RM13,000 untuk anak rumah bakti! Jualan kuih raya! Edisi eksklusif Anchor Butter x Bella Astillah!
Published bySempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Anchor Butter telah bekerjasama dengan selebriti terkenal tanah air, Bella Astillah, dalam satu inisiatif khas jualan kuih raya secara langsung dalam platform TikTok.
Bella Astillah (depan, tengah) bersama sebahagian daripada anak-anak Rumah Bakti Dato’ Harun di Ampang, Selangor ketika mengadakan lawatan khas bagi menyampaikan sumbangan sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan raya oleh Anchor Butter
Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila kesemua kotak kuih raya edisi eksklusif Anchor x Bella Astillah yang ditawarkan habis terjual dalam tempoh kurang daripada lima minit, sekali gus menjana jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM13,000 dalam satu sesi siaran langsung sahaja.
Bersempena bulan Ramadan dan Syawal yang menekankan nilai kesyukuran serta keprihatinan terhadap sesama insan, keseluruhan hasil jualan ini akan disalurkan kepada Rumah Bakti Dato’ Harun di Ampang, sebuah rumah kebajikan yang menyediakan perlindungan, penjagaan dan pendidikan kepada kanak-kanak yang memerlukan.
Melalui inisiatif ini, setiap pembelian bukan sekadar memberi peluang menikmati kuih raya yang dihasilkan menggunakan mentega Anchor yang terkenal dengan aroma yang kaya dan menyelerakan, malah turut menyumbang kepada usaha membawa kegembiraan Aidilfitri kepada anak-anak di Rumah Bakti Dato’ Harun, yang dikendalikan oleh Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Yatim Selangor (PPAYS).
Seperti mana mentega Anchor sering menjadi antara ramuan pilihan di dapur rumah, khususnya ketika musim perayaan, kempen ini mencerminkan semangat berkongsi dengan menjadikan setiap pembelian satu bentuk sumbangan kepada komuniti yang memerlukan.

Dari kiri: Zainun Sahlan, Pengurus Rumah Bakti Dato’ Harun; Mohd Zahar Abdul Samad, Setiausaha Kehormat Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Yatim Selangor (PPAYS) ang mengendalikan Rumah Bakti Dato’ Harun); dan Bella Astillah.
Sepanjang sesi interaktif tersebut, Bella Astillah berinteraksi secara langsung dengan para peminat sambil memperkenal dan mempromosikan kuih raya yang dihasilkan menggunakan mentega tulen Anchor.
Penonton juga berpeluang membuat pembelian kotak kuih raya edisi terhad secara masa nyata.
Inisiatif ini menjadikan sesi berkenaan bukan sekadar platform jualan, malah satu wadah yang menyatukan kemeriahan perayaan, keterlibatan digital dan sumbangan kebajikan dalam satu pengalaman yang lebih bermakna.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Anchor Butter dalam menyokong masyarakat di samping mendekati isi rumah Malaysia melalui pendekatan yang tulen dan relevan.
Dengan memanfaatkan keupayaan TikTok Live serta trend perdagangan sosial, kempen ini membuktikan bahawa mana-mana jenama dan personaliti boleh berganding bahu untuk menghasilkan impak positif yang melangkaui matlamat komersial semata-mata.
Lim Siew Poh, Pengarah Pemasaran Anchor Butter, berkata, “hari raya merupakan waktu untuk bermuhasabah, mensyukuri nikmat dan berkongsi rezeki.
"Kami amat menghargai sokongan luar biasa yang ditunjukkan sepanjang sesi TikTok Live tersebut. Kerjasama bersama Bella Astillah memberi ruang untuk kami meraikan musim perayaan ini sambil menyumbang kepada satu tujuan yang bermakna demi membantu golongan yang memerlukan.”

Bella Astillah turut berkongsi, “pengalaman berinteraksi dengan peminat secara langsung, lebih-lebih lagi dalam suasana menjelang hari raya, amat istimewa bagi saya.
"Mengetahui bahawa setiap pembelian menyumbang terus kepada Rumah Bakti Dato’ Harun menjadikan sesi ini lebih bermakna. Saya berterima kasih kepada semua yang bersama-sama menyokong inisiatif ini.” - KitaReporters/Kenyataan Media
