MEMBUDAYAKAN al-Quran dalam masyarakat hari ini bukan tugas mudah malah cabarannya semakin besar berbanding beberapa dekad lalu apabila masyarakat kini berdepan lambakan maklumat, hiburan tanpa batas dan gaya hidup yang semakin pantas.


Tengku permaisuri Norashikin Abdul Rahman (kiri) turut mengikuti Forum Perdana yang menampilkan Ustazah Nawiyam Abu, Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan dan PU Amin sebagai moderator.


Lebih mencabar, golongan muda kini terdedah kepada pelbagai pengaruh menerusi media sosial dan teknologi digital yang sentiasa bersaing untuk mendapatkan perhatian mereka.

Namun, cabaran utama bukanlah kerana masyarakat khususnya generasi muda tidak menyukai al-Quran, sebaliknya ramai masih belum berjaya melihat hubungan antara kitab suci itu dengan kehidupan harian mereka.

Hakikatnya, al-Quran bukan sekadar bahan bacaan atau hafazan, tetapi panduan yang mampu membantu manusia menghadapi pelbagai cabaran semasa termasuk tekanan hidup, masalah kekeluargaan, kerjaya, kewangan dan hubungan sesama manusia.  

Jika kefahaman itu berjaya diterapkan, al-Quran tidak lagi dilihat sebagai kitab yang hanya dibaca pada majlis tertentu atau malam Jumaat, sebaliknya menjadi panduan hidup yang relevan sepanjang zaman. 



Atas kesedaran itu, Pertubuhan Sahabat Al-Quran (PSAQ) Selangor dengan kerjasama Masjid Al-Hasanah (MAH), Bandar Baru Bangi, Selangor menganjurkan Forum Perdana dan Bacaan Yasin Peringkat Kebangsaan bagi mendekatkan masyarakat dengan al-Quran melalui pendekatan yang lebih santai dan mesra komuniti.

Program yang berlangsung meriah itu dirasmikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman

Lebih 1,500 peserta dari seluruh negara menghadiri program berkenaan yang turut menampilkan Forum Perdana bertajuk "Isu Semasa, Cabaran Sosial dan Penyelesaian Islamik Berlandaskan Al-Quran".


Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan (tengah) menerima cenderahati daripada Tengku Permaisuri Norashikin sebagai ahli panel forum perdana.


Forum itu menampilkan panel jemputan Ustazah Nawiya Abu dan Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan, manakala PU Amin bertindak sebagai moderator.

Turut hadir Dato' Orang Kaya To' Engku Maha Bijaya Hulu Langat, Datuk Rosli Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Nazli Md Taib serta Nazir MAH, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyampaikan cenderahati kepada 13 pengerusi PSAQ negeri-negeri, moderator serta ahli panel forum sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam menjayakan usaha dakwah dan pengimarahan masyarakat melalui al-Quran.


Abryna Anuar 


Pengerusi PSAQ Selangor, Abryna Anuar berkata, program itu adalah aktiviti tahunan yang dilaksanakan secara bergilir di seluruh negara termasuk di Brunei dan Indonesia. 

Beliau berkata, penganjuran kali ini memberi peluang kepada Selangor menjadi tuan rumah selepas program sama pernah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

"Program ini adalah aktiviti tahunan PSAQ dan kami mengadakan pelbagai pengisian termasuk khatam al-Quran serta bacaan Yasin di negeri-negeri yang dikenal pasti.

"Malah, program seumpama ini turut dilaksanakan di luar negara termasuk Brunei dan Indonesia," katanya.

Menurutnya, PSAQ kini mempunyai kira-kira 40,000 ahli di seluruh negara yang aktif menyertai pelbagai program dakwah dan penghayatan al-Quran.

"Usaha memperluas budaya membaca dan memahami al-Quran perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan masyarakat sentiasa dekat dengan ajaran Islam.

"PSAQ juga merancang meneruskan program sama di Kelantan pada Julai 2026 sebagai sebahagian usaha memperkukuh jaringan sahabat al-Quran di seluruh negara," katanya.


Ustazah Nawiya Abu (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Tengku Permaisuri Norashikin.


Dalam pada itu, Abryna mengakui antara cabaran terbesar ketika ini ialah persaingan perhatian masyarakat yang semakin tertumpu kepada penggunaan telefon pintar dan media sosial.

"Hampir setiap aplikasi digital berlumba-lumba mendapatkan perhatian pengguna sehingga menyebabkan ramai kurang meluangkan masa untuk membaca al-Quran atau menghadiri majlis ilmu.

"Walaupun ada tanggapan generasi muda semakin jauh daripada agama, hakikatnya kita melihat perkara sebaliknya apabila program ilmu yang disampaikan secara santai dan autentik sering mendapat sambutan memberangsangkan.

"Ramai anak muda mengikuti kuliah agama secara dalam talian, menghadiri program kerohanian dan mencari jawapan kepada persoalan hidup daripada perspektif Islam.

"Ini menunjukkan minat itu sebenarnya ada, cuma pendekatan yang digunakan perlu lebih dekat dengan bahasa, cabaran dan realiti kehidupan mereka," katanya.

Beliau berkata, cabaran masa kini bukan sekadar mengajak masyarakat membaca al-Quran, sebaliknya membantu mereka memahami bagaimana al-Quran boleh membimbing kehidupan seharian.

"Apabila masyarakat melihat kaitan antara al-Quran dan realiti hidup mereka, budaya mencintai serta menghayati al-Quran akan berkembang dengan lebih semula jadi," katanya.


 

Dr Norshidah Mohamad Ismail 


Sementara itu, Ketua Muslimah MAH, Dr Norshidah Mohamad Ismail berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan PSAQ dalam menjayakan program berkenaan.

Beliau berkata, MAH sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama menganjurkan program bermanfaat untuk masyarakat khususnya yang membabitkan pengimarahan rumah Allah.

"Melalui program seperti ini, kami dapat menarik lebih ramai jemaah ke masjid termasuk golongan muda dan penduduk setempat.

"Kehadiran peserta dari seluruh negara juga memberi peluang kepada mereka melihat sendiri pelbagai usaha dan program pengimarahan yang dilaksanakan MAH sepanjang tahun.

"Insya-Allah, kami akan terus mencari idea baharu untuk menganjurkan lebih banyak program yang dapat mendekatkan masyarakat kepada masjid dan al-Quran," katanya. - KitaReporters


Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman (kiri) mewakili Masjid Al-Hasanah menyampaikan cenderahati sebagai kenang-kenangan kepada Tengku Permisuri Norashikin.

6
6
0
8
0

Copy Link: