Program Pemerkasaan Komputer untuk sekolah! MACO terima 487 komputer dari Mr DIY! Bernilai RM480k!

Published by
KitaReporters


Mr DIY, peruncit perkakas rumah kegemaran Malaysia telah memainkan peranannya dalam memastikan generasi masa depan negara mempunyai kemahiran literasi digital dengan menyumbangkan 487 set komputer bernilai lebih RM480,000 ke sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia.

Sumbangan yang telah dilengkapkan pada tahun 2022 itu adalah sebahagian daripada inisiatif Program Pemerkasaan Komputer oleh Medical Awareness Camp Outreach (MACO). MACO adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada doktor-doktor pakar dan para sukarelawan bukan perubatan yang menyediakan perkhidmatan perubatan percuma, hidangan makanan, bantuan makanan, dan komputer yang dibaik pulih kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Komputer-komputer tersebut diperoleh dari ibu pejabat Mr DIY di Seri Kembangan dan cawangan-cawangan Mr DIY di seluruh negara, kemudian dibaik pulih oleh Jabatan IT peruncit. Hasil usaha mereka, 10 buah sekolah telah menerima set komputer dibaik pulih yang lengkap termasuk Unit Pemprosesan Pusat (CPU), monitor, papan kekunci, dan aksesori.



Mengulas tentang inisiatif tersebut, jurucakap Mr DIY berkata, "Literasi komputer adalah kemahiran yang penting dalam dunia hari ini. Para pelajar perlu mempunyai kemahiran komputer untuk melakukan apa sahaja, dari kajian hingga menyediakan kertas kajian dan pembentangan, malah untuk membuat permohonan pengajian di universiti dan mendapatkan pekerjaan.

"Selain itu, dengan kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan, semua calon pekerja sekarang perlu mempunyai pengetahuan asas komputer supaya mereka dapat dipertimbang dalam proses pemilihan pekerja. Inisiatif ini menjadikan komputer lebih mudah diakses oleh golongan kurang berkemampuan yang mungkin tidak mempunyai akses kepada perkakasan untuk mengembangkan dan mempraktikkan pengetahuan literasi digital mereka. Ini hanyalah salah satu daripada banyak lagi usaha yang kami jalankan untuk menghasilkan impak yang positif dalam kehidupan rakyat Malaysia."

Jurucakap tersebut mengucapkan terima kasih kepada MACO kerana telah menganjurkan inisiatif ini. Beliau berkata, "Ini adalah contoh yang sangat baik untuk menunjukkan bagaimana usaha sama yang efektif dapat dijalankan. MACO mempunyai platform untuk mengenal pasti dan menghubungi para pelajar yang memerlukan, sementara Kumpulan Mr DIY mempunyai sumber untuk menjadikan matlamat mereka suatu kenyataan. Kami berharap lebih banyak syarikat akan menyokong usaha sama seperti ini; apabila kita bekerjasama, lebih banyak yang akan dapat dicapai."

Ini adalah kali kedua MR DIY bekerjasama dengan MACO dalam inisiatif seperti ini. Pada bulan April 2022, MACO telah membaik pulih lebih 2,000 set komputer untuk melengkapkan makmal komputer di sekolah-sekolah di bawah Program Pemerkasaan Komputer; dengan sebahagian daripadanya diperoleh dari Mr DIY dengan sokongan jabatan IT peruncit tersebut. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
11
0
11
0

Copy Link: