Syabas Foodpanda! Hantar makanan Menu Rahmah! Juga tawar barangan runcit pada harga Pakej Rahmah!

Published by
Berita Menarik Berita Komuniti


Foodpanda berganding bahu dengan rakan kongsi restoran dalam usaha menawarkan item Menu Rahmah mereka untuk dihantar kepada pelanggan dan usaha ini menjadikan ia sebagai satu-satunya platform penghantaran makanan yang menawarkan perkhidmatan ini di Malaysia. 

Demi menyokong inisiatif Kerajaan untuk meringankan beban ekonomi dan kos sara hidup rakyat Malaysia, Foodpanda memainkan peranannya bagi memastikan pelanggan boleh memesan set hidangan makan tengah hari atau makan malam Menu Rahmah dari aplikasi dan laman sesawangnya pada harga mampu milik iaitu RM5 atau kurang. 



Semasa pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Foodpanda di ibu pejabat korporatnya di Bangsar South, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memuji komitmen Foodpanda untuk meluaskan capaian Menu Rahmah kepada lebih ramai rakyat Malaysia. 

“Usaha kami dalam menjadikan Menu Rahmah lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia dari segenap lapisan dan peringkat pendapatan tidak akan berjaya tanpa penyertaan sukarela pengendali restoran dalam sektor swasta. 

"Ia adalah sesuatu yang amat menggembirakan apabila melihat platform penghantaran makanan seperti Foodpanda turut memainkan peranan mereka untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada makanan pada harga berpatutan,” kata beliau pada majlis pelancaran pada 16 Mei 2023. 



Sebagai salah satu platform penghantaran makanan terkemuka dengan jutaan pelanggan, Foodpanda Malaysia komited untuk memastikan pelanggannya boleh memesan pelbagai penawaran Menu Rahmah tidak kira di mana mereka berada dengan hanya beberapa klik menerusi aplikasi Foodpanda, kata Ketua Pegawai Eksekutif Foodpanda Malaysia, Sayantan Das. 

“Kami berbesar hati kerana mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada beberapa vendor kami untuk meluaskan lagi capaian item Menu Rahmah mereka, dan pada masa sama, memainkan peranan kami dalam usaha meringankan beban rakyat Malaysia setiap hari,” ujar beliau lagi. 

Turut bersama-sama menjayakan inisiatif ini dengan Foodpanda ialah OldTown White Cofee, Texas Chicken, Lim Fried Chicken dan Daporlah serta 16 jenama restoran yang lain. 

Selain daripada menghantar item Menu Rahmah, Pandamart - kedai runcit Foodpanda yang menawarkan pengguna kemudahan penghantaran barangan runcit terus ke pintu rumah - akan menyertai inisiatif Pakej Rahmah dengan menawarkan barangan runcit pakej barangan runcit pada harga mampu milik dengan penjimatan ekstra untuk masa terhad. 



Pakej Rahmah Pandamart menawarkan dua pakej barangan runcit pada harga RM50 dan RM30, dengan penjimatan sehingga 25% untuk para pembeli yang ingin mendapatkan tawaran terbaik semasa membeli-belah untuk barangan keperluan harian mereka. 

Foodpanda melancarkan Pakej Rahmah ini sebelum tempoh perayaan Hari Raya Aidilftri bagi membantu rakyat Malaysia membuat persiapan bagi sambutan itu, kata Sayantan. 

“Kami juga percaya bahawa inisiatif ini akan turut memberi manfaat kepada rangkaian rakan penghantaran kami yang meluas kerana kami menjangkakan bahawa jumlah pesanan akan terus meningkat sekali gus meningkatkan lagi pendapatan mereka. 

“Kami ingin meyakinkan rider kami bahawa struktur pembayaran akan tetap sama tidak kira sama ada mereka menghantar item Menu Rahmah atau sebaliknya, dan pendapatan mereka bagi setiap perjalanan tidak akan dikurangkan untuk inisiatif ini. Itulah komitmen kami kepada mereka,” jelas Sayantan. 

Pada masa sama, Foodpanda Malaysia turut menyumbangkan 300 pek bungkusan Bakul Rahmah yang keseluruhannya bernilai RM15,000. 

Bungkusan ini akan diserahkan kepada Yayasan Rahmah Malaysia, rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan akan diagihkan kepada mereka yang kurang bernasib baik. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
13
0
14
0

Copy Link: