Benteng makanan di tengah badai! Dari Fujairah ke KL! Keterjaminan makanan dalam bayang perang Iran!
Published byKetika matahari terbenam di pesisir Fujairah, berdekatan Laut Arab, langitnya memerah jingga dan lautnya beralun tenang seolah-olah dunia tidak pernah bergolak. Namun di balik keindahan itu, berdiri deretan silo gandum setinggi bangunan tujuh tingkat yang diam, kukuh, dan sarat dengan makna.

Di
hadapan binaan itulah saya pernah berdiri, merenung bukan sekadar struktur
konkrit, tetapi sebuah falsafah: Keselamatan makanan adalah benteng
terakhir maruah sesebuah negara.
Saya
pernah bermastautin di Emiriah Arab Bersatu (UAE) hampir dua dekad. Pengalaman itu
membuka ruang untuk saya melihat dari dekat bagaimana negara padang pasir
mengurus sesuatu yang tidak mereka miliki secara semula jadi iaitu makanan.
Di Fujairah, saya berkesempatan berbual panjang dengan pengarah fasiliti simpanan makanan.
Perbualan kami tidak sekadar berkisar tentang gandum atau logistik, tetapi tentang kebimbangan yang sentiasa wujud dalam fikiran mereka: Bagaimana memastikan rakyat tidak lapar apabila dunia di luar menjadi tidak menentu.
Beliau
menjelaskan bahawa UAE tidak pernah menyerahkan nasib kepada kebetulan.
Segala-galanya dirancang daripada sumber import yang pelbagai, laluan
penghantaran yang alternatif, hingga kepada stok simpanan yang mampu menampung
keperluan selama berbulan-bulan.
Di bawah penyelarasan UAE Food Security Office (Pejabat Keterjaminan Makanan UAE) dan Ministry of Climate Change and Environment (Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar), setiap butir gandum yang masuk direkod, setiap gudang dipantau, setiap risiko dianalisis.

Saya masih ingat saat melangkah masuk ke dalam fasiliti itu. Udara dingin menyapa, kontras dengan bahang gurun di luar. Di situ tersimpan ratusan ribu tan gandum dan bahan makanan ruji cukup untuk menjadi penampan jika berlaku gangguan global.
Bagi UAE, makanan bukan sekadar komoditi. Ia adalah keselamatan nasional.
Lebih menarik, Fujairah dipilih bukan tanpa sebab. Kedudukannya di Laut Arab, yang membuka laluan ke Lautan Hindi, menjadikannya tidak bergantung sepenuhnya kepada Selat Hormuz, laluan sempit yang sering menjadi titik panas geopolitik dunia.
Dalam bahasa mudah, jika Hormuz terganggu, Fujairah masih boleh bernafas.
Namun,
hari ini kita sedang menyaksikan satu realiti yang jauh lebih mencabar.
Ketegangan melibatkan Iran bukan lagi
sekadar retorik diplomatik. Gangguan terhadap laluan kapal, ancaman terhadap
pelabuhan, dan ketidaktentuan harga minyak telah mula memberi kesan kepada
sistem makanan global.
Dalam dunia yang saling bergantung, sebarang percikan konflik di Timur Tengah boleh menjalar hingga ke meja makan di negara yang jauh beribu kilometer.

Di sinilah perbandingan dengan Malaysia menjadi penting. Malaysia tidak mempunyai silo sebesar Fujairah, tidak juga memiliki kekuatan kewangan seperti UAE untuk membeli makanan dari seluruh dunia tanpa banyak soal.
Namun Malaysia mempunyai sesuatu yang tidak dimiliki oleh negara padang pasir dan tanah yang subur, hujan yang mencukupi, dan keupayaan untuk menghasilkan sebahagian makanannya sendiri.
Di negara ini, sawah padi masih terbentang, nelayan masih turun ke laut, dan penternak masih membekalkan ayam serta ikan kepada rakyat.
Walaupun kita masih mengimport sebahagian makanan terutama beras, daging dan bahan makanan ternakan, Malaysia tidak sepenuhnya terikat kepada rantaian bekalan global.
Jika konflik Iran terus memuncak dan menjejaskan laluan perdagangan dunia, kesannya terhadap kedua-dua negara akan berbeza.
UAE mungkin mampu bertahan dalam jangka pendek kerana simpanan strategiknya. Namun dalam jangka panjang, kebergantungan hampir sepenuhnya kepada import menjadikannya terdedah.
Apabila kapal tidak dapat berlabuh, apabila laluan terganggu, apabila harga melambung tinggi stok yang ada hanya mampu menangguhkan krisis, bukan menghapuskannya.
Malaysia
pula akan merasai tekanan secara berbeza. Kita mungkin tidak berhadapan dengan
kekurangan makanan secara mendadak, tetapi akan berdepan kenaikan harga yang
perlahan tetapi berterusan.
Kos
baja meningkat, harga makanan ternakan naik, dan akhirnya pengguna menanggung
beban di pasar dan di dapur. Krisis kita bukan ketiadaan makanan, tetapi
kemampuan untuk membelinya.
Dalam erti kata lain, UAE menghadapi risiko “tiada bekalan”, manakala Malaysia berdepan risiko “bekalan mahal”.

Namun, sejarah mengajar bahawa krisis sering membuka ruang untuk perubahan. Perang, walau sesukar mana, memaksa negara menilai semula keutamaan mereka.
Bagi Malaysia, inilah masanya untuk memperkukuh sektor pertanian, mengurangkan kebergantungan kepada import, dan menjadikan food security (keterjaminan mananan) sebagai agenda nasional yang lebih serius bukan sekadar slogan dasar.
Saya
teringat kembali wajah pengarah fasiliti di Fujairah itu. Nada suaranya tenang,
tetapi penuh kesedaran bahawa dunia tidak pernah stabil. “Kami tidak boleh
menunggu krisis berlaku,” katanya perlahan, “kami mesti bersedia sebelum ia
datang.”
Kata-kata itu kini terasa lebih berat. Dunia hari ini bukan lagi dunia yang sama seperti dua dekad lalu. Rantaian bekalan semakin rapuh, konflik semakin kompleks, dan perubahan iklim semakin tidak menentu.
Dalam keadaan ini, makanan bukan lagi isu pinggiran. Ia adalah nadi kelangsungan negara.

Dari Fujairah hingga ke Kuala Lumpur, saya melihat dua pendekatan yang berbeza tetapi saling melengkapi. Satu bergantung kepada kekuatan kewangan dan logistik, satu lagi bersandar pada sumber alam dan keupayaan tempatan.
Namun dalam dunia yang semakin tidak pasti, kedua-duanya memerlukan satu perkara yang sama, kesiapsiagaan. Akhirnya, persoalannya bukan lagi siapa lebih kuat, tetapi siapa lebih bersedia.
Dan dalam bayang perang Iran yang semakin panjang, jawapan itu mungkin menentukan sama ada rakyat kita hanya berdepan harga mahal atau sesuatu yang jauh lebih membimbangkan. - KitaReporters
