Negara membangun boleh menjadi penyumbang utama kepada perdagangan global dan meningkatkan ekonomi sendiri sekiranya memperkukuh sektor logistik serta infrastruktur rantaian bekalan. 
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah ini dapat dicapai sekiranya negara-negara membangun memberikan penekanan kepada bidang teknologi, memperkemas prosedur kastam dan budaya amalan mampan.
Beliau berkata, selain itu, penekanan kepada tenaga kerja mahir dan mempromosikan inovasi juga menjadi antara faktor untuk memperkukuh sektor logistik dan memastikan rantaian bekalan tidak terjejas. 


“ASEAN telah memberikan inspirasi kepada kita dengan model yang berharga untuk kerjasama serantau, memupuk daya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi.
“ASEAN juga telah mewujudkan persekitaran untuk rantaian bekalan yang teguh dan mampan dengan menekankan integrasi ekonomi dan kemudahan perdagangan.
“Inisiatif seperti ASEAN Single Window menyelaraskan prosedur kastam dan menggalakkan penggunaan teknologi mampan di seluruh negara anggota,” katanya. 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Antarabangsa Logistik dan Rantaian Bekalan (ISLSC) di Universiti Teknologi Rajamangala Thanyaburi (RMUTT) di Bangkok pada 6 Februari 2024. 
Turut hadir, Pengerusi RMUTT, Veerasak Wongsombut. 
Simposium yang dianjurkan oleh The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia itu dihadiri ahli akademik dari Thailand, Malaysia, Indonesia dan beberapa negara lain. 


Ismail Sabri Yaakob berkata, perjalanan ke arah pengurusan logistik dan rantaian bekalan yang mampan adalah tanggungjawab bersama.
“Ia memerlukan komitmen untuk berubah, keterbukaan terhadap inovasi, dan dedikasi untuk meninggalkan legasi positif untuk generasi akan datang.
“Simposium ini juga adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia untuk memastikan potensi sektor-sektor ini terus berkembang,” katanya. 
Dalam pada itu, selepas majlis tersebut, beliau turut melancarkan Kursi Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakod yang kedua di institut pengajian awam pertama di Thailand.
RMUTT akan menfokuskan kepada penghasilan kamus bahasa Melayu dan Thai. - KitaReporters/Kenyataan Media

15
7
0
12
0

Copy Link: