Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 sebagaimana diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. 

Malah, kalau boleh, mahu penguatkuasaan Akta ini dipercepat lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan iaitu 1 Jun 2026.



Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Mohd Khair Ngadiron berkata, langkah ini merupakan satu reformasi penting dalam memperkukuh kerangka perlindungan pengguna khususnya dalam sektor kredit pengguna di Malaysia.

"MPPN berpandangan bahawa pindaan ini merupakan reformasi signifikan yang akan memberikan manfaat kepada pengguna melalui pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan Peraturan 78 (Rule of 78) serta penggantian kepada kadar faedah efektif (Effective Interest Rate) dan Kaedah Pengurangan Baki (Reducing Balance Method). 

"Pendekatan baharu ini akan memastikan pengiraan faedah yang lebih telus, adil dan mencerminkan baki pinjaman sebenar, khususnya bagi pengguna yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman," jelas beliau.

Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang bertujuan menterjemahkan prinsip keadilan kredit pengguna dan pemodenan dalam konteks perjanjian sewa beli akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026, iaitu empat bulan selepas diwartakan pada 30 Januari 2026.

Bagaimanapun, tempoh peralihan boleh diberikan kepada penyedia-penyedia sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses selaras dengan keperluan baharu, kata Armizan pada sidang media pada 16 Mac 2026 sempena Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026.

Mohd Khair Ngadiron


Mohd Khair memberitahu, MPPN turut menyokong usaha pemodenan urusan perjanjian sewa beli melalui penggunaan teknologi seperti tandatangan digital dan tandatangan elektronik, yang dijangka meningkatkan kecekapan proses perjanjian serta mengurangkan risiko penipuan melalui proses pengesahan identiti peminjam.

"MPPN juga berpandangan bahawa sekiranya keadaan industri mengizinkan, penguatkuasaan Akta ini lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan adalah wajar dipertimbang bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat reformasi ini dengan lebih segera, khususnya dari segi ketelusan pengiraan faedah dan keadilan dalam penyelesaian awal pinjaman," katanya.

Pada masa yang sama, tambah beliau, MPPN mengambil maklum bahawa tempoh peralihan diberikan kepada pihak industri bagi membolehkan mereka menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses operasi selaras dengan keperluan baharu yang diperkenal.



Sementara itu, menurut Mohd Khair, MPPN mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri berkaitan perkembangan konflik di Timur Tengah yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran. 

Beliau berkata, ketidaktentuan geopolitik ini berpotensi memberi tekanan kepada harga komoditi global, rantaian bekalan serta kos sara hidup yang akhirnya memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pengguna. 

"Sehubungan itu, MPPN menegaskan kepentingan pemantauan harga dan amalan perniagaan yang beretika, di samping menyeru pengguna untuk tampil sebagai pengguna yang bijak, peka terhadap hak mereka serta berhemah dalam membuat keputusan perbelanjaan.

"Selaras dengan tema Hari Pengguna Kebangsaan 2026, “Suara Kita, Kuasa Kita”, MPPN menyeru semua pengguna untuk terus meningkatkan kesedaran terhadap hak-hak mereka sebagai pengguna serta memainkan peranan aktif dalam memperkukuh budaya kepenggunaan yang bertanggungjawab dan beretika," tegasnya.



Katanya, MPPN komited untuk terus memainkan peranan sebagai badan penasihat kepada Kerajaan dalam memperkukuh dasar dan perundangan berkaitan kepenggunaan demi memastikan hak dan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara. - KitaReporters/Kenyataan Media

7
8
0
18
0

Copy Link: