Kontraktor ladang bakal gulung tikar? Kenaikan mendadak harga diesel! Rayu bantuan subsidi kerajaan!
Published byKenaikan harga petrol dan diesel akibat perang sengketa antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran turut memberi kesan yang besar kepada rakyat Malaysia akhir-akhir ini.
Kenaikan harga minyak ini nampaknya memberi kesan langsung kepada pengusaha ladang terutamanya.

Baru-baru ini, kontraktor ladang seluruh negara berkongsi gundah apabila berdepan situasi bakal 'gulung tikar' susulan kenaikan harga diesel kesan daripada konflik ketenteraan di Timur Tengah itu.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Pemborong Ladang Malaysia, Datuk Lee Cheng Chuan, pihak kontraktor berdepan kesukaran kerana tidak menerima subsidi kerajaan dan harga diesel sepenuhnya bergantung dengan pasaran antarabangsa.
"Kesan ketegangan di Timur Tengah telah menyebabkan harga diesel untuk industri di negara ini melonjak hampir 139 peratus dalam tempoh hanya tiga minggu.
"Kenaikan mendadak ini mengakibatkan kos operasi kontraktor ladang meningkat secara ketara sehingga sukar ditanggung, sekali gus menimbulkan kebimbangan berlakunya gelombang penutupan perniagaan dalam industri tersebut.
"Perbezaan harga diesel amat ketara, contohnya pada 28 Februari 2025 lalu harganya RM2.85 seliter dan kini melonjak antara RM6.40 hingga RM6.80 seliter.
"Kontraktor amat bergantung kepada penggunaan jentera berat yang memerlukan jumlah bahan api yang tinggi,"katanya.

Perkara ini diluahkan pada pertemuan bersama Pengurus Felda Palong 7, Mohamad Hafiz dan Pengurus Felda Plantation Management (FPM), Azwan Ariaf di Felda Palong, Segamat pada 29 Mac 2026.
“Tanpa subsidi, tekanan kos semakin meningkat dan sebahagian pengusaha sudah tidak mampu membeli diesel, lalu terpaksa menghentikan operasi.
"Kebanyakan projek dimulakan pada awal tahun ini (2026) dan kini sudah melebihi separuh kemajuan.
"Kenaikan harga diesel secara mendadak menyebabkan kontraktor sukar menyiapkan projek mengikut kontrak, malah berdepan masalah aliran tunai serta risiko jentera disita oleh pihak bank.
"Pekebun kecil di bawah Felcra Berhad, Felda dan Risda
akan terkesan kerana kerja penanaman semula dan pembangunan banyak bergantung
kepada kontraktor," ujarnya.

Ketika ini, harga diesel runcit di Thailand adalah sekitar
RM3.65 seliter, di China sekitar RM4.00 seliter, manakala di Malaysia mencecah
RM5.52 seliter.
"Mengapa negara kita sebagai pengeluar minyak mempunyai harga lebih tinggi berbanding negara bukan pengeluar? Mengapa kerajaan tidak dapat menyediakan bantuan kepada kontraktor ladang.
"Kebanyakan kontraktor kini berada dalam keadaan tertekan dan berjuang untuk bertahan, malah berdepan risiko gulung tikar.
"Saya menggesa kerajaan agar memandang serius kesan
yang ditanggung oleh kontraktor ladang dalam situasi ini dan segera menyediakan
bantuan yang sewajarnya bagi membantu industri mengharungi kesukaran
ini," katanya.
Isu kenaikan harga minyak ini tidak akan berhenti di sini tetapi akan ada lagi kenaikan pada harga barangan serta makanan siap masak juga memandangkan sektor ekonomi kita seperti rantaian makanan. - KitaReporters
