Sepanjang Jalan Kenangan| Wira yang ingin ku dendang! Tanpa mereka siapalah aku! Terima kasih!
Published bySETIAP kejayaan yang kita capai dalam hidup, sudah pasti ada individu di belakangnya yang menjadi pencetus, pendorong. pembakar semangat atau membantu kita mendaki sama ada secara langsung atau tidak langsung.

CIKGU Aziz Hussein (berdiri dua dari kiri) antara pendorong utama penulis.
Tidak terkecuali saya. Selain usaha sendiri, keluarga, sahabat, majikan dan ramai lagi di belakang yang menjadi pendorong untuk saya kekal bergelar penulis sehingga sekarang.
Tidak mampu untuk saya sebut seorang demi seorang, namun saya ingin mendendangkan tiga individu yang memainkan peranan besar pada awal pembabitan saya sebagai penulis sehingga akhirnya saya berjaya menjadi wartawan- pekerjaan yang sangat saya idamkan.
Kadang-kadang bila mengenang perjalanan karier saya sebagai wartawan, pernah terfikir kalaulah tak jadi wartawan, apakah pekerjaan saya?
Memang sejak di bangku sekolah, saya minat menulis dan menanam cita-cita nak jadi wartawan apatah lagi bila tulisan saya mula tersiar dalam akhbar dan majalah
Begitupun, pada satu ketika saya sudah nekad mahu melupakan cita-cita itu. Puncanya selepas beberapa permohonan untuk menjadi wartawan seolah-olah tidak dipandang, ada antaranya langsung tidak mendapat jawapan.
Paling saya kecewa apabila permohonan untuk menjadi wartawan akhbar Bintang Timur juga tidak dilayan oleh Utusan Melayu (Utusan Melayu (M) Berhad) walaupun permohonan itu turut dikepilkan banyak salinan keratan berita tulisan saya yang pernah tersiar dalam akhbar berkenaan.
Bagi, saya keratan berita itu sudah mampu menjadi sijil untuk melayakkan saya menjadi wartawan. Tidak pasti mengapa mereka menolak.

PENULIS (baju merah) nekad melupakan cita-cita menjadi wartawan sebaliknya menumpukan perhatian pada pekerjaan sebagai operator kilang.
Kekecewaan itu menyebabkan saya nekad untuk berhenti menulis sebaliknya menumpukan perhatian pada pekerjaan sebagai operator kilang sambil mencari peluang untuk mendapatkan pekerjaan lain. Saya sudah tutup buku untuk menjadi wartawan.
Tetapi, orang yang bertanggungjawab membakar semula cita-cita saya adalah Cikgu Aziz Hussain, guru saya semasa bersekolah rendah. Ia berlaku bila kami terserempak pada suatu petang.
Pada pertemuan yang tidak dirancang itu, Cikgu Aziz bertanya mengapa sudah lama tak nampak nama saya (byline) di akhbar.
Bila saya beritahu sudah berhenti menulis kerana kecewa tak dapat kerja sebagai wartawan, Cikgu Aziz terus menasihati saya.
Saya masih ingat kata-katanya: "Rodly, bukan semua orang ada bakat macam kamu, dalam kampung ni kerana kamu seorang saja yang pandai mengarang. Jangan sia-siakan bakat yang Allah bagi tu.
"Cikgu nak tengok kamu terus menulis. Jangan putus asa, Insya-Allah ada rezeki kamu,” katanya, menaikkan kembali semangat serta menyalakan semula cita-cita saya.

PENULIS (kanan sekali) memulakan kerjaya wartawan bersama akhbar Mingguan Perdana.
Ternyata, mungkin berkat masin mulutnya, artikel pertama (selepas kembali menulis) tersiar dalam akhbar Mingguan Perdana dan saya mendapat tawaran kerja sebagai wartawan di akhbar itu tanpa saya memohon.
Bulan Mei, 1983, bermula kerjaya saya sebagai wartawan bersama akhbar tabloid Mingguan Perdana sebelum saya berhijrah ke Kumpulan Karangkraf dan New Strait Times Press (NSTP).
Tak sedar masa berlalu, sudah 43 tahun saya menceburi bidang ini, kerjaya yang saya idamkan dan sangat diminati.
Terfikir, kalaulah saya tak terserempak dengan Cikgu Aziz petang itu, apakah agaknya kerjaya saya. Tapi, sudah tentu semuanya atas ketentuan Allah SWT jua.
Cikgu Aziz telah kembali ke Rahmatullah pada 6 Julai, 2025 namun jasanya akan terus kekal terpahat dalam hati saya.
Cantik budi,
cantik rupa
Ibarat puteri
dalam hikayat
Jasa cikgu tak
kan kulupa
Akan dikenang sepanjang hayat

Sebenarnya saya mula berjinak-jinak dengan bidang penulisan apabila menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Minat itu mungkin tumbuh bertitik tolak daripada hobi saya yang suka membaca buku-buku cerita, novel dan komik.
Ketika berada di Tingkatan Dua, hasil tulisan saya mula mendapat tempat, antaranya dalam majalah Bujal, Salina, Utusan Pelajar dan Anak Kijang.
Namun, media yang benar-benar membuka ruang untuk saya menyerlahkan bakat penulisan saya adalah Bintang Timur, akhbar harian yang diterbitkan oleh Utusan Melayu khusus untuk pembaca utara tanah air.
Individu yang banyak memberi peluang tulisan saya disiarkan adalah Selina Mohamad Yussof, pengelola ruangan hiburan akhbar itu. Setiap bahan berita yang saya hantar tidak pernah ditolak sebaliknya mendapat ruang yang luas.
Secara peribadi (sehingga sekarang), saya tidak mengenali siapa wanita bernama Selina ini. Kami tidak pernah berjumpa, juga tidak pernah berhubung. Pendek kata memang tidak saling mengenali.

SELINA MOHAMAD YUSSOF
Tapi wanita ini adalah antara watak yang banyak membantu pada pembabitan awal saya dalam bidang penulisan. Mungkin dia tidak ingat tapi saya tak akan lupa jasanya.
Peluang diberi oleh Bintang Timur dan sudah tentunya oleh Selina, menyuntik semangat saya untuk gigih menulis dan bercita-cita menjadi wartawan terutama untuk akhbar Bintang Timur.
Tapi, semangat itu mula pudar yang mendorong saya mengambil keputusan ‘bersara’ sebagai penulis selepas permohonan sebagai wartawan Bintang Timur dan beberapa penerbitan lain gagal.
Cikgu Aziz Hussain muncul sebagai penyelamat, namun jasa Selina yang memberi peluang tidak akan saya lupakan.
Kalau tuan mandi
di kali
Jangan mandi di
bawah titi
Walau kita tak
saling mengenali
Budi anda terpahat di hati

KONA BALAN penulis petisyen yang banyak membantu penulis.
Individu ketiga yang ingin saya hargai adalah Kona Balan, seorang penulis petisyen di Pekan Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan.
Ketika saya menghubunginya empat tahun lalu, beliau yang ketika itu berusia lewat 70-an, masih setia dengan tugas yang ditekuninya sejak berusia 20-an.
Ketika awal pembabitan sebagai penulis pada 1970-an, saya memang tidak mampu memiliki mesin taip. Semua karya saya dihasilkan dengan tulisan tangan yang pasti akan dibakulsampahkan jika dihantar kepada akhbar atau majalah.
Justeru, saya menggunakan khidmat Mr Kona untuk menaip semula berita atau cerita yang saya karang sebelum dihantar kepada akhbar atau majalah.
Kona seorang yang peramah, sambil jarinya ligat menaip, mulutnya rancak berbual dengan saya. Beliau selalu memuji tulisan saya yang dianggap menarik. Kembang hidung saya mendengarnya walaupun ia mungkin sekadar pujian untuk membeli jiwa.
Dalam berbual itu, bahan yang ditaip siap. Upahnya bergantung kepada pendek panjang tulisan saya. Tapi, selalunya, tidak lebih RM3.

GAMBAR HIASAN.
Apabila saya menghubungi beliau empat tahun lalu, Kona cukup gembira apabila saya memperkenal diri dan mengimbas semula kisah silam itu.
Katanya, beliau masih ingat budak Melayu yang selalu datang memintanya taipkan cerita yang dikarang sekitar lewat tahun 1970-an. Ya, ketika itu, saya masih budak sekolah Tingkatan Dua atau Tiga.
Beliau mengucapkan terima kasih kerana masih mengingatinya dan mempelawa saya untuk menikmati kopi bersamanya jika saya balik ke kampung.
Tapi, beberapa kali cuba menjejakinya, saya gagal menemui Kona. Kebetulan nombor telefonnya juga hilang menyebabkan kami terputus hubungan.
Saya tidak pasti, sama ada beliau masih bertugas sebagai penulis petisyen atau sudah bersara.
Saya masih menaruh harapan, suatu hari nanti saya bertemu dengan beliau untuk menikmati kopi bersama sebagai tanda terima kasih saya kepadanya. - KitaReporters
Pisang emas
dibawa belayar
Masak sebiji di
atas peti
Hutang emas
boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati
