Isu kebersihan premis makanan sememangnya antara perkara yang sering menjadi perhatian masyarakat sejak dahulu lagi. 

Tidak terkecuali restoran mamak yang menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia tanpa mengira waktu, khususnya untuk menikmati sarapan, makan tengah hari atau sesi lepak lewat malam.



Namun, perlu ditegaskan bahawa isu melibatkan kebersihan sesebuah premis tidak boleh digeneralisasikan kepada semua restoran mamak kerana majoriti pengusaha sentiasa berusaha menjaga standard kebersihan dan mematuhi garis panduan pihak berkuasa. 

Malah, sebarang dakwaan juga perlu disiasat terlebih dahulu bagi mengelakkan fitnah terhadap mana-mana pihak.

Satu video yang dimuat naik oleh pengguna media sosial dikenali sebagai @iffanabilaaa menarik perhatian ramai apabila mendakwa menemui objek pelik dalam hidangan kambing yang dibeli secara bungkus dari sebuah restoran mamak di Kota Kemuning, Selangor. 

"Disangkakan kambing, tapi rupa-rupanya hmmm. Tapau (bungkus) dari kedai mamak dekat Kota Kemuning petang semalam," tulisnya ringkas sambil memaparkan objek pelik yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.



Perkongsian tersebut pantas mengundang pelbagai reaksi netizen. 

Ada yang beranggapan objek berkenaan menyerupai tisu, malah tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan pembalut luka pada jari pekerja.

"Sekejap, tisu bergetah? Macam tisu tu sebenarnya balut ibu jari dia mungkin luka, lepas tu tertanggal?" tulisnya sambil meluahkan rasa geli.


 


Namun, ada juga netizen yang berpandangan bahawa objek berkenaan mungkin hanyalah bahagian lemak atau membran daging yang biasa dibuang ketika proses penyediaan.

Menurut netizen tersebut berdasarkan pemerhatiannya, objek tersebut kelihatan seperti silver skin iaitu lapisan membran yang lazim ditemui pada daging.  

"Kalau dari sudut pemerhatian saya, tu nampak macam 'silver skin' biasa butcher akan buang," katanya. 

Pandangan sama turut dikongsi oleh netizen lain yang merasakan objek itu tidak menyerupai tisu.

"Ya, saya pun tak rasa itu tisu. Kalau tisu dah pecah-pecah macam kes viral orang letak tisu dalam laksa bagi nampak pekat dulu," ujarnya.





Sementara itu, terdapat juga netizen menasihatkan agar perkara tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dilakukan secara profesional. 

"Report je. Balai polis sebelah je kan," tulisnya.

Seorang lagi netizen menegaskan bahawa sekiranya benar objek itu adalah tisu atau bahan asing, aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dibuat kerana bukti masih ada.

"Kalau betul tisu, lebih baik buat laporan KKM sebab barang bukti dah ada," katanya.



Dalam masa sama, terdapat juga segelintir netizen yang mengingatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan.

"Jangan fitnah. Ada sejenis lemak yang nampak macam plastik," komen seorang pengguna.

Ada juga netizen mengambil kesempatan berkongsi pengalaman sendiri sehingga ada yang mendakwa sudah berhenti makan di restoran mamak. 

"Aku dah stop makan kat mamak. Sebab laki aku cakap pasal 'air kaki'. Sejak tu asyik terbayang sampai hilang selera," kongsinya.




Walau bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis belum ada sebarang pengesahan rasmi mengenai apakah sebenarnya objek yang ditemui dalam hidangan tersebut.

Sekiranya benar terdapat unsur pencemaran makanan atau pelanggaran aspek kebersihan, saluran terbaik ialah membuat aduan kepada pihak berkuasa berkaitan supaya siasatan dapat dijalankan secara telus dan adil.

Dalam era media sosial hari ini, sesuatu perkara boleh menjadi tular dalam sekelip mata. 

Namun, sikap berhati-hati dan tidak terus menghukum tanpa bukti yang kukuh adalah penting agar tidak berlaku fitnah terhadap mana-mana pihak.

Pada masa yang sama, aspek kebersihan makanan sentiasa menjadi tanggungjawab bersama antara pengusaha premis dan pengguna demi memastikan makanan yang dihidangkan bukan sahaja enak, tetapi juga selamat untuk dinikmati. - KitaReporters



7
6
0
2
0

Copy Link: