Catatan Akademik| Cabaran konflik Timur Tengah! Pelajar perlu berdisiplin! Universiti kena proaktif!
Published byOleh DR SITI NURAIN MUHMAD
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Pada kala umat Islam di Malaysia sedang bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana penuh kesyukuran dan kebersamaan, dunia luar terus bergolak dengan konflik geopolitik yang melibatkan Amerika Syarikat, Iran dan Israel yang semakin memuncak.


Walaupun kemeriahan Aidilfitri diraikan dengan tradisi kunjung-mengunjung dan perkongsian rezeki, realitinya krisis di Timur Tengah (Asia Barat) memberi kesan tidak langsung kepada rakyat Malaysia, khususnya warga universiti yang mula merasai tekanan peningkatan kos sara hidup.
Konflik berlarutan ini telah mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global. Gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz yang merupakan nadi utama penghantaran minyak dunia telah menyebabkan harga minyak melonjak.
Dalam ekonomi global yang saling bergantung, peningkatan kos tenaga ini tidak dapat dielakkan daripada memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan global termasuk Malaysia.
Kenaikan harga bahan api secara langsung mendorong peningkatan kos pengangkutan, harga makanan dan utiliti.
Mahasiswa di university juga turut menerima kesan kenaikan kos ini seperti pengangkutan, makanan serta perbelanjaan harian semakin menekan.
Dalam situasi tertentu, pelajar terpaksa mengorbankan keperluan lain demi menampung kos asas.
Tekanan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesejahteraan kewangan, malah berpotensi menjejaskan fokus akademik dan kesihatan mental mereka.
Jika keadaan ini berlarutan, institusi pengajian tinggi juga berdepan cabaran peningkatan kos operasi dalam usaha menawarkan kemudahan kampus serta perkhidmatan pendidikan yang berkualiti.

Justeru, kesiapsiagaan menjadi elemen penting dalam mendepani ketidaktentuan ini.
Dalam konteks ini, mahasiswa perlu lebih berdisiplin dalam mengamalkan langkah penjimatan dan pengurusan kewangan yang berhemah. Perbelanjaan harian perlu dirancang dengan teliti melalui penyediaan bajet bulanan yang realistik selain mengutamakan keperluan berbanding kehendak.
Amalan berjimat cermat seperti penyediaaan makanan dari rumah sewa, berkongsi kenderaan serta memanfaatkan kemudahan kampus secara optimum boleh membantu mengurangkan beban kos.
Pada masa yang sama, pelajar disaran membina tabung simpanan kecemasan walaupun dalam jumlah kecil sebagai langkah perlindungan menghadapi situasi luar dijangka.
Selain itu, mahasiswa juga perlu lebih berhati-hati dalam membuat komitmen kewangan. Penggunaan kemudahan kredit, pinjaman atau pembelian secara ansuran perlu diteliti agar tidak membawa kepada beban hutang yang berpanjangan.
Sikap berbelanja secara impulsif, khususnya bagi barangan tidak keperluan, wajar dielakkan dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini.
Pada masa yang sama, universiti perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan menyediakan sokongan menyeluruh kepada pelajar. Ini termasuk bantuan kewangan bersasar, inisiatif kebajikan seperti program makanan terpilih serta peluang menjana pendapatan melalui keusahawanan dan ekonomi gig.
Institusi pendidikan juga perlu meneroka pendekatan mampan seperti penggunaan sumber tempatan dan tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kebergantungan kepada faktor luaran yang tidak menentu.

Akhirnya, konflik yang berlaku ribuan kilometer dari negara ini membuktikan bahawa dunia hari ini saling berkait rapat. Apa yang berlaku di Timur Tengah mampu memberi kesan hingga ke bilik kuliah dan kehidupan mahasiswa di Malaysia.
Dalam konteks ini, universiti bukan sekadar pusat penyampaian ilmu, tetapi harus berperanan sebagai benteng daya tahan yang membentuk generasi yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berdaya tahan, adaptif dan bersedia menghadapi cabaran global yang semakin mencabar.
Dr Siti Nurain Muhmad ialah Ketua Program Sarjana Muda Kewangan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Artikel ini adalah pandangan penulis.

