Mula-mula sebagai hobi! Kini bawa pulangan lumayan! Usaha ternak arnab untuk daging di Banggol Pasir!

Published by
KitaReporters

Bermula dengan membela beberapa ekor arnab sebagai hobi, usaha suka-suka itu kini telah membawa hasil lumayan apabila mendapati permintaan terhadap daging arnab menjadi kegemaran orang ramai.


Sebahagian arnab dikurung dalam sangkar besi untuk tujuan pembiakan

Justeru itu, seorang penternak Mohd Zaki Ismail, 57, gigih mengusahakan ternakan arnab di Kampung Banggol Pasir, dekat Changkat Jering  sejak empat tahun lalu.

"Saya mula dengan main-main membela arnab sebagai hobi dan bila mendapati arnab membiak dengan cepat saya melihat ia boleh mendatangkan hasil. 

"Jadi saya membuat sangkar dan membeli induk arnab untuk dijadikan secara komersial.

"Saya kini mempunyai 70 hingga 80 ekor arnab pedaging," katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Pasir dekat Changkat Jering, Perak pada 22 April 2026.

Bapa kepada tujuh cahaya mata, memproses sendiri makanan arnab dengan menggunakan sekam padi, jagung, kulit gandum dan rumput. 


Mohd Zaki Ismail menunjukkan sekor anak arnab yang diternak di Kampung Banggol Pasir, dekat Changkat Jering.

Menurut beliau, makanan binatang mahal di pasaran dan kerana itu beliau membuat sendiri makanan dengan kos memberikan makanan arnab di antara RM500 hingga RM600 sebulan.

"Saya memberikan makanan arnab sehari dua kali sahaja. Arnab makan kuat dan kerana itu saya mengambil inisiatif memproses sendiri makanan setelah mendapat bantuan mesin untuk memproses makanan daripada Ahli Parlimen Bukit Gantang," katanya.

"Saya menjual daging arnab dengan harga RM38 sekilogram," katanya.

Mohd Zaki berkata, dalam sebulan, induk arnab boleh melahirkan di antara 200 hingga 300 ekor anak. 

"Arnab matang dalam tempoh tiga bulan sudah boleh dijual.

"Saya ada pembeli tetap yang ditempah untuk dijadikan makanan seperti membuat sate," katanya.


Mohd Zaki Ismail menunjukkan makanan palet yang dibuat sendiri untuk dijadikan makanan arnab.

Beliau berkata, permintaan terhadap daging arnab amat banyak tetapi saya tidak mampu untuk memenuhi permintaaan kerana kekurangan kandang untuk menempatkan arnab.

"Kalau ada banyak kandang bolehlah kita penuhi permintaan terhadap penggemar daging arnab," katanya.

Sesiapa yang berminat dengan daging aranab boleh menghubungi beliau di talian telefon 013-5944126. - KitaReporters


Sebahagian anak arnab  yang diternak dalam kandang.

19
7
1
6
1

Copy Link: