Yang merah itu saga! Ke mana hilangnya keindahan bahasa dalam penulisan berita dan rencana hari ini?
Published bySuatu ketika dahulu, lebih kurang setengah abad yang lalu, membaca akhbar merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan.
Selain mendapatkan maklumat, pembaca juga dapat menikmati keindahan bahasa yang digunakan oleh wartawan dan penulis rencana.

Cantik dan penuh makna ayat-ayat yang ditulis sehingga boleh menyentuh perasaan dan jiwa pembacanya.
Paling menarik, setiap berita ditulis dengan teliti, setiap ayat disusun dengan cermat dan rapi.
Setiap perkataan dipilih dengan penuh tanggungjawab kerana wartawan ketika itu memahami bahawa mereka bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi turut berperanan untuk memartabatkan bahasa dan membentuk pemikiran masyarakat pada masa itu.
Namun hari ini, kita semakin kerap berdepan dengan situasi yang kurang seronok bila membaca berita dan rencana dalam talian.
Banyak penulisan berita dan rencana yang diterbitkan, termasuk di sesetengah media dalam talian media arus perdana, yang mengandungi pelbagai kesalahan bahasa, kesalahan ejaan, penggunaan tanda baca yang tidak tepat serta gaya penulisan yang tidak menarik.
Malah ada penulisan yang membosankan serta maksudnya tidak sampai pada pembaca.
Lebih membimbangkan apabila terdapat kecenderungan mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara berlebihan sehingga menjejaskan keindahan bahasa itu sendiri.
Ada wartawan yang seolah-olah lebih selesa menggunakan istilah Inggeris walaupun padanan atau ayat bahasa Melayu yang baik telah lama wujud. Mereka kata itu satu tarikan untuk pembaca terus membaca.
Akibatnya, lahirlah penulisan yang kelihatan caca-marba, tidak kemas dan kurang mempunyai identiti bahasa yang jelas.

Kita perlu mengakui bahawa dunia kewartawanan hari ini berdepan tekanan yang berbeza. Persaingan media digital memerlukan berita diterbitkan dengan pantas. Wartawan perlu menulis banyak berita dalam tempoh yang singkat.
Namun keperluan untuk menjadi pantas tidak seharusnya mengorbankan kualiti dan etika dalam penulisan itu sendiri. Lambakan berita berita dan rencana yang terdapat dalam media sosial inilah yang mengurangkan mutu dan kualiti satu penulisan itu.
Berita yang cepat dan tidak berkualiti ini, akhirnya menjejaskan kredibiliti media berkenaan.
Wartawan generasi dahulu terkenal kerana ketelitian mereka. Untuk menulis satu penulisan yang bermutu, mereka membaca banyak buku, menguasai bahasa Melayu dengan baik dan sentiasa merujuk kamus apabila ragu-ragu. Malah sebelum sesuatu berita diterbitkan, ia melalui proses semakan dan penyuntingan yang ketat.
Ramai wartawan lama juga mempunyai kekuatan dalam penulisan rencana.
Mereka mampu menghidupkan sesuatu isu melalui gaya bahasa yang menarik, susunan fakta yang tersusun dan sentuhan emosi yang mampu menyentuh hati pembaca.
Sebab itulah banyak rencana yang ditulis puluhan tahun lalu masih enak dibaca sehingga hari ini.

Malangnya, budaya membaca dan menguasai bahasa kelihatan semakin berkurangan dalam kalangan sebahagian pengamal media masa kini.
Ada yang terlalu bergantung kepada teknologi dan terjemahan automatik tanpa melakukan semakan yang sewajarnya. Ada yang terus meminta ChatGPT menulis untuk mereka.
Hakikatnya, teknologi tidak mampu menggantikan kepekaan bahasa, kreativiti dan jiwa seorang wartawan.
Kewartawanan bukan sekadar melaporkan apa yang berlaku. Kewartawanan adalah seni menyampaikan fakta dengan tepat, jelas dan berkesan. Bahasa pula merupakan alat utama yang menentukan sama ada mesej itu berjaya sampai atau tidak kepada pembaca.
Sudah tiba masanya institusi media memberi perhatian yang lebih serius terhadap penguasaan bahasa dalam kalangan wartawan muda. Begitu juga universiti yang melahirkan ramai bakal wartawan menumpukan lebih serius pada penguasaan bahasa dan cara penulisan yang betul.
Latihan penulisan, penyuntingan dan penghayatan bahasa perlu diperkasakan semula di industri media dan pusat pusat pengajian tinggi.
Tuntasnya bahasa yang baik bukan sekadar mencerminkan profesionalisme seorang wartawan, malah mencerminkan tahap intelektual sesebuah organisasi media.

Jika kita mahu mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap media, kita perlu bermula dengan mengembalikan maruah bahasa dalam penulisan berita dan rencana.
Bagi penulis yang telah berkecimpung dalam dunia kewartawanan sebagai pensyarah dan penulis, berpendapat, wartawan yang hebat bukan hanya mampu mencari berita yang hebat, tetapi juga mampu menulisnya dengan bahasa yang hebat -- yang boleh menyentuh jiwa dan hati pembaca serta menyampaikan maklumat dengan jelas dan mudah difahami. - KitaReporters

