TERSERGAM indah di Bandar Meru Raya, Ipoh ialah Pusat Rehabilitasi Sultan Nazrin Shah (PRSNS) yang berdiri megah selaku pusat pemulihan berteknologi tinggi yang menyediakan rawatan kepada pesakit dalam persekitaran kondusif dengan kemudahan serba moden. 


Pusat Rehabilitasi Sultan Nazrin Shah (PRSNS) di Bandar Meru Raya, Ipoh, menyediakan rawatan pemulihan moden dan berteknologi tinggi.


Sultan Nazrin berkenan merasmikan Pusat Rehabilitasi Sultan Nazrin Shah, dulunya Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotics & Cybernics Kebangsaan Perkeso di Bandar Meru Raya, Ipoh, pada 16 Jun 2026.


Perasmian dan pemasyhuran nama disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 16 Jun 2026. Sebelum itu pusat itu dikenali sebagai Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotics & Cybernics Kebangsaan Perkeso.

Dibina di atas tanah seluas 15.6 hektar, pusat tersebut di bawah kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Namun khidmatnya tidak terhad hanya kepada pencarum Perkeso, tetapi juga orang awam (individu bukan pencarum) dan pesakit antarabangsa.


Sultan Nasrin berkenan berbual dengan salah seorang pesakit yang menjalani rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Sultan Nazrin Shah.


Bagi pekerja yang mencarum dan layak di bawah skim Perkeso (seperti Skim Bencana Pekerjaan atau Skim Keilatan), kos rawatan, pemulihan dan penginapan ditanggung oleh Perkeso di bawah Program Return to Work (Kembali Bekerja atau RTW).

Pesakit awam (bukan pencarum), pesakit swasta atau warga asing perlu membayar kos rawatan sebagai pesakit berbayar (paying patients) mengikut kadar perkhidmatan yang ditetapkan.

Pusat ini juga menerima rujukan daripada mana-mana hospital atau doktor pakar untuk kes-kes yang memerlukan pemulihan intensif seperti strok, kecederaan saraf tunjang atau trauma otak.

Pusat rehabilitasi tersebut merupakan yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara, menyediakan sekitar 151 jenis perkhidmatan pemulihan.

Ini termasuk pediatrik, geriatrik, neuromodulasi, vokasional serta Program Advanced RTW untuk membantu pekerja yang cedera, atau menghidap penyakit seperti strok atau kecederaan saraf tunjang, kembali bekerja.


Sultan Nazrin berkenan melihat sendiri kaedah pemulihan pesakit di Pusat Rehabilitasi Sultan Nazrin Shah.


PRSNS merupakan hab Robotik Dunia, dilengkapi dengan rawatan neurorobotik (neuro-robotic) dan sibernik (cybernics).

Neurorobotik ialah teknologi sains yang memberi ‘otak bertingkah laku kepada robot’ atau memberi ‘anggota badan robotik’ kepada isyarat otak. 

Misalnya pembuatan tangan tiruan pintar (bionik) yang boleh bergerak menggunakan isyarat fikiran pengguna untuk membantu pesakit lumpuh berjalan semula.

Jika neurorobotik berfokus kepada reka bentuk robot yang meniru sistem saraf atau otak, sibernik pula ialah bidang yang menggabungkan manusia, mesin dan maklumat secara langung menjadi sistem tunggal.

PRSNS mempunyai 65 unit peranti eksoskeleton ‘Cyberdyne Hybrid Assistive Limb’ (HAL), atau Anggota Badan Bantuan Hibrid. Ini merupakan jumlah terbanyak di dunia. 

Teknologi dari Jepun ini membantu pemulihan saraf dan pergerakan pesakit. Ia adalah hasil kerjasama Perkeso dengan Perbadanan Cyberdyne Jepun.


Menjalani pemulihan dengan kaedah sibernatik antara kemudahan di Pusat Rehabilitasi Sultan Nazrin Shah dalam usaha membantu pesakit berjalan semula.


Teknologi HAL ialah sejenis pakaian robotik rangka luar (exoskeleton atau eksoskeleton atau rangka luar) yang pertama di dunia, dikawal secara neurologi atau menggunakan isyarat saraf. 

Ia direka khas untuk membantu meningkatkan keupayaan fizikal manusia, terutama yang sukar bergerak. 

Rawatan pemulihan termasuk anggota bawah badan (lower limbs), sendi dan lumbar (lumber) iaitu bahagian bawah punggung atau kawasan pinggang.

PRSNS mampu merawat sehingga 700 pesakit pada satu-satu masa dan 3,000 pesakit setiap tahun. Sejak mula beroperasi pada Julai 2025, sejumlah 1,095 pesakit menerima rawatan. Ini termasuk kes kemalangan, kecederaan saraf tunjang dan strok.


Kaedah latihan sibernatik untuk merangsang pergerakan pesakit antara kemudahan di Pusat Rehabilitasi Sultan Nazrin Shah.


Pembinaan pusat tersebut, dengan kemudahan bertaraf antarabangsa, bermula pada 2 Mei 2022. Ia siap sepenuhnya dalam masa empat tahun dengan kos RM1 bilion. Ia mengandungi 13 blok utama, termasuk tempat pernginapan.

Selain khidmat rawatan komprehensif, khususnya teknologi neurobotik, disediakan juga perubatan komplimentari serta program pemulihan vokasional.

Dengan pelbagai kemudahan rawatan pemulihan komprehensif bertaraf tinggi, PRSNS bakal muncul sebagai Pusat Kecemerlangan Rehabilitasi serta menjadi hab rujukan global untuk perkhidmatan neurorobotik, sibernik, neuromodulation dan Program Advanced RTW.

Di bawah program pemulihan vokasional, pelbagai modul latihan disediakan. Antaranya kemahiran teknikal, seni kulinari, industri kreatif dan kecantikan bertujuan memperkukuh keupayaan pesakit mengintai peluang kerja. 

Untuk memastikan latihan yang diberi relevan dan memenuhi keperluan pasaran, kerjasama dijalin dengan industri tempatan. Pihak industri menyediakan latihan dalam dalam bidang tertentu serta bidang keusahawanan.


Kaedah rawatan neurorobotik, menggabungkan robot dan manusia dalam proses rawatan pemulihan.


Jelas PRSNS menekankan pendekatan pemulihan yang komprehensif dan holistik. Fokus bukan sahaja aspek rawatan fizikal tetapi membantu pesakit memupuk keyakinan diri, produktif serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Melalui pusat tersebut, yang dilengkapi peralatan moden serta tenaga pakar dalam bidang perubatan dan kesihatan, Perkeso berazam untuk mentransformasi landskap pemulihan agar lebih dinamik, selari dengan kemajuan teknologi. - KitaReporters

5
11
0
7
0

Copy Link: