Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) kini membuka pejabat cawangan yang pertama di Sabah. Pejabat baharu itu telah dirasmikan oleh Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Pembukaan pejabat cawangan yang dikenali sebagai Kampus INSKEN Sabah ini adalah satu usaha untuk menarik lebih ramai usahawan menyertai program latihan dan bimbingan anjuran INSKEN. 

Tambahan pula, INSKEN turut memandang kepentingan untuk tidak mengetepikan usahawan di Sabah yang harus dibantu sama seperti usahawan di Semenanjung Malaysia.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin, usahawan Sabah sentiasa memberi sokongan padu kepada INSKEN. 

Ini merupakan langkah yang tepat agar usahawan Sabah mendapat akses lebih mudah dan cepat untuk bertemu, berkomunikasi serta mendapatkan bantuan latihan dan bimbingan daripada INSKEN.

Selain ruang pejabat, ia juga dilengkapi dengan bilik latihan yang boleh memuatkan 30 peserta bagi setiap program.

Tambahan pula, INSKEN turut berhasrat ingin memudahkan usahawan di Sabah yang tidak mempunyai kelengkapan IT dengan menyediakan ruangan kerja berserta komputer dan mesin pencetak untuk digunakan.

Kampus INSKEN Sabah beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. 

Selain secara dalam talian, usahawan di Sabah juga digalakkan untuk ke Kampus INSKEN Sabah yang terletak di Lot 10, Wisma IDS, Penampang, Sabah untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program latihan dan bimbingan anjuran INSKEN.​

Majlis perasmian yang diadakan pada 30 Mei 2023 lalu turut dihadiri Senator Saraswathy Kandasmi, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Dato’ Seri Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Objektif majlis ini diadakan adalah untuk memberi hebahan kepada seluruh masyarakat di Sabah khususnya usahawan tentang pembukaan pejabat cawangan INSKEN di negeri di bawah bayu. 

Sebarang maklumat lanjut, usahawan boleh hubungi Kampus INSKEN Sabah melalui talian 088-738445. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
15
0
11
0

Copy Link: