Lebih 50 petugas pelbagai agensi media dari Kuala Lumpur dan Perak berkunjung di DurioTourism Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Kangsar, Perak untuk menikmati pelbagai varieti durian sempena musim durian.


Mohamad Zabawi Abdul Ghani (kanan) menunjukkan buah durian pada program Media Tour DurioTourism MARDI di MARDI Kuala Kangsar.

Mereka datang dengan bas dari Kuala Lumpur dan ada yang datang dengan kereta menikmati durian di kawasan dusun Mardi yang buah durian sedang gugur dengan banyak.

Selain menikmati makan durian, mereka juga dapat menikmati buah  limau bali dan manggis.

Antara varieti durian yang menjadi tarikan di Mardi Kuala Kangsar ialah MARDI Super (MS) 88 (MS88) (dulu MARDI Durian 88 atau MD88), MD78 dan MD79.

Ketua Pengarah MARDI berkata, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pihaknya sedang menilai tiga klon durian hibrid baharu yang berpotensi diperkenal kepada umum dalam masa terdekat.

Beliau berkata, ketiga-tiga klon tersebut kini berada pada peringkat penilaian akhir bagi memastikan kualiti buah, boleh diterima pengguna serta kesesuaiannya untuk ditanam secara komersial oleh petani.

"Pokok-pokok telah matang dan sedang mengeluarkan hasil. Bagaimanapun, kita mahu memastikan bekalan dan buah mencukupi sebelum sesuatu klon itu diisytiharkan secara rasmi supaya orang ramai dapat merasai sendiri keistimewaannya," katanya pada program Media Tour DurioTourism MARDI di  MARDI Kuala Kangsar pada 5 Julai 2026.


Pelbagai jenis durian dihidangkan kepada petugas media di Mardi Kuala Kangsar.

Mohamad Zabawi berkata, ketika ini MARDI mempunyai tiga varieti premium yang menjadi kebanggaan institut itu, iaitu MS88 (dulunya MD88), MD78 dan MD79.

Namun begitu, katanya MS88 kekal sebagai varieti paling popular sejak diperkenalkan pada awal tahun 2000.

Beliau menegaskan, musim durian tahun ini menunjukkan pengeluaran yang banyak berbanding musim sebelumnya kerana keadaan cuaca dan sedikit hujan yang menggalakkan proses pembungaan dan pembentukan buah.

"Cuaca panas pada awal musim diikuti taburan hujan yang sesuai membantu meningkatkan hasil. Selain itu, pokok-pokok yang ditanam sekitar lima hingga enam tahun lalu kini mula mengeluarkan hasil dan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran," katanya.


Seorang petugas sedang memilih buah durian untuk petuas wartawan dan jurugambar pada program Media Tour DurioTourism MARDI di MARDI Kuala Kangsar.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zabawi berkata, bagi memperhebat tanaman durian, MARDI telah mengagihkan kira-kira 25,000 pokok MS88 kepada pengusaha di seluruh negara melibatkan kawasan tanaman sekitar 600 ekar sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Selain itu, MARDI membangunkan teknologi kriogenik yang mampu mengekalkan kesegaran durian sehingga enam bulan apabila disimpan pada suhu yang sesuai.

“Teknologi itu boleh dimanfaatkan oleh syarikat dan pemain industri bagi membolehkan durian dipasarkan ke destinasi termasuk pasaran eksport tanpa menjejaskan kualiti buah.

"Walaupun MARDI tidak terlibat secara langsung dalam pemasaran, namun kita menyediakan penyelesaian teknologi bagi membantu meningkatkan nilai tambah produk durian," katanya.

Mengulas mengenai pembangunan MARDI Kuala Kangsar, Mohamad Zabawi  berkata, beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan termasuk menaik taraf sistem pengairan, menggantikan pokok-pokok tua yang tidak lagi produktif serta mewujudkan pusat sehenti untuk mendidik penduduk mengenai lamam  pertanian.

“Pusat berkenaan akan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penanaman sayur-sayuran dan tanaman makanan di kawasan kediaman selain menjadi pusat rujukan teknologi pertanian,” ujarnya.


Mohamad Zabawi Abdul Ghani menunjukkan buah durian pada program Media Tour DurioTourism MARDI di MARDI Kuala Kangsar.

MARDI Kuala Kangsar mempunyai keluasan melebihi 100 hektar terus mengekalkan fokus terhadap pembangunan durian, dengan sebahagian besar kawasan ditanam pelbagai varieti durian selain beberapa tanaman buah-buahan lain seperti manggis.

Pusat agropelancongan di Kuala Kangsar ini turut dibuka kepada orang ramai terutama ketika musim durian bagi membolehkan pengunjung menikmati durian segar sambil mengenali teknologi dan penyelidikan yang dibangunkan oleh MARDI.

Sehubungan itu, orang ramai boleh mengunjungi MARDI Kuala Kangsar bagi pakej DurioTourism (pelancongan durian) dengan harga tiket masuk RM50 bagi dewasa dan RM70 dewasa (Bukan warganegara), Kanak-kanak 7-12 tahun (RM15) dan RM50 bagi Bukan Warganegara) manakala warga emas 60 tahun ke atas/OKU dengan RM35 dan RM50 bagi Bukan Warganegara. - KitaReporters

7
10
0
9
0

Copy Link: