebih kompleks dan berbahaya,” tegas Jamelah.
Beliau turut menggesa pemantauan terhadap kandungan produk vape yang berada di pasaran juga dipertingkat bagi memastikan tiada bahan terlarang, bahan psikoaktif dan dadah sintetik disalahgunakan melalui produk tersebut dan pada masa yang sama, promosi dan pengiklanan yang menyasarkan golongan muda perlu dibendung secara lebih berkesan.

Jamelah menyeru KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Media Malaysia (MCMC), institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat menjalin kerjasama yang erat untuk mengawal produk merokok termasuk vape kerana keutamaan pada masa ini ialah memastikan penguatkuasaan Akta 852 diperkasakan secara konsisten dan berterusan.
Menurutnya, ancaman vape dan penyalahgunaan dadah tidak boleh dipandang ringan. Tindakan pencegahan yang berkesan hari ini akan menentukan keselamatan dan kesejahteraan generasi muda pada masa hadapan. - KitaReporters

