PUSAT Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Majlis Kokurikulum Universiti-universiti Malaysia (UniCC) menganjurkan sesi webinar bertemakan "Memperkasa Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Kokurikulum Berkredit Dalam Talian pada 10 April 2021 lalu.

Pengarah Pusat Kokurikulum UUM Dr Mohamad Zaki Ahmad berkata program ini menampilkan pengarah daripada gabungan tiga universiti iaitu UUM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, program yang disiarkan secara langsung melalui media sosial Facebook itu mendapat tontonan lebih 28,000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) khususnya yang mengikuti pendidikan kokurikulum.


Lagi laporan-laporan menarik berkaitan UUM



Program ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UUM Prof Dato’ Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani secara online streaming melalui Facebook.

Dalam ucapan aluannya, beliau yakin semua pelajar IPT sedia maklum ancaman pandemik koronavirus Covid-19 yang melanda dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali untuk bersama-sama menghadapi cabaran ini.

"Kursus Kokurikulum Berkredit ini juga tidak terkecuali seperti subjek-subjek lain yang berhadapan dengan cabaran ini, sekali gus pendekatan untuk menyesuaikan kelas-kelas kokurikulum dengan kaedah pengendalian secara dalam talian perlu dijalankan agar pelajar tidak ketinggalan dalam subjek ini," ujar beliau lagi.



Sementara itu, menurut Dr Zaki, “mereka yang mengikuti program ini diberi pendedahan tentang kaedah dan pengetahuan tentang pengajaran dan pembelajaran secara maya (online) yang menjadi wadah kepada mereka untuk mengaplikasikan teknik-teknik dan kemahiran yang selama ini diperolehi secara bersemuka." 

Beliau menambah pengaplikasian P&P kokurikulum secara maya atau online ini memerlukan jurulatih dan pelajar bersama-sama berkongsi kemahiran dan pengetahuan melalui kreativiti dan berinteraksi secara dua hala untuk memantapkannya.

Program kali kedua yang dianjurkan oleh UniCC ini menampilkan konsep secara santai ilmu dengan slot  ‘live band music’ oleh kumpulan CoBandIt yang terdiri daripada gabungan staf UUM pelbagai jabatan dan pusat. 


Prof Madya Dr Nik Ab Halim Nilk Abdullah (kiri) selaku moderator bersama ahli-ahli panel.


Program yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Prof. Madya Dr Nik Ab Halim Nik Abdullah sebagai moderator berjaya membantu memudah cara perbincangan para panel melalui tiga slot yang membicarakan aspek yang berbeza tentang P&P Kokurikulum dalam talian sepanjang negara berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19 ini.

Pengarah Pusat Kokurikulum dari Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr Ahmad Fahmi Mahamood dalam program itu turut memaklumkan mengenai pelaksanaan dua kaedah iaitu synchronous melalui penggunaan WebEx dan GoogleMeet dalam penyampaian kuliah kokurikulum.

Aplikasi Telegram, WhatsApp dan  WeChat juga digunakan bagi membantu kaedah synchronous dalam kalangan pelajar UniMAP.


Prof Madya Dr Rahimi Che Amah (tengah) berkongsi P&P di USM.


Manakala Pengarah Pusat Kokurikulum USM Prof Madya Dr Rahimi Che Aman ketika bersiaran langsung turut berkongsi pemasalahan ketika berinteraksi dengan pelajar secara online antaranya capaian internet yang kurang baik semasa bencana alam seperti banjir turut memberikan impak terhadap keberkesanan P&P dalam norma baharu semasa pandemik Covid-19 ini.

Beliau turut berkongsi kejadian yang berlaku kepada seorang pelajar kokurikulum USM yang terpaksa menjalani kuliah secara dalam talian dalam keadaan rumah yang dinaiki dan dipenuhi air semasa banjir baru-baru ini.

Namun semua panel bersetuju elemen kreativiti antara pelajar dan jurulatih dalam meningkatkan pengajaran melalui online ini.


Dr Mohamad Zaki Ahmad (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Dr Ahmad Fahmi Mahamood.


Memandangkan kursus kokurikulum berkredit merupakan antara syarat wajib untuk bergraduasi di semua universiti awam negara, maka sebarang penangguhan sesi kursus kokurikulum yang berkenaan bakal memberikan kesan terhadap tempoh bergraduasi para pelajar IPTA.

Oleh itu bagi membantu kelancaran untuk para pelajar bergraduasi pada tempoh masa yang ditetapkan (GOT: Graduate On Time), pelaksanaan secara dalam talian bagi kursus kokurikulum berkredit ini wajar dijalankan tanpa sebarang penangguhan.

Ciri-ciri 10K iaitu kesediaan, kemampuan diri, kreativiti, kuat kerja, kerjasama, keyakinan, komitmen, ketinggian minat, keterbukaan dan keikhlasan yang digariskan oleh Dr Mohamad Zaki juga diharap dapat membantu pelajar yang untuk menghadapi cabaran P&P Kursus Kokurikulum Berkredit ini nanti. - KitaReporters


Kumpulan CoBandit gabungan staf UUM turut menghiburkan penonton dalam program itu.

3
0
0
0
0

Copy Link: