Cukup-cukuplah! Sebar rahmah, bukan kebencian! Umat sudah lama berpecah! - Mufti Wilayah Persekutuan
Published byDALAM dunia yang semakin bising dengan perdebatan politik, kecaman media sosial dan budaya menghukum, suara pendakwah seharusnya hadir sebagai penyejuk jiwa yang membawa manusia kembali kepada kasih sayang, keamanan dan adab.

Sebahagian dari 111 peserta Program Muzakarah Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan 2026 dan Klinik Suara Bergerak sempena Hari Suara Sedunia 2026.
Medan dakwah masa kini bukan lagi sekadar soal menyampaikan hukum hakam tetapi bagaimana ilmu itu dibawa dengan hikmah, kelembutan dan mampu menyatukan masyarakat yang semakin berpecah akibat perbalahan berpanjangan.
Pendakwah dan guru-guru agama perlu menyebarkan ilmu dengan mesej rahmah dan keamanan supaya umat Islam bersatu. Jangan jadikan pentas dakwah untuk membawa agenda politik sempit atau mengagung-agungkan parti tertentu.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil berkata, umat Islam masa kini memerlukan pendekatan dakwah yang menenangkan jiwa serta mampu merapatkan hubungan sesama masyarakat, bukannya ucapan yang mencetuskan permusuhan dan kebencian.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memelihara kesucian ajaran Islam daripada sebarang penyelewengan selain memastikan dakwah disampaikan selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Sebarkan ilmu dengan mesej rahmah dan keamanan supaya umat Islam bersatu. Jangan jadikan pentas dakwah untuk membawa agenda politik sempit atau mengagung-agungkan parti tertentu.
“Jabatan mufti tidak pernah menghalang sesiapa melakukan kerja-kerja dakwah selagi ia memberi manfaat kepada umat Islam, namun dakwah perlu berasaskan ilmu dan bukan sentimen politik.
"Umat Islam sudah lama berbalah dan bermusuhan sehingga berlaku perpecahan. Jadi, marilah kita mengajak masyarakat kepada kedamaian demi keharmonian ummah,” katanya pada Program Muzakarah Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan 2026 dan Klinik Suara Bergerak sempena Hari Suara Sedunia 2026 bertemakan “Memperkasakan Suara, Memartabatkan Budi” di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi Selangor.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali; Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof. Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim; dan Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Datuk’ Dr Marina Mat Baki.

Ahmad Fauwaz Fadzil
Program muzakarah itu wadah penting bagi memperkasa kapasiti pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan yang baharu supaya mereka memahami amanah besar ketika menyampaikan ilmu kepada masyarakat.
“Melalui platform ini, peserta didedahkan mengenai syarat, garis panduan serta peraturan yang perlu dipatuhi selain memperkukuhkan kefahaman terhadap tanggungjawab menyampaikan ilmu secara berhemah dan berdisiplin.
“Tauliah mengajar yang dilaksanakan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan adalah satu mekanisme tadbir urus penting bagi memastikan hanya individu berkelayakan, berautoriti dan berdisiplin dibenarkan menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat,” katanya.

Ahmad Fauwaz (kiri) menyampaikan sijil tauliah kepada seorang peserta Program Muzakarah Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan 2026 sambil diperhatikan oleh Dr. Bariah Mohd Ali dan Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Dalam pada itu, beliau berkata, kursus vokal dan suara melalui Klinik Suara Bergerak memberi nilai tambah kepada pendakwah dan guru agama dalam memperbaiki teknik penyampaian.
"Peserta dilatih menggunakan suara dengan teknik yang betul supaya penyampaian lebih berkesan, tersusun dan mampu menyentuh hati pendengar tanpa perlu menjerit atau menggunakan pendekatan kasar.
“Untuk membentuk masyarakat harmoni dan madani, dakwah perlu disampaikan dengan adab dan sopan santun. Cara kita bercakap juga mencerminkan akhlak Islam.
“Suara adalah anugerah Allah. Suara yang baik dan memikat mampu menyentuh jiwa manusia. Namun kemahiran itu perlu dipelajari dengan teknik yang betul dan boleh dilatih secara klinikal,” katanya.
Beliau berkata, dalam penyampaian ceramah atau khutbah, seseorang pendakwah tidak sepatutnya terus menggunakan nada tinggi sejak awal kerana pendekatan itu boleh menyebabkan pendengar cepat penat dan hilang fokus.
“Apabila membuka suara, jangan terus masuk ‘gear lima’. Gunakan intonasi secara beransur-ansur supaya pendengar lebih tertarik dan selesa mendengar.
“Walaupun menggunakan suara biasa, jika tahu teknik lantunan yang tepat, bila perlu perlahan dan bila perlu meninggikan suara, penyampaian itu akan menjadi lebih berkesan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan pendakwah supaya sentiasa berguru dan mendalami ilmu secara berterusan bagi mengelak budaya taksub terhadap kandungan media sosial.
Seseorang pendakwah usah berguru dengan ustaz TikTok tanpa memahami asas ilmu yang sebenar.
“Dalam berdakwah, kita perlu menggunakan fakta dan ilmu, bukan cerita rekaan semata-mata. Sebab itu guru agama dan pendakwah perlu banyak membaca kitab serta buku.
“Untuk menjadi pendakwah yang baik, saya sarankan mereka membaca sekurang-kurangnya 1,000 buku dalam pelbagai bidang, bukan agama semata-mata.
"Fahami realiti masyarakat semasa termasuk isu sosial dan kesihatan mental yang semakin membimbangkan," katanya.

Dr. Bariah Mohd Ali
Sementara itu, bagi Dr. Bariah, program itu adalah satu inisiatif yang baik bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan suara, khususnya dalam kalangan "occupational voice users" seperti pensyarah, guru agama, imam, bilal dan muazzin.
"Mereka memainkan peranan penting dalam penyampaian ilmu dan dakwah, justeru kesihatan suara perlu diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan mesej yang disampaikan kekal jelas dan berkesan.
"Melalui program ini, kita menggabungkan kepakaran akademik dan klinikal UKM dengan keperluan lapangan di kalangan guru-guru agama. Jika mereka menjaga suara dengan baik, ia mampu meningkatkan keberkesanan komunikasi serta memberi impak positif kepada masyarakat
"Saya difahamkan sejumlah besar peserta muzakarah menggunakan suara secara intensif dalam ceramah dan pengajaran. Justeru, kesedaran terhadap penjagaan suara adalah amat penting bagi memastikan kelangsungan fungsi dan kualiti penyampaian mereka," katanya.
Beliau berharap segala ilmu dan manfaat yang diperoleh sepanjang program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya peserta, serta menjadi pemangkin kepada amalan penjagaan suara yang lebih baik dalam kehidupan seharian dan kerjaya masing-masing.
"Saya yakin dengan usaha berterusan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam memperkukuh tadbir urus tauliah dan pembangunan asatizah, kualiti penyampaian dakwah di Wilayah Persekutuan akan terus berada pada tahap yang tinggi dan diyakini masyarakat," katanya. - KitaReporters

Peserta Program Muzakarah Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan 2026 dan Klinik Suara Bergerak sempena Hari Suara Sedunia 2026 dan tetamu VIP bergambar kenangan bersama Ahmad Fauwaz Fadzil.
