Industri durian kini bukan lagi sekadar tertumpu kepada pengeluaran buah segar, sebaliknya berkembang sebagai pemacu utama ekonomi agromakanan yang mampu meningkatkan nilai tambah serta membuka peluang perniagaan dan pekerjaan 


Zolkafly Harun memetik buah terong sebagai gimik perasmian Karnival Agro di Taiping.

Industri durian kini bukan lagi sekadar tertumpu kepada pengeluaran buah segar, sebaliknya berkembang sebagai pemacu utama ekonomi agromakanan melalui penghasilan pelbagai produk berasaskan durian yang mampu meningkatkan nilai tambah serta membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Sehubungan itu, Jabatan Pertanian Negeri Perak sudah menyalurkan peruntukan sebanyak RM948,000 kepada 47 usahawan di daerah Larut Matang Selama (LMS).

Sehingga tahun 2025, keluasan tanaman durian di daerah Larut Matang Selama (LMS) merekodkan seluas 2,927.91 hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 21,640 metrik tan.

Pencapaian ini membuktikan bahawa industri durian berkembang sebagai antara penyumbang penting kepada ekonomi pertanian negeri.


Zolkafly Harun (tengah) bergambar dengan beberapa penerima replika cek bantuan pertanian pada Karninal Agro di Taiping.

Perkembangan tersebut turut mengubah persepsi bahawa penanaman durian hanya berasaskan konsep 3T, iaitu tanam, tinggal dan tuai, tidak lagi sesuai.

Hakikatnya, industri durian masa kini memerlukan pengurusan ladang yang lebih sistematik, teknologi moden dan profesional bagi memastikan hasil yang berkualiti serta berdaya saing.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian Perladangan dan Industri Makanan, Datuk Zolkafly Harun berkata, pengusaha disaran mengamalkan penggunaan teknologi moden dalam pengurusan ladang, melaksanakan pembajaan secara tepat, mengawal perosak dan penyakit dengan berkesan serta mematuhi piawaian dan pensijilan pertanian.

Beliau berkata, amalan ini penting untuk meningkatkan produktiviti, menjamin kualiti hasil dan memperkukuh daya saing varieti premium seperti Musang King dan Duri Hitam (Black Thorn) di pasaran.

“Selain durian, tanaman pisang dan jambu batu turut menjadi komoditi penting dalam pembangunan sektor agromakanan di daerah LMS.

“Kedua-dua tanaman ini mempunyai permintaan pasaran yang berterusan serta berpotensi dikembangkan kepada pelbagai produk bernilai tambah seperti kerepek pisang, puri, jus, jem dan pelbagai produk makanan berasaskan buah-buahan,” katanya pada Karnival Agro Daerah LMS di Pejabat Pertanian LMS di Taiping pada 14 Julai 2026.


Sebahagian ketua-ketua jabatan dan orang ramai yang menghadiri program Karnival Agro di Taiping.

Zolkafly berkata, pembangunan industri hiliran berasaskan hasil pertanian ini bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan komuniti petani, malah mewujudkan lebih banyak peluang keusahawanan dan pekerjaan kepada masyarakat luar bandar.

Secara keseluruhannya, perkembangan industri durian bersama tanaman pisang dan jambu batu membuktikan bahawa sektor agromakanan bukan sekadar memainkan peranan dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara, malah menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui inovasi, teknologi dan penghasilan produk bernilai tambah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Ts Norsiyenti Othman berkata, pengeluaran tanaman makanan di Perak meningkat enam peratus daripada 395,000 metrik tan pada 2024 kepada 407,000 metrik tan pada 2025.

Katanya, sebanyak 29 tanaman terpilih dan daripada jumlah itu, 18 tanaman telah mencapai tahap sara diri iaitu jambu batu, pisang dan durian. - KitaReporters

3
3
0
1
0

Copy Link: