Tak terlibat! ZPP MAINPP nafi penyelewengan dana zakat! Tak lantik ejen, orang tengah kutip zakat!

Published by
KitaReporters

Zakat Pulau Pinang (ZPP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memandang serius serta tidak berkompromi terhadap sebarang dakwaan dan penyebaran maklumat yang mengaitkan institusi zakat negeri ini dengan isu penyelewengan dana zakat yang sedang tular.


Bangunan Zakat Pulau Pinang (ZPP) MAINPP di Bandar Perda, Seberang Perai Tengah.

ZPP MAINPP dengan ini menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam isu tersebut. Individu atau pihak yang dikaitkan adalah bukan wakil, ejen, rakan strategik mahupun penerima kuasa yang dilantik oleh ZPP MAINPP dalam apa jua kapasiti.

Sebarang cubaan mengaitkan ZPP MAINPP dengan pihak berkenaan adalah tidak berasas, mengelirukan serta berpotensi menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP MAINPP Mohamad Kairi Ghazalli berkata, ZPP MAINPP tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang tengah bagi tujuan kutipan zakat.

Beliau berkata, ZPP MAINPP hanya melantik Wakil Kutipan yang sah dan diiktiraf mengikut dasar serta prosedur yang telah ditetapkan.

“Untuk makluman, ZPP MAINPP mempunyai dasar yang jelas berkaitan pelantikan Wakil Kutipan bagi mewakili institusi ini dalam melaksanakan kutipan zakat di negeri Pulau Pinang.

“Antara syarat utama yang ditetapkan ialah entiti berkenaan mestilah beroperasi di negeri Pulau Pinang serta berdaftar dengan pihak berkuasa berkaitan.

“Setiap permohonan pelantikan akan melalui proses saringan dan penilaian yang teliti, melibatkan peringkat pengurusan sebelum dibentangkan kepada Lembaga Pengarah, dan seterusnya dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk kelulusan. 

"Kuasa pelantikan adalah tertakluk sepenuhnya di bawah MAINPP,” katanya dalam kenyataan media pada 24 April 2026.


Salah sebuah pusat kutipan zakat di Pulau Pinang

Mohamad Kairi berkata, tempoh pelantikan Wakil Kutipan adalah selama dua tahun dan sepanjang tempoh tersebut mereka diwajibkan untuk mengemukakan laporan prestasi secara berkala serta tertakluk kepada pemantauan berterusan, termasuk audit dalaman bagi memastikan pematuhan kepada garis panduan yang ditetapkan serta mengelakkan sebarang ketirisan.

Beliau berkata, ZPP MAINPP juga berhak untuk menilai semula, menyambung atau menamatkan pelantikan mana-mana Wakil Kutipan berdasarkan prestasi dan tahap pematuhan.

Sehubungan itu, ZPP MAINPP ingin menegaskan bahawa pengurusan zakat di negeri ini dilaksanakan di bawah tadbir urus yang ketat, merangkumi pemantauan dalaman, semakan berkala serta mekanisme audit berlapis bagi memastikan setiap dana diurus secara telus, berintegriti dan mematuhi kehendak Syariah.

Justeru itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berurusan hanya dengan saluran rasmi ZPP MAINPP dan tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang mengaku mewakili institusi ini tanpa pengesahan. - KitaReporters

15
6
0
14
0

Copy Link: