Apabila ditanya hotel mana paling besar di dunia dan di mana, pasti ramai yang menyangka ia berada di negara maju seperti negara Eropah, Amerika Syarikat, Jepun atau di Emeriyah Arab Bersatu (UAE).

Masyarakat Malaysia harus bangga kerana hotel yang dimaksudkan berada di Malaysia. Dikenali sebagai First World Hotel & Plaza di puncak Genting.




Ia bukanlah hotel yang paling mengagumkan di dunia. Tetapi ia yang berada di kawasan pelancongan di Genting Highlands, Pahang mencipta rekod mempunyai bilik paling banyak iaitu 7,351 buah.

Apabila dirasmikan pada tahun 2006 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, First World Hotel & Plaza mempunyai ‘hanya’ 6,118 bilik.

Dan ia kehilangan gelaran 'hotel terbesar di dunia' dua tahun kemudian apabila Hotel Venetian di Las Vegas, Amerika Syarikat berkembang kepada 7,128 bilik.  

Bagaimanapun, dengan pembinaan menara kedua, resort Malaysia ini kembali  mendapat semula gelarannya pada 2015 dan kekal hingga kini, menurut portal Oddity Central.

Dibina oleh Kumpulan Genting, hotel terbesar di dunia ini terletak kira-kira 50 kilometer ke utara ibu negara Kuala Lumpur.

Genting Highlands ialah hab hiburan utama, yang menyaksikan ramai pelancong dalam dan luar negara berkunjung.

Walaupun mempunyai saingan sengit, namun First World Hotel & Plaza mengekalkan kadar penghunian yang tinggi hingga 90 peratus kapasiti penuh.

Kejayaan First World Hotel & Plaza adalah berdasarkan beberapa faktor: seperti lokasinya yang strategik di tengah-tengah Resorts World Genting, bersambung terus dengan taman tema dan pusat membeli-belah, serta berdekatan dengan satu-satunya kawasan kasino yang dibenarkan di Malaysia. 


The First World Hotel & Plaza juga mempunyai strategi harga yang kompetitif dan sistem daftar masuk automatik untuk menguruskan jumlah tetamu yang tinggi. 

Ia tidak hanya memenuhi keperluan orang kaya, kerana ia juga menarik minat golongan sederhana  untuk menginap. Ia kini mempunyai 3,164 bilik standard; 2,922 bilik mewah; 649 bilik triple mewah; 480 bilik mewah unggul dan 136 bilik World Club.

First World Hotel & Plaza hanya diberi taraf tiga bintang, namun mempunyai keistimewaan tersendiri bagi membolehkan Guinness World Records memberi pengiktirafan. Mempunyai tiga menara dengan ketinggian 36 tingkat dan mempunyai 8 lantai tempat parkir.

Jika anda berjalan-jalan ke Genting, mungkin ingin mencuba keistimewaan hotel ini. - KitaReporters

12
14
0
11
0

Copy Link: