Bersempena bulan suci Ramadan, Petrosains telah menganjurkan Program Petrosains Sentuhan Ramadan buat julung kalinya dengan menyambut kehadiran 60 kanak-kanak kurang berkemampuan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh, dan Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah bagi satu hari istimewa yang menggabungkan pembelajaran, penerokaan dan sambutan Ramadan di Petrosains, The Discovery Centre, Suria KLCC.



Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini dirangka bagi menyediakan pengalaman holistik dan bermakna kepada kanak-kanak melalui gabungan pembelajaran sains, tradisi perayaan serta semangat kebersamaan komuniti. 

Menerusi lawatan berpandu, pameran interaktif dan pertunjukan sains yang menarik, kanak-kanak diperkenal kepada sains, teknologi dan inovasi dalam suasana yang menyeronokkan, praktikal dan imersif.

Selain pengalaman pembelajaran sains, program ini turut menyemarakkan semangat Ramadan menerusi pelbagai aktiviti perayaan yang membawa kegembiraan dan kemesraan. 

Kanak-kanak menerima kuih raya, baju raya dan duit raya sebagai sebahagian daripada sambutan, sebelum berkumpul untuk sesi iftar khas bersama barisan pengurusan Petrosains serta tetamu jemputan daripada Bahagian Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Petronas.

Bagi kebanyakan kanak-kanak, lawatan ini merupakan pengalaman pertama mereka ke sebuah pusat sains, sekali gus membuka peluang berharga untuk meneroka sains di luar bilik darjah dalam suasana yang menginspirasikan dan interaktif. 

Pengalaman tersebut berjaya mencetuskan rasa ingin tahu, di samping membina keyakinan serta minat terhadap pembelajaran dan penerokaan.



Inisiatif ini mencerminkan komitmen Petrosains dalam memastikan pembelajaran sains dapat diakses oleh kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang, khususnya mereka yang mempunyai pendedahan terhad kepada pengalaman pendidikan tidak formal. 

Melalui penganjuran program yang inklusif dan berimpak seperti ini, Petrosains terus memperluas misinya dalam pendidikan, selari dengan usaha memastikan tiada kanak-kanak tercicir dalam perjalanan pembelajaran.

“Ramadan merupakan waktu yang mengingatkan kita tentang kepentingan nilai belas ihsan, kemurahan hati dan kebersamaan,” kata Ezarisma Azni Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd. 

“Menerusi program ini, kami berharap dapat mencipta pengalaman bermakna yang membawa kegembiraan kepada kanak-kanak, di samping menginspirasikan mereka untuk terus belajar, meneroka dan percaya pada potensi diri. 

"Di Petrosains, kami percaya setiap kanak-kanak berhak untuk bermimpi, menerokai dan berkembang.”

Program Petrosains Sentuhan Ramadan ini mencerminkan semangat sebenar Ramadan dalam menyemai nilai memberi dan empati, di samping memperkukuh ikatan komuniti serta mencipta pengalaman bermakna yang meninggalkan kesan berpanjangan kepada generasi muda. 

Program ini turut menzahirkan komitmen berterusan Petronas terhadap pembangunan komuniti dan penciptaan impak sosial melalui pendidikan.



“Program ini memberikan pengalaman Ramadan yang amat bermakna kepada kanak-kanak, terutama kerana ramai antara mereka tidak pernah mengunjungi Petrosains sebelum ini,” kata Ustaz Suhaib dari Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah yang mengiringi kanak-kanak tersebut. 

“Melihat keterujaan, rasa ingin tahu serta keyakinan mereka berkembang sepanjang hari amat menyentuh hati, dan kami berterima kasih kepada Petrosains kerana menyediakan peluang yang begitu berharga dan tidak dapat dilupakan buat mereka,” katanya.

Melalui inisiatif seperti ini, Petrosains kekal komited dalam menginspirasikan minda muda, memupuk keterangkuman serta mewujudkan peluang untuk komuniti belajar, berkembang dan maju bersama, selaras dengan peranannya sebagai pemangkin pembelajaran sains negara. - KitaReporters/Kenyataan Media


17
13
0
16
0

Copy Link: