Kredit foto: Medici Global


OLEH: SITI FATIMAH ABDULLAH


Kebelakangan ini, Malaysia telah menunjukkan perkembangan rancak dalam penggunaan aplikasi teknologi kewangan (‘fintech’). Kehendak masyarakat terhadap pewujudan ‘fintech’ Islam adalah untuk memastikan masyarakat bebas daripada unsur-unsur yang diharamkan oleh syarak seperti riba.

Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim dalam Syarahan Pengukuhan Profesor “Kedinamikan Syariah, FinTech Islam dan Rangkuman Kewangan melalui E-Dompet" berkata, sememangnya 'fintech' menjadi faktor peningkatan rangkuman kewangan dalam kalangan masyarakat awam. 

Namun, menurutnya, beliau yakin kedinamikan syariah mampu memberi solusi patuh syariah kepada 'fintech' Islam yang dapat dilihat pada ciri-ciri yang ada melalui beberapa konsep, mampu memberi solusi yang bernas kepada 'fintech' dan rangkuman kewangan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan fintech

Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim menyampaikan Syarahan Pengukuhan Profesor “Kedinamikan Syariah, FinTech Islam dan Rangkuman Kewangan melalui E-Dompet" di UUM, Sintok, Kedah pada 26 Oktober 2021. - Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie


Beliau juga menekankan bagaimana e-dompet mula menjadi pilihan pengguna terutama setelah tercetusnya pandemik Covid-19 sehingga semakin meluas penggunaannya yang menawarkan banyak kemudahan dan manfaat kepada pengguna

Namun timbul persoalan, bagaimana kedudukan kewangan kita dalam e-dompet? Adakah ia diurus secara syariah kerana dibimbangi terlibat dengan riba.

Prof. Dr. Asmadi berkata, e-dompet merupakan pemudah cara kepada sesuatu transaksi. 

Kajian mendapati transaksi dalam aplikasi e-dompet tidaklah sampai ke tahap tercipta akad baharu, bagaimanapun ia boleh dikembangkan penafsiran beberapa akad contohnya praktis wakalah yang ada dalam definisi fiqh kepada definisi yang lebih luas.


Kredit foto: ifnfintech.com


Katanya, struktur e-dompet patuh syariah boleh diaplikasikan menerusi konsep ‘wakalah bil ajr’ yang merupakan ejen yang berupah.  

“Dari aspek hubungan antara operator dengan pengguna yang mana pengguna menyimpan dana dalam e-dompet bagi tujuan pembelian barangan atau perkhidmatan. Dari situ, operator berhak ke atas keuntungan sebagai upah ejen dan sebagai ejen pula, operator wajib melakukan transaksi jual beli (bagi pihak pengguna) dan menguruskan dana secara patuh syariah. 

“Manakala dari aspek hubungan operator dengan pedagang pula, operator menawarkan perkhidmatan aplikasi kepada pedagang di bawah konsep ujrah al-khadamat (upah bagi perkhidmatan). 

"Operator akan mengenakan upah sebanyak peratusan yang dipersetujui antara operator dan pedagang. Cuma untuk menjadi patuh syariah mereka hanya boleh memasarkan barangan patuh syariah, itu cabaran terbesar,” katanya yang turut menekankan bahawa ‘maqasid al-syariah’ merupakan satu wacana yang lebih luas. 


Pengerusi Majlis Profesor UUM (MPUUM), Prof. Ts. Dr. Suhaidi Hassan (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim (kiri)


Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) turut menerangkan tentang model-model 'supermarket' maya dan pengendali e-dompet melalui pembentangan model-model, turutan transaksi, aliran wang, isu-isu syariah dan cadangan struktur patuh syariah.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Profesor UUM (MPUUM), Prof. Ts. Dr. Suhaidi Hassan dan Timbalan Pengerusi, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim. - KitaReporters


13
16
0
8
0

Copy Link: